Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Buat “Perarakan Propaganda” Kenderaan M2A2 Bradley IFV Amerika Yang Ditawan

Sebuah kereta perisai M2A2 Bradley Infantry Fighting Vehicle (IFV) buatan Amerika Syarikat yang ditawan oleh tentera Russia di Ukraine telah dibawa menaiki keretapi ke Moscow dalam tindakan dianggap “perarakan propaganda” oleh pemerhati pertahanan Barat.

0 8,247

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kereta perisai M2A2 Bradley Infantry Fighting Vehicle (IFV) buatan Amerika Syarikat yang ditawan oleh tentera Russia di Ukraine telah dibawa menaiki keretapi ke Moscow dalam tindakan dianggap “perarakan propaganda” oleh pemerhati pertahanan Barat.

Menurut laporan, kereta perisai Amerika Syarikat yang ditawan oleh tentera Russia itu telah tiba di Moscow pada 26 Februari untuk dibawa ke sebuah muzium tentera di luar ibu negara Russia itu.

Walaupun laporan media Russia itu tidak menamakan muzium itu,tetapi pemerhati menyatakan bahawa ia adalah Patriot Park di Kubinka di luar Moscow yang telah menjadi “rumah” kepada pelbagai peralatan ketenteraan yang berjaya ditawan oleh tentera Russia di Ukraine.

Gambar-gambar Bradley IFV yang ditawan oleh Russia itu telah tersebar di media-media sosial Russia.

Dalam satu gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan bahagian belakang kereta perisai berlubang-lubang akibat terkena bedilan meriam dipercayai 30mm.

Bradley
Kenderaan Bradley IFV yang ditawan Russia

 

Pemerhati menyatakan anggota tentera Ukraine berulang-kali menembak kenderaan perisai Bradley itu dalam usaha mereka untuk memusnahkan kenderaan itu dan mengelakkan ia daripada ditawan oleh tentera Russia dalam keadaan “sempurna.”

Sejak Amerika membekalkan lebih daripada 180 buah kenderaan IFV Bradley kepada Ukraine akhir tahun lepas, tentera Russia dikatakan telah berjaya memusnahkan atau merosakkan kira-kira 68 buah kenderaan itu.

Bagaimanapun pemerhati menyatakan bilangan kenderaan IFV Bradley yang musnah ditangan tentera Russia di Ukraine adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Pada Disember tahun lepas, sebuah stesen televisyen Russia telah menayangkan kereta perisai Bradley IFV buatan Amerika Syarikat yang berjaya ditawannya dalam keadaan hampir sempurna tanpa kerosakan besar daripada medan pertempuran di wilayah Luhansk, Ukraine.

Kereta perisai Bradley IFV itu berjaya ditawan oleh tentera Russia selepas terbabit dalam pertempuran menyebabkan enjinnya gagal berfungsi dan memaksa anggota tentera Ukraine untuk meninggalkannya.

Bradley
Kesan tembakan meriam terhadap kenderaan IFV Bradley.

 

Menurut pengacara stesen televisyen Channel 1 Russia itu, kejayaan menawan kereta perisai Bradley IFV dalam keadaan hampir sempurna tanpa sebarang kerosakan besar akan membolehkan tentera Russia mengenalpasti kelemahan-kelemahan kenderaan perisai itu yang boleh dieksploitasi.

Rancangan televisyen Russia itu turut menampilkan beberapa individu bertopeng tidak dikenalpasti yang bertanggungawab membawa balik kereta perisai Bradley IFV  itu ke Russia untuk tujuan kajian lanjut oleh pakar persenjataan negara itu.

Menurut individu terbabit, mereka berjaya mengambil kereta perisai Bradley IFV dalam waktu malam dan kabus tebal kira-kira 500 meter daripada tentera Ukraine, menundanya daripada kawasan dipenuhi periuk api selepas percubaan pertama menemui kegagalan.

Kereta perisai Bradley IFV yang dipaparkan oleh stesen televisyen itu menunjukkan ia dipenuhi dengan kesan tembakan, di mana pengacara mengatakan ia berpunca daripada dron tentera Ukraine yang cuba memusnahkan peralatan berteknologi tinggi dalam kenderaan perisai yang ditinggalkan oleh anggota tentera Ukraine.

Bradley
Anggota tentera Ukraine bersama kenderaan IFV Bradley.

 

Sementara itu pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dipetik oleh media pertahanan antarabangsa enggan menyatakan sama ada mereka bimbang dengan penawanan kenderaan perisai Bradley IFV oleh Russia.

“Saya tidak akan melakukan spekulasi sama ada kereta perisai Bradley IFV ini telah ditawan atau tidak dan saya juga tidak akan bercakap mengenai perkara-perkara perisikan,” kata pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat itu. — DSA

(LAGI BERITA TENTANG M2A2 BRADLEY)

Notis

Comments
Loading...