Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Video Aksi Kereta Kebal PT-91 “Twardy” (Pendekar) di Ukraine

(VIDEO) Kereta kebal PT-91 “Twardy” buatan Poland itu adalah hampir sama seperti kereta kebal PT-91M “Pendekar” yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia. Tentera Darat Malaysia memiliki 48 buah kereta kebal utama buatan syarikat Poland, Bumar Labedy itu.

0 7,056

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Video dalam media sosial berkaitan keselamatan baru-baru ini telah memaparkan aksi sebuah kereta kebal PT-91 “Twardy” digunakan oleh Ukraine bagi berhadapan dengan tentera Russia dalam konflik antara kedua-dua negara berjiran yang hampir memasuki dua tahun.

Ia bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi di Ukraine dimana video aksi kereta kebal PT-91 “Twardy” yang didermakan oleh Poland kepada Ukraine itu.

Sebagaimana yang kita tahu, kereta kebal PT-91 “Twardy” buatan Poland itu adalah varian sama seperti kereta kebal PT-91M “Pendekar” yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia, bagaimanapun, Malaysia telah menaiktarafnya dengan beberapa komponen yang jauh lebih baik berbanding dengan apa yang dimiliki oleh Poland.

Tentera Darat Malaysia memiliki 48 buah kereta kebal utama buatan syarikat Poland, Bumar Labedy yang diperolehinya daripada negara Eropah Timur itu pada 2003 dan diterimanya bermula pada tahun 2007.

Kereta kebal PT-91 “Twardy” Poland merupakan kereta kebal T-72M yang telah dinaiktaraf.

Pada September lalu, media sosial berkaitan pertahanan antarabangsa telah memaparkan kemusnahan yang dialami oleh sebuah kereta kebal PT-91 “Twardy” yang didermakan kepada Ukraine oleh Poland untuk menentang pencerobohan tentera Russia.

Gambar-gambar yang disiarkan oleh media sosial berkaitan keselamatan antarabangsa itu menunjukkan kereta kebal PT-91 “Twardy” yang dibekalkan oleh Poland itu sedang terbakar, berkemungkinan selepas dibedil oleh tentera Russia.

Bagaimanapun, gambar-gambar kemusnahan kereta kebal PT-91 “Twardy” itu tidak menjelaskan dengan lanjut bilakah insiden itu berlaku atau lokasi kejadian, tetapi ia dipercayai berlaku ketika Ukraine melancarkan serangan balas musim bunga di wilayah Zaphorizia di selatan Ukraine.

Gambar kemusnahan kereta kebal PT-91  “Twardy” digunakan oleh tentera Ukraine pada September itu adalah yang kedua selepas gambar dan video kemusnahan kereta kebal Poland itu disiarkan oleh media sosial antarabangsa pada Julai lalu.

Akaun media sosial itu mendakwa pada Julai lepas, kereta kebal PT-91 “Twardy” itu telah dimusnahkan oleh tentera Russia bersama-sama kereta kebal T-72EA dan juga kereta perisai M113 yang disumbang oleh tentera Amerika Syarikat.

Pendekar
Kereta kebal “Pendekar” milik Tentera Darat Malaysia (BTDM)

 

Kereta kebal PT-91 Twardy seberat 46 tan itu merupakan varian kereta kebal T-72 yang telah dinaiktaraf dengan alatan dan komponen Barat, menjadikannya lebih berkemampuan dan berkeupayaan daripada kereta kebal T-72 yang asal.

Semasa Perang Dingin, Poland menghasilkan kereta kebal T-72 secara berlesen tetapi pada pertengahan 1980-an ia mula mencari pengganti kepada kereta-kereta kebal buatan Russia-nya itu.

Membeli varian terkini T-72 atau kereta kebal yang lebih moden iaitu T-80 merupakan antara cadangan yang dipertimbangkan oleh Poland, tetapi situasi politik dalam negara pada itu membataskan keupayaan kewangannya.

Oleh itu ia bertindak menaiktaraf kereta-kereta kebal T-72 yang dimiliknya kepada varian T-91 “Twardy.”

Selepas dinaiktaraf, kereta kebal PT-91 adalah amat berlainan dengan T-72 kerana ia telah dilengkapkan dengan plet-plet armor reaktif, enjin lebih berkuasa, fire control system yang jauh lebih baik, mekanisme loading yang baru dan berbagai penambahbaikan yang meningkatkan lagi prestasi PT-91 ke suatu tahap yang baru.

PT-91
Latihan fording snorkelling kereta kebal Pendekar PT-91. (Gambar Daripada Berita Tentera Darat Malaysia)

 

Kereta kebal PT-91 juga menggunakan meriam 125mm smoothbore, yang membolehkan tentera Ukraine menggunakan peluru-peluru yang sama sebagaimana ia gunakan pada kereta-kereta kebal T-72 miliknya.

Tentera Poland dikatakan memiliki sehingga 232 buah kereta-kereta kebal PT-91 “Twardy”.

 Sebagai di antara yang paling kuat menyokong Ukraine, Poland telah menyumbang pelbagai sistem persenjataan bagi membantu tentera negara jirannya itu menangani pencerobohan tentera Russia.

Sejak konflik di antara Russia dan Ukraine tercetus pada Februari tahun lepas, Poland tidak henti-henti mengirimkan bekalan senjata kepada Kiev dan antara senjata yang dihantarnya termasuklah kereta-kereta kebal.

Pada Januari tahun ini, ketika ditemuramah oleh media Kanada, Perdana Menteri Poland Mateusz Morawieki mengesahkan bahawa ia bersedia untuk memindahkan puluhan buah kereta kebal PT-91 “Twardy” miliknya kepada Ukraine.

 “Poland adalah negara pertama yang telah menghantar 250 buah kereta kebal kepada Ukraine. Kali ini kami bersedia untuk menghantar 60 buah daripada kereta kebal PT-91 yang telah dinaiktaraf serta 14 buah kereta kebal Leopard 2,” kata beliau kepada media Kanada. — DSA

 

Comments
Loading...