Tentera Laut Russia Terima Kapal Selam Nuklear Kelas Yasen-M Kelima, “Arkhangelsk”
Menurut agensi berita RIA, kapal selam nuklear Yasen-M " terbaru itu yang dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik Tsirkon dan peluru berpandu kruis Kalibr itu secara rasmi diserahkan kepada Tentera Laut Rusia pada hari Jumaat lepas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Beberapa hari lalu, Tentera Laut Rusia telah menerima kapal selam nuklear kelas Yasen-M terbaru “Arkhangelsk” Limbungan Kapal Sevmash, menurut Kementerian Pertahanan Russia sebagaimana dipetik oleh media-media tempatan.
Menurut agensi berita RIA, kapal selam nuklear Yasen-M ” terbaru itu yang dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik Tsirkon dan peluru berpandu kruis Kalibr itu secara rasmi diserahkan kepada Tentera Laut Rusia pada hari Jumaat lepas.
Empat lagi kapal selam kelas Yasen-M dilaporkan sedang dalam pelbagai fasa pembinaan.
“Kapal selam nuklear kelas-Yasen-M Arkhangelsk dilengkapi dengan peluru berpandu tentera yang mampu menyerang sasaran di laut dan pesisir pantai dengan berkesan,” kata Panglima Tentera Laut, Alexander Moiseyev seperti yang dipetik oleh RIA.
Pada ketika ini, Tentera Laut Rusia mengoperasikan empat kapal selam nuklear kelas Yasen-M – K-560 Severodvinsk, yang ditauliahkan pada 2013 dan berkhidmat dengan Armada Utara, serta K-561 Kazan, yang ditauliahkan pada 2021 dan turut menjadi sebahagian daripada Armada Utara.
Kapal selam Yasen-M ketiga Tentera Laut Rusia – K-573 Novosibirsk – ditauliahkan pada 2021 dan ditugaskan ke Armada Pasifik, manakala K-571 Krasnoyarsk ditauliahkan pada 2023 dan kini berkhidmat dengan Armada Pasifik.
Kapal selam nuklear kelas Yasen-M direka untuk melaksanakan pelbagai misi termasuk menyerang kapal-kapal perang permukaan, kapal selam, dan sasaran di daratan.
Dilengkapi dengan teknologi halimunan, berkeupayaan menyelam dengan berkelajuan tinggi, dan persenjataan ampuh menjadikan kapal selam kelas-Yasen-M suatu elemen penting dalam strategi cegah rintang dan pengunjuran kuasa tentera laut Rusia.
Kapal selam nuklear Yasen-M dilengkapi dengan sistem moden yang meningkatkan keberkesanan tempur dengan ketara berbanding kapal selam kelas Yasen asal, menerusi automasi yang lebih tinggi, operasi yang lebih senyap, dan integrasi sensor yang dipertingkatkan.
Pegawai kanan Pentagon menjangkakan di dalam tempoh satu dua tahun ini kapal selam paling berkuasa Russia daripada kelas-Yasen akan mula melakukan rondaan dengan lebih kerap di kawasan-kawasan persisiran pantai Amerika Syarikat.
Ketua Northern Command (NORTHCOM) Tentera Amerika Syarikat Jeneral Glen Van Herck dilaporkan berkata pada 2021 bahawa tentera Russia telah mula mengerahkan aset-aset tentera termasuk kapal-kapal selam yang “terlalu senyap” seperti Yasen-M yang boleh mengancam keselamatan wilayah negara itu.
“Risiko sememangnya semakin meningkat. Dalam tahun lepas, Russia telah meletakkan kapal selam kelas-Yasen di Pasifik.”
“Sekarang ini, mereka (kapal selam kelas-Yasen) bukan sahaja berada di Atlantik tetapi juga di Pasifik dan ia hanya menunggu masa di dalam tempoh satu atau dua tahun sebelum kita berhadapan dengan ancaman yang lebih kerap, 24 jam dalam sehari.”
“Kesannya, adalah ia mengurangkan masa untuk pemimpin kebangsaan membuat keputusan dalam masa krisis,” kata beliau.
Turut dipanggil kelas-Severodvinsk oleh NATO, kapal selam kelas-Yasen seberat 13,800 tan itu diperakui oleh penganalisis pertahanan antarabangsa sebagai antara kapal selam paling berkemampuan di dunia.
Pada tahun 2018, kapal selam kelas-Yasen dikenalpasti sebagai “Severodvinsk” berjaya mengelak daripada dikesan oleh platform-platform Amerika Syarikat selama berminggu-minggu, menurut laporan media. –DSA