Komando Amerika Selamatkan 70 Kakitangan Kedutaannya Di Sudan. Bagaimana Wisma Putra?
Beberapa negara "berlumba-lumba" mahu menyelamatkan rakyat mereka daripada Sudan selepas Amerika Syarikat menghantar anggota komandonya dalam tiga buah helikopter Chinook untuk menyelamatkan kira-kira 70 kakitangan kedutaannya di Khartoum dan membawa mereka ke lokasi selamat. Bagaimanapula perancangan Wisma Putra untuk membawa rakyat Malaysia keluar daripada Sudan?
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha menyelamat warga asing yang terperangkap di ibu negara Sudan, Khartoum diperhebat dengan beberapa negara “berlumba-lumba” untuk membawa keluar rakyat mereka daripada negara bergolak itu selepas gencatan senjata yang diusahakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri gagal bertahan dan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak meletus kembali.
Kedua-dua pihak yang bertelagah, tentera Sudan dan pasukan paramilitari Rapid Support Forces (RSF) tidak menghiraukan gencatan senjata yang diisytihar dan pertempuran sengit berlaku di serata lokasi di Khartoum.
Amerika Syarikat menghantar pasukan khasnya terdiri daripada anggota tentera daripada SEALS dan pasukan khas tentera darat yang lain di bawah pemerintah Pusat Pemerintahan Afrika (AFRICOM) untuk menyelamatkan 70 orang kakitangan di kedutannya di Khartoum.
Turut diselamatkan adalah diplomat warga negara asing, tetapi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat tidak mendedahkan kewarganegaraan mereka.
Perintah supaya operasi menyelamatkan kakitangan kedutaan Amerika Syarikat di Khartoum itu dikeluarkan oleh Presiden Jo Biden.
Menurut laporan, tentera Amerika Syarikat menggunakan tiga buah helikopter Chinook yang berlepas daripada Djibouti untuk mengisi minyak dan singgah sekali lagi di Eritrea, sebelum menuju ke bangunan kedutaan di Khartoum.
“Pasukan khas tentera Amerika Syarikat itu hanya mengambil masa satu jam untuk melaksanakan operasi menyelamat itu, tanpa melepaskan sebarang tembakan,” menurut laporan.
Walaupun berjaya menyelamatkan rakyatnya yang bertugas di kedutaan negara itu di Khartoum, tetapi dianggarkan terdapat kira-kira 16,000 rakyat Amerika Syarikat berada di negara Afrika yang sedang bergolak itu.
Selain Amerika Syarikat, Perancis dan beberapa negara Eropah juga sedang berusaha untuk menyelamatkan rakyat mereka yang terperangkap di ibu negara Sudan berikutan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak yang bertelagah.
Kementerian Luar Perancis berkata ia sedang bekerjasama dengan beberapa negara Eropah dan rakan sekutunya untuk membawa keluar rakyat mereka dengan segera.
Comments are closed.