Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Rakyat Thai Berang, Jaket Keselamatan Di Kapal HTMS Sukhotai Tidak Mencukupi

Tumpuan utama kemarahan rakyat Thailand terhadap kerajaan dan Tentera Laut Diraja Thailand adalah dakwaan bahawa kapal HTMS Sukhotai berusia 36 tahun itu tidak memiliki jaket keselamatan yang mencukupi untuk kesemua 105 anak kapalnya, menyebabkan sebahagian daripada mereka “terjun ke laut” untuk menyelamatkan diri tanpa memakai jaket keselamatan.

0 2,741

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pimpinan kanan Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) berhadapan dengan kemarahan dan persoalan daripada rakyat negara itu yang terkejut serta sedih berikutan insiden yang menimpa kapal korvet negara itu, HTMS Sukhotai pada Ahad lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Chaicharn Changmongkol mewakili Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha merangkap Menteri Pertahanan  telah dipanggil oleh Parlimen negara itu semalam untuk memberikan keterangan tentang insiden malang itu, yang telah mengorbankan enam orang setakat ini manakala 23 dikategorikan sebagai masih hilang.

Siasatan formal juga telah dilancarkan bagi mencari jawapan kepada tragedi yang menimbulkan kemarahan dan kesedihan rakyat Thailand.  

Tumpuan utama kemarahan rakyat Thailand terhadap kerajaan dan Tentera Laut Diraja Thailand adalah dakwaan bahawa kapal perang berusia 36 tahun itu tidak memiliki jaket keselamatan yang mencukupi untuk kesemua 105 anak kapalnya, menyebabkan sebahagian daripada mereka “terjun ke laut” untuk menyelamatkan diri tanpa memakai jaket keselamatan.

Terdapat juga dakwaan mengatakan rakit keselamatan (life raft) milik kapal perang yang malang itu tidak berfungsi dengan baik.

HTMS Sukhotai
HTMS Sukhotai

 

Mereka juga ingin mengetahui keadan terkini kapal perang yang dibina oleh syarikat Amerika Syarikat dan sama ada ia berkeupayaan untuk mengharungi keadaan laut yang bergelora akibat cuaca buruk.

Mereka juga mempersoalkan sama ada maklumat daripada Jabatan Meteorological negara diambil kira sebelum membenarkan kapal perang itu belayar.

Panglima Tentera Laut Thailand Choengchai Chomchoengphaet sebagaimana dipetik oleh media negara itu mengakui bahawa “jaket keselamatan di kapal HTMS Sukhotai adalah tidak mencukupi” ketika itu tenggelam di Teluk Siam Ahad lalu akibat cuaca buruk.

Menurutnya, 30 daripada 105 anak kapal yang malang itu tidak memakai jaket keselamatan ketika kapal korvet itu tenggelam kira-kira 19 batu nautika daripada wilayah Prachuab Khiri Khan.

Beliau juga menambah bahawa daripada 75 orang anak kapal yang berjaya diselamatkan sejurus selepas HTMS Sukhotai itu tenggelam, 18 daripada mereka tidak memakai jaket keselamatan.

HTMS Sukhotai
HTMS Sukhotai sebelum ia tenggelam ke dasar Teluk Siam.

 

Ini bermakna daripada 23 anak kapal yang masih hilang sehingga kini, sebanyak 12 daripada mereka tidak memakai jaket keselamatan.

Panglima Tentera Laut Thailand juga berkata bahawa jaket keselamatan tidak menjamin seseorang itu akan hidup kerana sebagai anggota tentera laut mereka juga telah dilatih dengan skil-skil untuk terus hidup (survival skill).

“Skil paling utama bagi mereka yang hilang di laut adalah bukan perenang yang baik tetapi bagaimana menyimpan tenaga (energy conservation),”kata Choengchai lagi.

Mengenai keadaan kapal HTMS Sukhotai itu, Panglima Tentera Laut Thailand itu berkata bahawa kapal perang itu telah dinaiktaraf beberapa kali,dengan kali terakhir kerja naik taraf itu adalah adalah pada 2018 sebelum dibenarkan operasi pada 2020.

Sementara itu terdapat anggota parlimen Thailand mendakwa bahawa masalah kekurangan jaket keselamatan itu bukan hanya berlaku pada anak-anak kapal HTMS Sukhotai, tetapi juga berlaku di kapal-kapal perang negara itu yang lain.

HTMS Sukhotai
Sebahagian daripada anak-anak kapal HTMS Sukhotai yang berjaya diselamatkan.

 

Bukan sahaja kapal-kapal perang Thailand itu memiliki jaket keselamatan yang mencukupi, malah jaket keselamatan yang sedia ada juga telah rosak dan tidak boleh digunakan lagi oleh anggota tentera, dakwa Phicharn Chaowapattanawong, Timbalan Ketua Parti Kao Klai negara itu.

HTMS Sukhotai merupakan salah satu daripada dua buah kapal korvet kelas-Ratanakosin yang dibina oleh syarikat,Tacoma Boatbuilding Company daripada Amerika Syarikat,

Kapal pertama daripada kelas itu, HTMS Ratanakosin (FS-441) telah ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Diraja Thailand pada 1986 manakala HTMS Sukhotai pula ditauliahkan setahun selepas itu,– DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments
Loading...