Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Singapura Tambah Lapan Buah F-35A, Jadikan Keseluruhan F-35 Dimilikinya 20 Buah

Pengumuman hari ini menjadikan keseluruhan pesawat pejuang generasi kelima F-35 buatan syarikat Lockheed Martin yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) kepada 20 buah.

0 2,562

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Singapura mengumumkan bahawa ia akan membeli lapan lagi buah pesawat pejuang generasi kelima F-35A, bagi menambah 12 buah pesawat pejuang F-35B (Vertical Short Take Off Landing – VSTOL) yang telah pun dipesannya sebelum ini.

Pengumuman hari ini menjadikan keseluruhan pesawat F-35 buatan syarikat Lockheed Martin yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) kepada 20 buah.

Bercakap di Parlimen republik itu hari ini, Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hean berkata, kelapan-lapan pesawat pejuang F-35A yang dipesan itu dijangka diterima oleh Singapura pada tahun 2030.

“Apabila beroperasi kelak, pesawat-pesawat F-35 itu akan meletakkan RSAF dalam ‘Liga Premier’,” kata beliau sambil menambah bahawa perolehan pesawat pejuang generasi kelima itu adalah untuk mengambil peluang harganya kini yang lebih kompetitif berikutan permintaannya daripada seluruh dunia.

Menteri Pertahanan Singapura itu bagaimanapun tidak mendedahkan nilai perolehan lapan buah pesawat pejuang F-35A oleh republik itu.

F-35B
F-35B Vertical Short Take-Off Landing (VSTOL)

 

Varian F-35A merupakan pesawat pejuang konvensional yang memerlukan landasan yang panjang untuk berlepas dan mendarat, manakala varian F-35B yang lebih malah hanya memerlukan landasan yang pendek untuk berlepas dan mendarat.

Pesawat pejuang F-35 itu mempunyai tiga varian iaitu “A”, “B” dan “C” yang khusus untuk operasi di kapal-kapal pengangkut pesawat dan kini hanya digunakan oleh Amerika Syarikat.

Secara keseluruhannya, bajet pertahanan Singapura pada tahun ini mencatat peningkatan sebanyak 2.5 peratus kepada US$15 bilion (RM67.5 bilion) atau kira-kira tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu.

Bagi Malaysia pula, belanjawan pertahanannya pada tahun ini adalah RM19.7 bilion atau hanya 1 peratus daripada KDNK negara.

Pada Februari tahun lepas, Singapura mengumumkan ia telah membeli lapan buah pesawat pejuang generasi kelima, F-35B.

F-35
F-35B VSTOL

 

Ia bagi menambah empat buah pesawat F-35 yang diperolehinya pada 2019 yang dianggarkan bernilai US$2.75 bilion (RM11 bilion).

Singapura akan mula menerima empat buah pesawat pejuang F-35B miliknya itu pada 2026.

Varian F-35B VSTOL yang dibeli oleh Singapura ini hanya memerlukan landasan yang amat pendek iaitu hanya kira-kira 550 kaki panjang bagi membolehkan pesawat pejuang generasi kelima itu berlepas manakala untuk mendarat pula ia boleh dilakukan secara vertikal.

Pesawat F-35B yang diperolehi oleh Singapura itu agak mahal harganya disebabkan keistimewaan VSTOL itu, dengan harga per-unit pesawat itu adalah dianggarkan US$110 juta (RM440 juta) sebuah.

Ia berbanding dengan harga per-unit bagi varian F-35A yang memerlukan landasan untuk berlepas dan mendarat yang dianggarkan sebanyak US$80 juta (RM320 juta). — DSA

(LAGI BERITA TENTANG PESAWAT PEJUANG F-35)

Notis

Comments
Loading...