Kapal Perang, Kapal Selam TLDM Lancar Peluru Berpandu Anti-Kapal dan Torpedo Dalam Latihan di Laut China Selatan

Kapal-kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Lekiu dan KD Lekir telah melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 manakala kapal selam, KD Tunku Abdul Rahman pula melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet SM39. Kapal selam KD Tun Razak pula telah melancarkan torpedo Black Shark.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan Eksesais Taming Sari 23/25 yang melibatkan penembakan peluru berpandu anti-kapal and torpedo oleh kapal-kapal perang permukaan serta kapal selam TLDM.

Pelancaran peluru-peluru berpandu dan torpedo itu telah disaksikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

TLDM
(kredit TLDM)

 

Beliau berkata perlaksanaan eksesais ini merupakan satu keperluan untuk TLDM meningkatkan kesiagaan, keupayaan dan kompetensi angkatan.

“Salah satu perkara yang harus kita faham adalah soal kesiagaan. Doktrin pertahanan kita bukan untuk serang negara lain, tetapi keupayaan untuk mempertahan negara dan mempertahan bukan sahaja dengan kita memiliki aset tetapi keupayaan anggota-anggota kita untuk melaksanakan tanggungjawab,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu.

Keseluruhannya, sebanyak 17 buah kapal perang, dua pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia dan tiga buah helikopter terlibat dalam eksesais berkenaan.

Sementara itu menurut kenyataan oleh TLDM menerusi media sosialnya, kapal-kapal perangnya KD Lekiu dan KD Lekir telah melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 manakala kapal selam, KD Tunku Abdul Rahman pula melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet SM39.

“Eksesais ini juga adalah julung kalinya melibatkan penembakan torpedo dalam konfigurasi perang (Black Shark War) oleh KD Tun Razak.”

“Kejayaan penembakan (peluru berpandu dan torpedo) ini jelas memperlihatkan TLDM serius menzahirkan keupayaan (capability) serta kesungguhan (determination) dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah maritim Malaysia,” menurut TLDM.

Selain itu, Eksesais Taming Sari 23/25 juga telah disempurnakan bersama-sama dengan Eksesais Kerismas 28/25 bermula dari 8 hingga 31 Julai 2025.

TLDM
(kredit TLDM)

 

Kedua-dua Eksesais itu telah bermula dari Tambatan Pangkalan Lumut dan berakhir di Tambatan Pangkalan Kota Kinabalu, merangkumi kawasan Zon Maritim Malaysia di Laut China Selatan yang memfokuskan kepada kemampuan beroperasi dalam

“Kedua-dua Eksesais ini telah menterjemahkan kesiapsiagaan serta keupayaan semasa TLDM dalam mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan maritim negara.”

“Melalui Eksesais ini juga, TLDM dapat menguji, menilai serta menambah baik prosedur, pelan dan doktrin yang berkaitan selain menambah baik dan melatih tahap kompetensi Armada TLDM khususnya dalam menangani ancaman peperangan maritim secara konvensional,” menurut TLDM.

Ia juga berkata bahawa Eksesais ini juga adalah merupakan platform strategik dalam mempertingkatkan sinergi antara agensi pertahanan dan keselamatan melalui penglibatan Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Peluru Berpandu Anti-Kapal Exocet MM40 Block 2

Exocet MM40 Block 2 mempunyai panjang sekitar 5.8 meter dan diameter 350 milimeter, menjadikannya cukup kompak untuk dipasang pada pelbagai jenis pelancar permukaan.

Peluru berpandu ini mempunyai berat keseluruhan kira-kira 870 kilogram, termasuk hulu peledak seberat 165 kilogram jenis letupan tinggi (High Explosive – HE) dengan keupayaan semi-armour piercing, direka khas untuk menembusi dan memusnahkan struktur kapal musuh.

TLDM
(kredit TLDM)

 

Exocet MM40 Block 2 mampu mencapai sasaran sejauh 70 kilometer, membolehkan ia dilancarkan dari luar lingkungan sistem pertahanan jarak dekat kapal lawan.

Dari segi sistem panduan, peluru berpandu ini menggunakan Inertial Navigation System (INS) semasa peringkat tengah penerbangan, sebelum bertukar kepada sistem Active Radar Homing semasa fasa terminal untuk memastikan ketepatan maksimum dalam menjejaki dan mengenai sasaran.

Keupayaan terbang rendah (sea-skimming) merupakan ciri utama peluru berpandu ini, dengan altitud penerbangan antara 2 hingga 5 meter dari permukaan laut, yang membolehkannya mengelak pengesanan radar dan sistem pertahanan udara musuh.

Exocet MM40 Block 2 boleh melaksanakan serangan terminal dalam dua mod iaitu serangan pop-up, di mana ia naik secara mendadak sebelum menyelam ke arah sasaran, atau serangan mendatar secara berterusan pada altitud rendah, bergantung kepada keperluan taktikal dan jenis sasaran.

Dari segi fleksibiliti pelancaran, peluru berpandu ini direka untuk dilancarkan dari sistem pelancar tetap atas kapal perang, namun ia juga boleh dioperasikan dari bateri pertahanan pesisir darat (coastal defence batteries), menjadikannya sesuai untuk pelbagai konfigurasi operasi.

Sistem pendorongnya terdiri daripada roket pendorong pepejal (solid-propellant booster and sustainer) yang membolehkan peluru berpandu ini mencapai kelajuan dan jarak yang diperlukan tanpa memerlukan bahan bakar cecair atau sistem kompleks.

Torpedo Black Shark

Black Shark merupakan torpedo berat generasi terkini yang dibangunkan oleh Leonardo (sebelum ini dikenali sebagai WASS – Whitehead Alenia Sistemi Subacquei) dari Itali, direka untuk digunakan oleh kapal selam konvensional dan nuklear dalam misi anti-kapal dan anti-kapal selam.

Dilengkapi dengan teknologi terkini dalam sistem panduan, pemprosesan isyarat akustik, dan keupayaan peperangan elektronik, torpedo ini dicipta untuk mendominasi medan bawah laut moden.

Torpedo
Torpedo Black Shark

 

Torpedo Black Shark mempunyai panjang sekitar 6.3 meter, dengan diameter 533 milimeter (21 inci), menjadikannya serasi dengan tiub pelancar torpedo standard NATO.

Dengan berat sekitar 1,550 kilogram, Black Shark dikelaskan sebagai torpedo heavyweight, mampu membawa hulu peledak bersaiz besar untuk memberikan impak pemusnahan maksimum ke atas kapal permukaan atau sasaran bawah laut.

Black Shark dilengkapi dengan hulu peledak berkekuatan tinggi seberat 250 kilogram, jenis High Explosive (HE) dengan sistem pencetus (fuse) yang boleh diprogramkan secara jarak jauh untuk letupan sentuh (contact detonation) atau jarak dekat (proximity).

Kuasa letupan ini cukup untuk melumpuhkan atau menenggelamkan kapal permukaan bersaiz besar dan juga kapal selam berperisai tinggi.

Torpedo ini menggunakan sistem panduan berbilang mod yang sangat canggih, termasuk:

  • INS (Inertial Navigation System) untuk fasa pelayaran awal,
  • Sistem sonar aktif dan pasif,
  • Pemprosesan digital isyarat akustik,
  • “Wire-guided” (pemanduan berwayar) dengan kabel gentian optik untuk kawalan manusia secara langsung dari kapal selam pelancar, yang membolehkan penjejakan semula sasaran atau perubahan sasaran semasa penerbangan bawah air.

Sistem pemprosesan signal akustik terbina mampu menapis gangguan bunyi laut dan penipuan akustik (acoustic decoys), menjadikan Black Shark sangat sukar dikelirukan oleh sistem pertahanan musuh.

Black Shark mampu menyerang sasaran sejauh 50 kilometer, menjadikannya antara torpedo berat dengan jarak terjauh dalam kelasnya.

Ia mampu mencapai kelajuan lebih dari 50 knot (sekitar 93 km/j), hasil daripada penggunaan sistem pendorong berkuasa tinggi yang sangat senyap (low acoustic signature), menjadikannya hampir tidak dapat dikesan oleh sonar pasif lawan.

Torpedo ini digerakkan oleh sistem motor elektrik berprestasi tinggi yang dikuasakan oleh bateri perak-oksida aluminium (Al-AgO), yang bukan sahaja menghasilkan kuasa pecutan tinggi tetapi juga mengurangkan jejak akustik secara drastik.

Sistem ini juga menjamin ketahanan dalam operasi bawah laut yang panjang serta sesuai digunakan dalam pelbagai kedalaman lautan.

Black Shark direka untuk misi dwi-peranan – menentang kapal permukaan dan kapal selam – dengan keupayaan menyerang sasaran bergerak dalam pelbagai kelajuan dan kedalaman.

Torpedo ini boleh beroperasi dalam mod automatik sepenuhnya (fire-and-forget) atau dalam mod pemanduan manusia (man-in-the-loop) melalui kabel serat optik.

Black Shark direka agar boleh diintegrasikan ke dalam pelbagai jenis kapal selam – termasuk kapal selam diesel-elektrik (SSK) dan kapal selam nuklear (SSN).

Leave a Reply