Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Generasi Kelima F-35C Amerika “Tersembam” Selepas “Kakinya Patah”

Menurut portal The Aviationist, pesawat pejuang F-35C yang malang itu dioperasikan oleh Marine Fighter Attack Squadron (VMFA) 311 dan ketika insiden yang memalukan bagi pesawat pejuang bernilai ratusan juta ringgit berlaku ia sedang berada di Naval Air Station Fallon di Nevada.

0 4,983

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pejuang F-35C Lightning II milik Kor Marin Amerika Syarikat seolah-olah seperti “patah kaki” selepas gear pendaratannya mengalami kerosakan sehingga menyebabkan pesawat generasi kelima itu “tersembam” menyembah bumi.

Ketika insiden terbabit, pesawat pejuang itu berada di dalam hangar selepas melaksanakan misi latihan.

Menurut portal The Aviationist, pesawat pejuang F-35C yang malang itu dioperasikan oleh Marine Fighter Attack Squadron (VMFA) 311 dan ketika insiden yang memalukan bagi pesawat pejuang bernilai ratusan juta ringgit berlaku ia sedang berada di Naval Air Station Fallon di Nevada.

Seorang pembaca portal terbabit, mengirimkan gambar-gambar insiden membabitkan pesawat pejuang canggih itu.

Menurut portal terbabit, gambar-gambar yang dikirimkan itu nampaknya tulen dan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, insiden tersebut membabitkan pesawat F-35C dengan airframe airframe CF-89/170109, berkod “WL-04”.

F-35C
(Aviationist)

 

Pesawat terbabit diletakkan di hangar untuk berlindung daripada cuaca panas selepas kembali daripada misi latihan pada 26 Jan, 2024.

Portal terbabit menyatakan bahawa selepas juruterbang itu mematikan enjin pesawat itu tanpa sebarang masalah, juruterbang itu telah turun daripada pesawat kombat itu menggunakan tangga dan pada ketika itulah gear pendaratan itu mengalami kerosakan sehingga menyebabkan bahagian hadapan pesawat itu “tersembam.”

The Aviationist menyatakan bahawa ini adalah kali pertama insiden membabitkan gear pendaratan pesawat F-35C itu mengalami kerosakan sehingga menyebabkan bahagian hadapan pesawat tersembam.

Sebelum ini, masalah kerosakan gear pendaratan hanya dilaporkan berlaku pada varian-varian pesawat F-35A dan F-35B.

Pesawat pejuang generasi kelima F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu mempunyai tiga varian iaitu A, B dan C.

F-35C
Pesawat F-35C dengan kepaknya yang boleh dilipat bagi membolehkannya beroperasi di kapal pengangkut pesawat.

 

Pesawat pejuang F-35A itu menggunakan landasan konvensional manakala varian F-35B pula adalah pesawat yang menggunakan teknologi VSTOL (Vertical Short Take-Off and Landing) yang membolehkan pesawat itu berlepas dan mendarat secara  vertikal serta landasan yang pendek.

Manakala bagi varian pesawat F-35C pula yang dikatakan paling mahal dan canggih berbanding varian-varian yang lain, ia adalah pesawat-pesawat yang beroperasi di kapal-kapal pengangkut pesawat.

Pada ketika ini hanya Amerika Syarikat menggunakan varian F-35C kerana ia tidak menjual varian itu kepada negara-negara luar.

Sehingga kini, Kor Marin Amerika Syarikat masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden sebuah pesawat kombatnya bernilai lebih daripada US$100 juta itu mengalami kerosakan gear pendaratan. — DSA

Notis

 

 

Comments
Loading...