Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Pertahanan Amerika Bina Replika Sistem Pantsir-S1 Russia Untuk Duji F-16, F/A-18

Replika sistem pertahanan udara terkenal Russia itu dicipta khas untuk bagi membolehkan pesawat pejuang tentera Amerika Syarikat itu menguji keupayaan Sniper ATP yang digunakan pada pesawat tempur bagi meningkatkan keberkesanan sistem pengesanan dan pemusnahan sasaran.

0 5,514
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin, dilaporkan telah membangunkan replika seakan-akan menyerupai sistem pertahanan udara Pantsir-S1 buatan Russia untuk digunakan sebagai “sasaran” oleh Sniper Advanced Targeting Pod (ATP) yang dipasang pada pesawat-pesawat pejuang F-16 dan F/A-18.
Replika sistem pertahanan udara Pantsir-S1 itu telah dipasang pada trak jenis Peterbilt 320, yang selalunya digunakan untuk trak-trak pembawa sampah.
Replika sistem pertahanan udara terkenal Russia itu dicipta khas untuk bagi membolehkan pesawat pejuang tentera Amerika Syarikat itu menguji keupayaan Sniper ATP yang digunakan pada pesawat tempur bagi meningkatkan keberkesanan sistem pengesanan dan pemusnahan sasaran.
Ujian menggunakan replika seakan-akan menyerupai sistem pertahanan udara Russia itu dilaksanakan di suatu lokasi rahsia.
Replika yang diberi nama tidak rasmi “Peter Pantsir” itu membolehkan ujian menyeluruh terhadap keberkesanan sistem serangan udara dengan mensimulasikan ancaman sebenar di medan perang.
Penggunaan replika seperti ini penting dalam membangunkan algoritma pengesanan autonomi, menilai keupayaan peperangan elektronik (EW), serta melatih juruterbang dalam persekitaran terkawal tanpa perlu berhadapan secara langsung dengan sistem pertahanan musuh.
“Laporan menyatakan bahawa kedua-dua pesawat pejuang telah terbang di atas replika sistem pertahanan udara Russia tersebut, sementara Lockheed Martin mengumpulkan data mengenai prestasi Sniper ATP dalam pelbagai keadaan, termasuk siang dan malam serta cuaca cerah dan berawan.”
Pantsir S-1
Sistem pertahanan udara Pantsir-S1 yang sebenar ketika beraksi
Selain itu, replika sistem pertahanan udara Pantsir-S1  itu juga boleh digunakan dalam latihan Opposing Forces (OPFOR), iaitu unit yang mensimulasikan pasukan musuh semasa latihan ketenteraan Tentera Darat Amerika Syarikat.
Ini membolehkan senario pertempuran yang lebih realistik dicipta, dengan penggunaan peralatan dan taktik yang telah diubah suai untuk meniru ancaman sebenar yang berpotensi di medan konflik masa hadapan.
Ini bukan merupakan kali pertama Amerika Syarikat membina replika sistem pertahanan musuh untuk tujuan latihan atau operasi unit-unit tenteranya.
Pada tahun 2023, replika berkualiti tinggi bagi sistem pertahanan udara S-300 dan Tor-M1 buatan Russia dilihat sedang diangkut melalui landasan kereta api, mencerminkan pendekatan strategik Amerika dalam mengkaji sistem pertahanan buatan negara luar terutamanya negara-negara dianggap sebagai musuh seperti Russia dan China.
 Langkah itu bertujuan mengkaji dengan lebih mendalam strategi ketenteraan dan kemampuan pihak musuh dan kemudiannya membangunkan kaedah terbaik dalam menangani ancaman serta meningkatkan keberkesanan latihan.
Ujian terbaru ini dijangka meningkatkan keyakinan juruterbang terhadap keupayaan Sniper ATP dan pod-pod sasaran yang lain khususnya dalam mengenal pasti perbezaan antara kawan dan lawan semasa misi pertempuran.
Sniper
“Sniper” Advanced Targeting Pod.
Selain melatih pesawat tempur, replika sistem pertahanan udara itu juga boleh digunakan dalam latihan ketenteraan di mana unit tertentu ditugaskan sebagai OPFOR)bagi mensimulasikan pasukan musuh.
Pendekatan ini membolehkan senario latihan yang lebih realistik dan berkesan, sejajar dengan ancaman medan perang moden.
Tentera Amerika Syarikat mengekalkan unit OPFOR khas di pusat latihan utama bagi meningkatkan kesiapsiagaan tempur. Antara unit utama yang bertanggungjawab dalam peranan ini termasuk:
  • Rejimen Kavalri Berperisai ke-11 yang berpangkalan di Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Fort Irwin, California.
  • Batalion Pertama, Rejimen Infantri Payung Terjun ke-509 di Pusat Latihan Kesiagaan Bersama (JRTC) di Fort Johnson, Louisiana.
  • Batalion Pertama, Rejimen Infantri ke-4 di Pusat Latihan Kesiagaan Pelbagai Negara (JMRC) di Hohenfels, Jerman.
Amerika Syarikat secara aktif memperoleh dan menganalisis sistem pertahanan udara asing bagi memperhalusi kaedah menangkis ancaman serta memperbaiki taktik ketenteraan.
Langkah ini membolehkan Pentagon memahami keupayaan teknologi pertahanan musuh, seterusnya membangunkan strategi yang lebih berkesan dalam menghadapi ancaman udara moden.
Sebagaimana dilaporkan sebelum ini, dalam satu misi khas sekitar pertengahan tahun 2020, anggota komando Amerika Syarikat telah bertindak “menyeludup keluar” sistem pertahanan udara Pantsir-S1 buatan Russia daripada Libya dalam usaha mereka untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang sistem pertahanan udara berprofil tinggi kebanggaan Moscow itu.
Pada ketika itu, sistem pertahanan udara terbabit berada dibawah kawalan panglima tentera tempatan atau Libyan National Army (LNA) dikenali dengan nama Jeneral Khalifah Haftar yang “membelinya” daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selain dapat memberikan Amerika Syarikat maklumat-maklumat teknikal yang penting berkenaan sistem pertahanan udara buatan Russia itu, “rampasan” oleh anggota komando Amerika itu juga dapat memastikan sistem itu tidak jatuh ke tangan kumpulan militan dan ekstremis Islam.
Pantsir
Sistem pertahanan udara ‘Pantsir” ketika dibawah kawalan askar panglima tentera tempatan, Khalifa Haftar.
Menurut akhbar Britain “The Times”, misi khas itu yang dilaksanakan pada Jun 2020 itu terpaksa menggunakan pesawat pengangkut strategik C-17A Globemaster Amerika Syarikat berikutan saiz “barangan seludup” yang terlalu besar.
Pesawat pengangkut Tentera Udara Amerika Syarikat itu terpaksa melakukan penerbangan ke Lapangan Terbang Zuwarah yang terletak di barat Tripoli bagi membolehkan mereka mengangkut sistem peluru berpandu Pantsir S-1 dan terbang semula ke pengkalan udara tentera Amerika Syarikat di Ramstein, Jerman.
Di Pangkalan Tentera Ramstein, Jerman yang merupakan pangkalan tentera utama Amerika di Eropah itulah pakar-pakar teknikal tentera negara itu telah “membogelkan” sistem pertahanan udara buatan Russia itu bagi membolehkan mereka mempelajari sistem berkenaan.
Sistem Pantsir-S1 yang menjadi perhatian Amerika Syarikat itu terdiri daripada enam peluru berpandu dan dua meriam 30mm, selain sistem radar dan sistem elektronik serta penderianya yang lain.
Sistem itu dibangunkan untuk menggantikan sistem pertahanan udara “Tunguska”.
Peluru berpandu terbabit boleh menembak sasaran sehingga jarak 20km dan di ketinggian 50,000 kaki.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.