Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

STM Dari Turkiye “Semakin Pasti” Jadi Pilihan Program LMS Batch 2 TLDM

Sumber-sumber industri memberitahu Defence Security Asia (DSA) bahawa perolehan kapal LMS Batch 2 untuk keperluan TLDM merupakan di antara elemen utama Memorandum Persefahaman (MoU) Pertahana yang bakal dimeterai oleh Malaysia dan Turkiye tidak lama lagi.

0 8,028

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat STM daripada Turkiye dilaporkan semakin pasti akan diberikan kepercayaan oleh kerajaan Malaysia untuk membina kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sumber-sumber industri memberitahu Defence Security Asia (DSA) bahawa perolehan kapal LMS Batch 2 untuk keperluan TLDM merupakan di antara elemen utama Memorandum Persefahaman (MoU) Pertahana yang bakal dimeterai oleh Malaysia dan Turkiye tidak lama lagi.

Ia hanya mengesahkan bahawa cadangan perolehan kapal LMS Batch 2 itu secara G-to-G (Government-to-Government) masih berjalan dengan baik, walaupun terdapat spekulasi menyatakan bahawa perolehan kapal-kapal LMS Batch 2 itu akan dilakukan secara tender antarabangsa sebelum ini.

Ada
Kapal korvet Tentera Laut Turkiye daripada kelas-Ada.

 

Pada pameran LIMA 2023 di Langkawi Mei lepas, spekulasi bahawa perolehan kapal LMS Batch 2 itu mungkin dilakukan secara tender terbuka antarabangsa muncul apabila beberapa syarikat pembuat kapal antarabangsa menawarkan kapal-kapal mereka untuk memenuhi keperluan kapal LMS Batch 2 TLDM.

Sumber juga membayangkan kepada DSA bahawa selain daripada kapal-kapal LMS Batch 2, terdapat perolehan aset lain juga akan dilakukan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi MoU Pertahanan di antara Kuala Lumpur dan Ankara itu.

Selain itu MoU Pertahanan antara Turkiye dan Malaysia juga dijangka meliputi isu-isu berkenaan kerjasama industri pertahanan kedua-dua negara.

Bagaimanapun MoU Pertahanan itu berkemungkinan besar tidak akan membabitkan perolehan 18 unit meriam Self Propelled Howitzer (SPH) untuk tentera darat memandangkan perolehan aset itu akan dilakukan secara tender terbuka antarabangsa.

Syarikat Turkiye, MKE yang membangunkan sistem meriam SPH “Yavuz” 155mm dilaporkan adalah frontrunner untuk memenangi persaingan merebut kontrak itu.

Dalam satu sidang video dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Ogos lalu, Presiden Turkiye Recep Tayyep Edrogan menyuarakan hasratnya mahukan negaranya dan Malaysia memuktamadkan Memorandum Persefahaman berkenaan pertahanan secepat mungkin.

Ada
Ada-class corvette by STM

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Direktorat Komunikasi Presidensi dan dipetik agensi berita negara itu, Anadolu hari ini, memuktamadkan MoU itu adalah untuk memenuhi keperluan Malaysia di dalam bidang pertahanan dengan secepat mungkin.

Kenyataan oleh direktorat itu juga menyebut bahawa Erdogan akan melawat Malaysia dalam kesempatan pertama atas jemputan Perdana Menteri.

Beliau juga melahirkan bahawa hubungan dua hala antara Ankara dan Kuala Lumpur semakin bergerak ke hadapan di atas asas Kerjasama Komprehensif Strategik.

TLDM mensasarkan akan menerima kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 yang pertama pada tahun 2027, disusuli kapal LMS kedua dan LMS ketiga di antara enam hingga sembilan bulan selepas penerimaan kapal pertama.

Dalam kenyataan pada April lepas, Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, tarikh sebenar penerimaan kapal LMS Batch 2 yang kedua dan ketiga akan bergantung kepada proses pembinaannya.

“Kita harapkan tahun ini dapat dimuktamadkan perolehan itu (tiga buah kapal LMS Batch 2). Sekarang ini kita masih menunggu keputusan sama ada kita akan berurusan (bagi peroleh kapal-kapal LMS Batch 2) secara Government-to-Governmen atau secara terus dengan pihak industri yang akan membekalkan kapal tersebut,” kata beliau.

Turkiye
Kapal korvet C92 yang dibangunkan oleh Dearsan Shipyard daripada Turkiye.

 

Berbanding dengan empat buah kapal LMS Batch 1 yang jauh lebih kecil dan tidak memiliki keupayaan kombatan, kapal-kapal LMS Batch 2 bukan sahaja jauh lebih besar, tetapi juga dilengkapkan dengan keupayaan kombatan seperti sistem peluru berpandu kapal-ke-kapal dan juga peluru berpandu kapal-ke-udara.

Keempat-empat kapal LMS Batch 1 diperolehi daripada China dengan kos lebih RM1 bilion.

Syarikat STM daripada Turkiye itu dilapor mengetengahkan kapal korvet kelas-Ada bagi program pembinaan kapal-kapal LMS Batch 2 TLDM.

Kapal korvet kelas-Ada merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal kebangsaan, MILGEM.

LMS
Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM yang dibina oleh syarikat China, CSOC.

 

Kapal korvet kelas-Ada ini dijana oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot.

Ia boleh membawa 93 orang krew kapal.

Dengan panjang keseluruhan kapal 99.56 meter, kapal korvet kelas-Ada memiliki berat 2,400 tan. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...