Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Laut Diraja Malaysia Sertai Eksesais AMAN 2025 Anjuran Tentera Laut Pakistan

TLDM diwakili oleh KD TERENGGANU, bersama Tim Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Tim Penyelam TLDM yang berkepakaran dalam Explosive Ordnance Disposal (EOD) dalam Eksesais AMAN 2025menyaksikan penyertaan aset dan delegasi dari lebih 60 negara.

0 4,631
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menyertai Eksesais AMAN 2025, yang dianjurkan oleh Tentera Laut Pakistan (TLP) dari 7 hingga 11 Februari 2025 di Karachi, Pakistan dan perairan sekitarnya.
Eksesais dwitahunan ini, yang diperkenalkan pada tahun 2007, kini memasuki siri ke-9 dan merupakan penyertaan ke-7 TLDM.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM baru-baru ini, Eksesais AMAN 2025 menyaksikan penyertaan aset dan delegasi dari lebih 60 negara, menjadikannya salah satu eksesais multilateral terbesar di rantau ini.
TLDM diwakili oleh KD TERENGGANU, bersama Tim Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Tim Penyelam TLDM yang berkepakaran dalam Explosive Ordnance Disposal (EOD).
“Bertemakan “Together for Peace”, latihan ini bertujuan memupuk kerjasama dan kestabilan serantau, meningkatkan kesalingoperasian antara angkatan laut yang terlibat, serta menzahirkan komitmen bersama terhadap keselamatan maritim dan usaha menentang ancaman seperti keganasan serta jenayah maritim.”
Eksesais AMAN 2025 melibatkan dua fasa utama iaitu Fasa Pelabuhan dan Fasa Laut.
AMAN
(kredit TLDM)
Sepanjang Fasa Pelabuhan, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan merangkumi Majlis Pembukaan Eksesais di Pakistan Navy Dockyard, AMAN Dialogue di Pakistan Naval Academy, serta aktiviti lain seperti AMAN Sports, International Food Gala and Cultural Show, Table Top Discussions (TTD), International Band Display dan Maritime Counter-Terrorism Demo.
Semasa AMAN Dialogue, Ketua Delegasi TLDM, Laksamana Muda Dato’ Baharudin Wan Md Nor, Panglima Wilayah Laut 1, telah terpilih sebagai ahli panel dalam sesi keempat bertajuk “Blue Economy”’ dengan topik perbincangan “Maritime Security Cooperation for Marine Ecosystem Preservation”.
Penglibatan ini dilihat sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan TLDM dalam arena maritim global.
“Fasa Laut pula menyaksikan pelaksanaan beberapa latihan maritim utama seperti International Fleet Review (IFR) yang menghimpunkan semua kapal peserta dalam satu formasi maritim berprestij.”
“Dalam demonstrasi Joint Counter-Piracy yang turut dilaksanakan semasa IFR, Tim PASKAL TLDM berganding bahu dengan pasukan khas negara lain bagi mempamerkan keupayaan mereka dalam menangani ancaman lanun dan keganasan maritim. “
AMAN
Pasukan EOD yang terlibat dalam Eksesais AMAN 2025 ((kredit TLDM)
AMAN
Pasukan Khas yang terlibat dalam Eksesais AMAN 2025 ((kredit TLDM)
Menurut kenyataan itu lagi, selain itu aktiviti seperti Personnel Exchange Programme (PXP) membolehkan pegawai dan anggota berkongsi pengalaman serta membina rangkaian profesional dengan rakan sejawat dari angkatan laut lain.
Penyertaan TLDM dalam Eksesais AMAN 2025 bukan sahaja mempertingkatkan keupayaan operasi bersama tetapi juga memperkukuh hubungan pertahanan dengan negara serantau dan antarabangsa.
Penglibatan KD TERENGGANU serta Tim PASKAL dan EOD TLDM dalam eksesais ini mencerminkan komitmen TLDM untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan keselamatan maritim dan kestabilan serantau melalui diplomasi pertahanan dengan rakan strategik.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.