Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bom Pintar Amerika Gagal Temui Sasaran Akibat “Jamming” Sistem EW Russia

Pegawai-pegawai Pentagon mengesahkan kepada media Amerika Syarikat bahawa bom-bom pintar seperti JDAM dan JDAM-ER yang dibekalkan oleh Washington kepada tentera Ukraine telah gagal mengenai sasarannya akibat “gangguan" (jamming) terhadap signal GPS oleh sistem peperangan elektronik tentera Russia.

0 1,746

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan rahsia oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) yang didedahkan kepada umum minggu lepas telah menyatakan kebimbangan berkenaan kegagalan bom-bom pintar (smart bombs) yang dibekalkan kepada tentera Ukraine dalam memusnahkan sasaran tentera Russia.

Pegawai-pegawai Pentagon mengesahkan kepada media Amerika Syarikat bahawa bom-bom pintar yang dibekalkan oleh Washington kepada tentera Ukraine telah gagal mengenai sasarannya akibat “diganggu” (jamming) oleh sistem peperangan elektronik (Electronic Warfare – EW) tentera Russia.

Sistem peperangan elektronik Russia telah menganggu (jamming) signal GPS (Global Positioning System) yang digunakan oleh bom-bom pintar, menyebabkan kegagalan bom-bom itu mengenai sasaran mereka.

JDAM

Sejak beberapa bulan lepas, Amerika Syarikat telah membekalkan bom-bom pintar terdiri daripada bom JDAM-ER (Joint Direct Attack Munitions-Extended Range) kepada tentera Ukraine bagi membolehkan mereka menyerang sasaran tentera Russia dengan lebih tepat daripada jarak yang lebih jauh.

Sasaran tentera Russia di Ukraine yang menjadi sasaran bom-bom pintar buatan Amerika Syarikat termasuklah jambatan dan kubu-kubu pertahanan yang diperkukuhkan.

Laporan media Ukraine mengatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang tentera Ukraine mula menggunakan bom-bom pintar JDAM-ER pada awal bulan Mac lepas terutamanya di kedudukan tentera Russia di Bakhmut.

Laporan rahsia Pentagon yang didedahkan kepada awam minggu lepas itu memberi contoh bagaimana pesawat-pesawat pejuang Ukraine telah menggugurkan sembilan buah bom pintar JDAM-ER tetapi empat daripadanya gagal menemui sasaran selepas signal GPS bom itu “diganggu” oleh peperangan elektronik tentera Russia.

Laporan itu menyatakan kadar bom-bom pintar itu mengenai sasarannya adalah amat rendah berbanding daripada apa yang dijangkakan mereka, membuktikan bahawa kesan sistem peperangan elektronik tentera Russia terhadap keberkesanan bom pintar dibekalkan oleh Amerika Syarikat itu adalah amat tinggi.

Krasukha
Sistem Peperangan Elektronik (EW) “Krasukha” Russia.

 

Bom-bom pintar JDAM menggunakan kombinasi sistem panduan INS (Inertial Navigation System) dan GPS serta kit-kit JDAM untuk menukar “bom-bom bodoh” menjadi bom-bom pintar.

Bergantung kepada altitude di mana bom-bom JDAM itu digugurkan daripada pesawat pejuang, bom yang dilengkapi dengan kit standard JDAM boleh membedil sasaran sejauh 24km manakala jika dilengkapkan dengan kit JDAM-ER pula, sasaran sejauh 72km boleh dibedil.

Bom-bom pintar sama ada JDAM atau JDAM-ER itu memberikan kemampuan kepada pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Ukraine untuk melancarkan bom-bom secara “fire and forget” jauh daripada kawalan sistem pertahanan udara tentera Russia, sekaligus mengelak mereka daripada ditembak jatuh.

Selain bom-bom pintar seperti JDAM dan JDAM-ER, sistem peperangan elektronik tentera Russia juga telah mengakibatkan roket-roket pintar dilengkapi sistem GPS yang dilancarkan sistem HIMARS dibekalkan kepada tentera Ukraine untuk gagal berfungsi dengan baik.

Tidak dapat dinafikan bahawa tentera Russia memiliki antara sistem peperangan elektronik paling berkeupayaan di dunia serta anggota yang berpengalaman untuk mengendalikannya.

F-16
GBU-38 JDAM

 

Laporan-laporan media sememangnya mengesahkan bahawa tentera Russia berusaha menganggu sistem GPS digunakan oleh musuhnya sebagai sebahagian daripada kempen ketenteraannya di Ukraine.

Pegawai tentera Ukraine mendedahkan bahawa gangguan daripada sistem peperangan elektronik Russia amat kuat di bahagian timur dan beberapa bahagian di selatan Ukraine.

Ukraine juga mendakwa bahawa dron-dron miliknya yang digunakan untuk memantau sasaran tentera Russia termasuk sistem artileri telah diganggu dengan hebat oleh sistem peperangan elektronik tentera Russia. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...