Peluru Berpandu Iran Tembusi Sistem Pertahanan Udara Israel. Lima Pangkalan Tentera Strategik Dibedil
Konflik peluru berpandu 12 hari Iran bukan sekadar memusnahkan infrastruktur awam Israel tetapi turut menguji Iron Dome, Arrow, David’s Sling dan THAAD hingga tahap maksima — memberi isyarat baharu kepada seluruh Timur Tengah bahawa ancaman hipersonik dan MaRV kini realiti yang sukar dipintas.
Pendedahan terbaharu oleh sebuah universiti di Amerika Syarikat telah menggegarkan perisikan Barat dan mencetuskan semula kebimbangan di kalangan pemerhati keselamatan Timur Tengah apabila serangan peluru berpandu Iran selama 12 hari tanpa henti terhadap Israel baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan infrastruktur awam dan industri negara Yahudi itu tetapi turut membedil sekurang-kurangnya lima kemudahan ketenteraan strategik termasuk pusat pengumpulan risikan penting, seperti disahkan oleh The Telegraph.
Maklumat ini dibina semula melalui kesan radar terperinci dan imej satelit beresolusi tinggi yang dianalisis penyelidik di Oregon State University, sekali gus menunjukkan betapa kemampuan pasukan peluru berpandu Iran kini sudah cukup maju untuk mencabar sistem pertahanan udara berlapis yang paling canggih di dunia.
Di tengah-tengah serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Iran dilapor telah menggunakan peluru-peluru berpandu yang menggunakan teknologi Hypersonic Glide Vehicle (HGV) dan Maneuverable Reentry Vehicle (MaRV) — sistem generasi baharu yang direka khas untuk menembusi sistem pertahanan udara berlapis seperti Iron Dome, David’s Sling, Arrow, dan bateri THAAD yang dibekalkan Amerika Syarikat.
Antara sasaran bernilai tinggi yang disahkan terkena bedilan peluru berpandu Iran adalah pangkalan Camp Zipporit berhampiran Nazareth, pangkalan berkubu Camp Glilot, pangkalan udara strategik Tel Nof, hab logistik penting yang membekalkan operasi barisan hadapan, serta pusat SIGINT sensitif yang dipercayai menjadi tulang belakang pengumpulan risikan elektronik Israel terhadap pihak lawan seperti Hezbollah dan proksi Iran di Syria.
Serangan itu juga dilapor mengenai kawasan berhampiran Ibu Pejabat Tentera Kirya — pusat saraf pertahanan kebangsaan Israel — mendedahkan ketepatan sasaran Teheran dan kesanggupannya untuk berdepan terus dengan jantung pembuatan keputusan tentera Israel.
Bagaimanapun, tiada satu pun serangan langsung ini diumumkan pihak berkuasa Israel sepanjang konflik berlangsung, selaras dengan undang-undang penapisan peperangan Israel yang ketat yang mengharamkan penerbitan penilaian kerosakan operasi bagi mengelak musuh berasa berani atau menimbulkan panik dalam kalangan rakyat.
Langkah rahsia ini sekali lagi membangkitkan perdebatan mengenai keseimbangan halus antara keselamatan negara dan hak rakyat dalam sistem demokrasi untuk mengetahui kebenaran, apatah lagi apabila yang terlibat adalah kemudahan pertahanan paling sensitif negara.

Terletak di tengah-tengah naratif medan tempur ini bukan sahaja keberanian sasaran Teheran tetapi juga skala kuasa tembakan yang digunakan.
Sepanjang konflik 12 hari itu, Iran dianggarkan telah melancarkan lebih 500 peluru berpandu balistik ke wilayah Israel — menjadikannya serangan peluru berpandu terbesar dalam sejarah peperangan moden Timur Tengah.
Selain itu, Iran turut melancarkan kawanan 1,100 dron secara serentak, walaupun hanya satu dron UAV berjaya menembusi ruang udara Israel dan menyebabkan kerosakan, membuktikan ketahanan Iron Dome dan David’s Sling terhadap ancaman perlahan yang terbang rendah.
Namun begitu, analisis radar The Telegraph menunjukkan trend membimbangkan apabila kadar pemintasan sistem pertahanan udara berlapis Israel semakin merosot apabila konflik berlarutan, terutamanya dalam lapan hari pertama peperangan.
Menjelang hari ketujuh, dianggarkan 16 peratus peluru berpandu Iran berjaya menembusi sistem pertahanan berlapis Israel dan Amerika Syarikat — dengan semakin banyak daripadanya mendarat tepat pada sasaran strategik bernilai tinggi.
Penurunan keberkesanan ini mencetuskan spekulasi dalam kalangan penganalisis pertahanan.
Sesetengah pakar percaya tentera Israel (IDF) sengaja menjimatkan stok pemintasnya — teori yang disokong laporan The Wall Street Journal semasa perang yang mendedahkan Israel berada pada tahap kritikal stok peluru berpandu pemintas Arrow sehingga memaksa komander memilih sasaran mana yang layak dipintas.

IDF bagaimanapun menafikan laporan itu dengan menegaskan bahawa inventori peluru berpandunya telah disiapkan terlebih dahulu untuk menghadapi konflik berpanjangan.
Namun, pelbagai sumber mengesahkan bahawa skala serangan bercampur Iran — menggabungkan peluru berpandu balistik berkelajuan tinggi, dron perlahan dan peluru berpandu bermanuver — benar-benar memaksa Israel dan rakan ASnya meregangkan rantaian ‘kill chain’ mereka ke tahap maksimum.
Sementara itu, akhbar Israel Haaretz melaporkan bahawa tentera Amerika Syarikat telah menggunakan 93 pemintas THAAD dalam tempoh 11 hari untuk mempertahankan Israel, sekali gus menyemak semula anggaran kos operasi itu daripada USD 800 juta (RM3.76 bilion) kepada kira-kira USD 1.2 bilion (RM5.64 bilion).
Memandangkan kadar pengeluaran tahunan pemintas THAAD hanya sekitar 36 hingga 48 unit, Amerika Syarikat secara praktikalnya telah menghabiskan stok untuk tempoh hampir dua tahun dalam konflik tersebut.
Tambah memburukkan keadaan, Iran turut mendedahkan penggunaan peluru-peluru berpandu menggunakan teknologi baharu semasa serangan itu.
Pada 19 Jun lalu, pasukan Iran dilapor menggunakan sekurang-kurangnya peluru berpandu ballistik dengan hulu ledak bom kluster yang melepaskan lebih 20 submunisi di kawasan letupan seluas lapan kilometer persegi.
Salah satu submunisi seberat 2.5 kilogram itu mengenai sebuah rumah kediaman di bandar Azor, Israel tengah, dengan kesan kerosakan setanding dengan serangan roket medan perang.

Penganalisis pertahanan berpendapat penggunaan bom kluster ini bersama peluru berpandu berkeupayaan hipersonik dan MaRV menandakan titik perubahan baharu bagi doktrin pertahanan peluru berpandu Israel dan Amerika Syarikat.
Kenderaan luncur hipersonik yang bergerak pada kelajuan melebihi Mach 5 dan mampu bermanuver secara mendadak di pertengahan perjalanan amat sukar dipintas oleh sistem pemintas lama yang direka untuk trajektori balistik konvensional.
Ramai percaya kemajuan Iran ini diilhamkan atau dipengaruhi pemindahan teknologi daripada penyelidikan kenderaan luncur DF-17 China dan platform Avangard Rusia, yang telah mengubah perimbangan pertahanan strategik peluru berpandu di peringkat global.
Walaupun Iron Dome masih diiktiraf sebagai sistem pertahanan jarak dekat paling banyak teruji dalam peperangan sebenar, had reka bentuknya menyebabkan ancaman lebih berat, pantas dan bermanuver perlu ditangani sistem tahap atasan seperti David’s Sling, Arrow 2/3, dan rangkaian THAAD Amerika Syarikat — beban yang secara langsung melonjakkan kos setiap pemintasan.
Keseluruhannya, serangan peluru berpandu dan dron Iran telah merosakkan lebih 40 tapak infrastruktur Israel, termasuk grid tenaga, kilang industri, dan nod pengangkutan yang membekalkan unit barisan hadapan Israel dengan bahan api, peluru, dan sokongan logistik.
Kesan psikologi dan geopolitik serangan ini bergema jauh melangkaui kawah letupan yang ditinggalkan.
Keupayaan Teheran untuk secara serentak mencabar pertahanan peluru berpandu Israel, menghabiskan stok simpanan AS dan menimbulkan keraguan terhadap keutuhan ‘Iron Shield’ menghantar isyarat yang jelas kepada negara-negara Teluk Arab, rakan NATO Barat, dan musuh-musuh Teheran di dunia Sunni.
