Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Myanmar Peroleh Sistem Pertahanan Udara Russia, “Pantsir S-1”

0 540

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Myanmar muncul sebagai negara Asia Tenggara pertama yang akan menggunakan sistem pertahanan udara Russia, “Pantsir-S1” selepas menandatangani perjanjian dengan Russia untuk mendapatkannya.

Perjanjian pembelian sistem pertahanan udara jarak rendah itu ditandatangani pada satu majlis di Myanmar yang turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu dan Panglima Angkatan Tentera Myanmar Min Aung Hlaing.

(Video kredit Clash Report)

Shoigu sedang melawat Myanmar.

Selain sistem pertahanan udara “Pantsir S-1”,  Myanmar turut menandatangani perjanjian dengan Russia untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu  (UAV) “Orlan 10-E” dan radar bertujuan untuk meningkatkan lagi kemampuan angkatan tentera negara Asia Tenggara itu. Myanmar merupakan negara pengguna tradisi sistem persenjataan buatan Russia. Myanmar juga menggunakan 30 buah pesawat pejuang MiG-29, sistem artillery, radar dan  10 buah helicopter Mi-24 serta Mi-35SP buatan Russia.

pantsir
Majlis menandatangani perjanjian perolehan sistem “Pantsir S-1” dan sistem pertahanan lain antara Myanmar dan Russia.

Selain itu, tentera Myanmar juga menggunakan 12 buah pesawat latihan YAK-130, enam buah Sukhoi Su-30SME, lapan buah sistem pertahanan udara Pechora-2M dan kereta-kereta perisai buatan Russia.

Sistem pertahanan udara “Pantsir S-1” ini menggabungkan peluru berpandu dan meriam 30mm. Ia mampu menangani pelbagai ancaman udara daripada pesawat dan peluru berpandu daripada jarak maksimum sejauh 20km.

Bagaimanapun, sistem pertahanan udara “Pantsir S-1” ini menerima kritikan hebat berikutan prestasinya yang buruk di Syria, Libya dan Yemen.

Tahun lepas, Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan mendakwa pesawat-pesawat tanpa pemandu Turki berjaya memusnahkan sekurang-kurangnya lapan buah sistem “Pantsir S-1” di wilayah Idlib, Syria.

Sistem pesawat tanpa pemandu Turki, “Bayraktar TB2” juga berjaya memusnahkan beberapa sistem pertahanan udara Russia itu di Libya.

Keseluruhannya, media mengatakan Turki memusnahkan 23 buah sistem “Pantsir S-1” di Syria dan Libya.

Sementara itu, terdapat juga laporan mengatakan bahawa Tentera Darat dan Tentera Laut Russia tidak berpuashati dengan prestasi “Pantsir S-1” dan mahukan sistem itu digantikan dengan sistem pertahanan udara yang lain.

pantsir
Antara sistem pertahanan udara “Pantsir S-1” yang dimusnahkan oleh Bayraktar TB2 di Libya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...