“Tuntutan Waris Sultan Sulu Tidak Masuk Akal” – Kerajaan Negeri Sabah
Sementara itu portal berita Malaysiakini menyatakan bahawa waris Sultan Sulu secara teorinya boleh menguatkuasakan keputusan timbang tara itu terhadap Malaysia itu melalui pelaksanaan Konvensyen New York, yang dianggotai Malaysia dan Sepanyol.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan ‘waris Kesultanan Sulu’ terhadap negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Menyifatkan tuntutan itu sebagai “sesuatu yang tidak masuk akal,” beliau menegaskan bahawa Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.
Justeru, Hajiji menggesa rakyat agar bertenang dalam isu itu dan menyerahkan kepada pasukan perundangan kerajaan negeri dan persekutuan untuk menanganinya.
“Ia adalah satu tuntutan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak seharusnya dipertikai,” menurutnya Ketua Menteri Sabah itu dalam satu kenyataan.
Pada Rabu lepas, kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara memaklumkan Kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya award sebanyak US$14.92 bilion (RM62.6 bilion) yang kononnya perlu dibayar kepada ketrurunan Sultan Sulu terakhir iaitu Sultan Jamalul Kiram II.

Menurut laporan media, sebuah mahkamah timbang tara Perancis pada Isnin lepas memutuskan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian yang ditandatangani pada 1878 dan diperintah membayar sekurang-kurangnya US$14.92 bilion kepada keturunan Sulu Sultan yang terakhir itu.
Award itu dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa pada 28 Feb lepas. Proses timbang tara yang bermula di Sepanyol itu telah dipindahkan ke Paris di mana award tersebut diputuskan.
Sementara itu portal berita Malaysiakini menyatakan bahawa waris Sultan Sulu secara teorinya boleh menguatkuasakan keputusan timbang tara itu terhadap Malaysia itu melalui pelaksanaan Konvensyen New York, yang dianggotai Malaysia dan Sepanyol.
Sekiranya Malaysia enggan membayar RM62.59 bilion, waris mempunyai hak di bawah konvensyen itu untuk menguatkuasakan anugerah timbang tara melalui penyitaan aset Malaysia yang terletak di mana-mana daripada 167 negara penandatangan.
Baru-baru ini, laman web berita Sepanyol La Información melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa mengarahkan pembayaran itu semasa perbicaraan di mahkamah arbitrasi di Paris, Perancis.
Comments are closed.