Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KD Panglima Garang, Pusat Latihan PASKAL Yang Lengkap

KD Panglima Garang adalah Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang dilengkapi dengan fasiliti pelantar minyak, satu-satunya fasiliti di Malaysia yang dibina dengan tujuan untuk memudahkan tim PASKAL melaksanakan latihan melawan keganasan maritim dengan lebih efisien,

6,939

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz hari ini telah menyempurnakan upacara penamaan dan pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.

Sultan Selangor merupakan Kepten Yang Dipertua TLDM.

KD Panglima Garang adalah Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang dilengkapi dengan fasiliti pelantar minyak.

Ia adalah satu-satunya fasiliti di Malaysia yang dibina dengan tujuan untuk memudahkan tim PASKAL melaksanakan latihan melawan keganasan maritim dengan lebih efisien, selain daripada menempatkan mereka di pelantar minyak sebenar pada satu-satu masa.

Selain itu, fasiliti lain yang terdapat di KD Panglima Garang termasuk dataran latihan fizikal, tiga jenis lapang sasar, rumah tempur dan kolam selam.

PASKAL
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz. (gambar kredit TLDM)

 

Upacara penamaan dan pentauliahan KD Panglima Garang hari ini adalah bersempena dengan tarikh hari ulang tahun penubuhan PASKAL yang ke-39. 

Sejak penubuhan PASKAL pada tahun 1982, unit pasukan khas TLDM itu telah melatih 1,103 pegawai dan anggota unit pasukan khas dalam dan luar negara melalui pelbagai kursus yang ditawarkan.

Di dalam sejarah Kesultanan Negeri Selangor, nama Panglima Garang merupakan gelaran yang dianugerahkan kepada Pahlawan Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Panglima Besar Raja Abdul Samad yang kemudian ditabalkan sebagai Sultan Selangor ke-4.

Panglima Garang merupakan seorang pendekar yang sangat handal di dalam permainan senjata dan memiliki ilmu peperangan yang tinggi serta amat digeruni musuh.  

Dalam ucapannya, Sultan Selangor bertitah lambang trimedia yang tersemat di dada setiap anggota pasukan adalah lambang kehormatan yang perlu dipertahankan.

PASKAL
Gambar kredit TLDM

 

“Jangan menggadaikan prinsip seorang anggota PASKAL dengan melibatkan diri kepada perkara yang tidak bermoral dan melanggar peraturan perkhidmatan. Anda wajib berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar PASKAL,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan semua warga PASKAL supaya mempersiapkan diri dengan segala aspek kemahiran, fizikal dan mental serta memastikan anda sentiasa mempunyai kemampuan diri untuk melaksanakan misi dan operasi khas yang diamanahkan oleh pihak tertinggi TLDM.

“Tugas anda adalah sangat mencabar dan berisiko tinggi. Oleh itu, persiapan terbaik untuk hari esok adalah dengan melakukan latihan dan raptai yang terbaik pada hari ini.

“Teruskan menimba ilmu pengetahuan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa demi berdepan dengan cabaran yang kompleks pada masa ini.”

Baginda turut menzahirkan rasa bangga, sejak penubuhan PASKAL pada 1982, pasukan itu telah berfungsi untuk mempertahankan Stesen Luar Pantai TLDM di Laut China Selatan, selain melaksanakan pelbagai operasi khas di laut, darat dan udara daripada pelbagai ancaman, serta melakar kejayaan dalam misi dipertanggungjawabkan di dalam serta luar negara.

Turut hadir pada majlis hari ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman bin Ayob bersama Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Ee (Yee) Tai Peng dan Panglima Pasukan Khas Laut, Laksamana Pertama Hj Mohd Redzuan bin Hj Talib.

PASKAL
Gambar kredit TLDM

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.