Russia Mula Guna Bom Bersayap “Gergasi” Seberat 1.5 Tan
Bom “bersayap” dan kit kawalan penerbangan, UMPK FAB 1500 M54 seberat 1.5 tan itu dilapor memiliki sehingga 700kg bahan peledak, yang mampu menyebabkan terbentuknya kawah sedalam 15 meter manakala radius kawasan yang terjejas hasil letupan bom seberat 1.5 tan itu pula adalah 2km.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas beberapa bulan menjalankan ujian, Tentera Udara Russia telah menggugurkan bom UMPK FAB 1500 M54 seberat 1.5 tan yang dilengkapi dengan “sayap” (glider) serta kit kawalan penerbangan terhadap lokasi sasaran tidak dikenalpasti di kawasan operasi di Ukraine.
Dalam ujian yang dilancarkan, pesawat Su-34 “Fullback” dilengkapi dengan bom 1.5 tan terbabit berjaya membedil sasaran dengan tepat.
Bom UMPK FAB 1500 M54 itu dikatakan memiliki CEP (Circular Error Probable) sebanyak 5 meter.
Bom FAB 1500 M54 sebelum dilengkapi dengan sayap dan kit panduan kawalan penerbangan UMPK diibaratkan seperti “bom bodoh” yang digugurkan secara membuta-tuli terhadap sasaran, tanpa memikirkan tentang ketepatan.
Bagaimanapun selepas dilengkapi dengan sayap dan kit panduan kawalan penerbangan, bom UMPK FAB 1500 M54 “bertukar” menjadi bom stand-off dan meluncur (glide) selepas digugurkan ke sasaran pada jarak yang lebih jauh.
Unifitsirovannyi Modul Planirovaniya i Korrektsii (UMPK), adalah kit bagi “sayap” dan kawalan penerbangan.
Penganalisis pertahanan Russia menyatakan bom “sayap” UMPK FAB 1500 M54 itu berkemampuan meluncur sejauh 80km atau lebih selepas ia digugurkan oleh pesawat pejuang.
Dengan kemampuan stand-off, pesawat pejuang Tentera Udara Russia boleh mengugurkan bom UMPK FAB 1500 M54 yang dilengkapi dengan sayap dan kit kawalan penerbangan UMPK itu pada jarak yang lebih jauh, tanpa perlu memasuki ruang udara Ukraine yang “dikawal ketat” oleh sistem pertahanan udara.
Pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-34 yang berkemampuan membawa bom UMPK FAB 1500 M54 boleh menyerang kedudukan tentera Ukraine yang berada jauh di dalam negara itu tanpa perlu memasuki negara Eropah Timur itu.
Pesawat pejuang Russia tidak perlu berhadapan dengan risiko ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Ukraine yang semakin berkeupayaan,selepas dibekalkan dengan sistem-sistem pertahanan udara Barat.
Bom “bersayap” dan kit kawalan penerbangan, UMPK FAB 1500 M54 seberat 1.5 tan itu dilapor memiliki sehingga 700kg bahan peledak, yang mampu menyebabkan terbentuknya kawah sedalam 15 meter manakala radius kawasan yang terjejas hasil letupan bom seberat 1.5 tan itu pula adalah 2km.
Setiap sebuah pesawat pejuang Su-34 boleh membawa sehingga tiga buah bom bersayap UMPK FAB 1500 M54 dan mengugurkan ketiga-tiga bom itu secara serentak, bagi memberikan kemusnahan maksimum kepada lokasi menjadi sasarannya.
Sebelum ini, Tentera Ukraine sendiri mengakui bahawa ia berhadapan dengan masalah besar untuk menangani serangan-serangan udara oleh pesawat Russia yang menggugurkan bom-bom FAB yang dilengkapi dengan kit kawalan penerbangan dan juga “sayap”.
“Sistem pertahanan udara Ukraine gagal memintas bom-bom bersayap yang digugurkan oleh pesawat pejuang Russia. Ini adalah suatu bentuk ancaman yang baru kepada Ukraine, bom-bom seberat 500 kilogram yang boleh ‘terbang’ untuk jarak tertentu selepas ia dilengkapi dengan sayap-sayap,” kata jurucakap Pemerintahan Tentera Udara Ukraine Yuriy Inhat.
Daripada bom-bom seberat 500kg, kini Russia bertindak melengkapkan bom-bom seberat 1.5 tan dengan kit panduan UMPK yang memberikan bom itu “sayap” dan kit kawalan penerbangan.
Russia dilaporkan mempertingkatkan penggunaan bom-bom FAB-500M-62 yang dilengkapi dengan kit yang dipanggil “Modul Planirovaniya I Korrektsi (MPK)” atau modul “luncuran dan pembetulan.”
Media Russia dipanggil “Military Review” telah berkongsi gambar-gambar bom FAB-500 yang gagal meledak di sebuah jalan di Donetsk dan awal Januari lepas, gambar bom FAB-500M-62 dengan sayap misteri juga telah tersebar di media online.
Bom dengan sayap misteri pada ketika itu telah digugurkan oleh pesawat pejuang Su-34.
Bagi pihak Ukraine, sejak beberapa bulan lepas pesawat-pesawat pejuangnya kini bukan sahaja dilengkapi dengan bom-bom JDAM tetapi ia juga dibekalkan dengan Ground-Launched Small Diameter Bombs (GLSDB) untuk membedil kedudukan tentera Russia.
Selain itu, Tentera Udara Ukraine juga dibekalkan dengan peluru-peluru berpandu kruis “Storm Shadow” oleh Britain, “SCALP EG”oleh Perancis dan kini sedang menanti peluru berpandu kruis”Taurus” daripada Jerman. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.