Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Puas Hati Kemajuan Pembinaan 13 FIC Bernilai RM120 Juta

Keseluruhan 13 buah Fast Interceptor Craft (FIC) itu dijadual siap secara berfasa sehingga tahun 2024 di mana empat buah FIC bakal diterima oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun depan manakala sembilan buah FIC yang seterusnya diterima pada tahun 2024.

0 5,591

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan berpuashati dengan kemajuan projek pembinaan 13 buah Fast Interceptor Craft (FIC) bernilai RM120 juta oleh syarikat Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi media sosialnya, mesyuarat Project Management Review (PMR) yang pertama bagi kontrak perolehan 13 buah FIC telah diadakan di Lumut semalam.

Mesyuarat PMR itu bertujuan untuk melihat status terkini projek serta menilai semula pelaksanaan kontrak terutama aktiviti-aktiviti utama yang melibatkan pembinaan, penerimaan serta jadual pembayaran.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan Mohammad Abiddin Abd Rahman dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan TLDM serta syarikat Gading Marine.

“Secara keseluruhannya, kemajuan terkini projek telah mencapai tahap 15.02 peratus iaitu awal 40 hari berbanding 10.0 peratus yang dirancang.”

FIC
(TLDM)

 

“Pengerusi berpuas hati dengan pencapaian projek setakat ini walaupun masih di peringkat awal namun mengingatkan semua pihak yang terlibat khususnya pihak kontraktor supaya fokus terhadap tanggungjawab mereka dengan mengekalkan momentum kerja memastikan projek ini disiapkan dengan jaya mengikut  garis masa yang dirancang,” menurut kenyataan itu.

Ahli mesyuarat telah melawat lokasi pembinaan 4 buah FIC fasa pertama di limbungan Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd, Kampung Acheh, Sitiawan. 

Keseluruhan 13 buah FIC itu dijadualkan siap secara berfasa sehingga tahun 2024 di mana empat buah FIC bakal diterima oleh TLDM pada tahun depan manakala sembilan buah FIC yang seterusnya diterima pada tahun 2024.

FIC
(TLDM)

 

Pada Mac tahun lepas, TLDM telah menerima enam buah FIC bernilai RM80 juta yang ditempatkan di pangkalan utama TLDM di seluruh negara.

Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, FIC itu akan digunakan untuk penugasan operasi bagi memperkukuh tahap kawalan di perairan negara terutama Op Benteng.

FIC itu dilengkapi dengan dua jentera utama dengan sistem dorongan water jet, berkemampuan mencapai kelajuan maksimum melebihi 50 knot dan dikendalikan lima kru serta mampu membawa sehingga lapan anggota Quick Reaction Force (QRF) pada satu-satu masa.

FIC

Ia boleh dilengkapkan dengan Remote Control Weapon System (RCWS) dengan mesingan berat 12.7mm serta mesingan 7.62mm.

 Aset TLDM itu diletakkan dalam Skuadron Fast Combat Boat (FCB).

Skuadron itu berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara terutama kepada kapal TLDM dalam penugasan Op Benteng dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan berpulau. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

Comments
Loading...