Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kereta Kebal Abrams Mungkin Tidak Akan “Bertahan Lama” – Pegawai Tentera Ukraine

Nasib yang menimpa kereta-kereta kebal Barat seperti Leopard 1 dan Challenger 2 ditangan tentera Russia baru-baru ini, membimbangkan pegawai tentera Amerika Syarikat bahawa kereta kebal Abrams itu akan menerima nasib yang sama.

0 6,907

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Diantara lapan hingga 10 kereta kebal utama M1A1 Abrams daripada 31 buah yang “didermakan” oleh Amerika Syarikat telah pun tiba di Ukraine beberapa hari lepas dan kini sedang disiap-sediakan sebelum dihantar ke medan peperangan untuk berhadapan dengan tentera Russia.

Bagaimanapun,baru sahaja beberapa hari berada di bumi Ukraine, pegawai tentera Ukraine telah memberikan amaran bahawa kereta kebal buatan Amerika Syarikat seberat 70 tan itu mungkin tidak akan “bertahan lama” di medan peperangan.

Apatah lagi, kereta kebal Abrams yang dibekalkan kepada Ukraine adalah varian M1A1 yang dianggap telah “berusia” serta tidak dilengkapi dengan armor “depleted uranium” serta kemampuan terhad berbanding varian terkininya, M1A2.

Sebagaimana yang dibuktikan di Iraq, kereta kebal M1A1 Abrams itu boleh ditewaskan oleh senjata-senjata anti-kereta kebal yang asas dan berusia.

Ketua Direktorat Perisikan Tentera Ukraine Lt Jen Kirill Budanov berkata, tempoh kereta kebal Abrams berada di medan peperangan di negara itu akan menjadi amat terhad sekiranya aset darat itu digunakan di barisan hadapan secara semberono.

Abrams
Kereta kebal Abrams musnah ketika konflik di Iraq pada 2003.
Abrams
Kereta kebal Abrams milik Tentera Arab Saudi yang dimusnahkan oleh kumpulan bersenjata Houthi di Yemen.

 

“Jika kereta kebal Abrams itu digunakan di barisan hadapan atau sebahagian daripada senario kombat, tempoh masanya (kereta kebal Abrams) berada di medan peperangan itu mungkin akan terhad dan tidak lama,” kata beliau.

Beliau sebaliknya mencadangkan kereta kebal Abrams itu digunakan dalam operasi-operasi terancang (well-planned) dan amat khusus (very-precise) bertujuan untuk memecah benteng pertahanan musuh.

Budanov juga mengatakan bahawa praktikaliti kereta kebal Abrams itu adalah amat terhad, disebabkan penggunaan berleluasa artilleri dan periuk api oleh tentera Russia di medan peperangan konflik Russia-Ukraine itu.

“Artilleri dan periuk api tentera Russia telah menurunkan potensi penggunaan aset-aset armor di kesemua sudut peperangan kepada tahap minimum,” kata pegawai perisikan paling kanan di dalam tentera Ukraine itu.

Pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat dan Barat menaruh harapan yang tinggi terhadap kemampuan kereta kebal Abrams dalam membantu Ukraine memecah benteng pertahanan tentera Russia dalam serangan balas ketika ini.

Abrams
Kereta kebal Abrams memiliki berat 70 tan.

 

Bagaimanapun nasib yang menimpa kereta-kereta kebal Barat seperti Leopard 1 dan Challenger 2 ditangan tentera Russia baru-baru ini, membimbangkan pegawai tentera Amerika Syarikat bahawa kereta kebal Abrams itu akan menerima nasib yang sama.

Kereta IFV Bradley yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine juga menjadi mangsa di medan pertempuran, dengan penganalisis mengatakan sejumlah 80 buah kereta IFV Bradley telah berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia setakat ini.

Amerika Syarikat pada mulanya keberatan untuk membekalkan kereta kebal Abrams kepada Ukraine, tetapi terpaksa berbuat demikian selepas Jerman meletakkan syarat bahawa ia akan hanya membenarkan kereta kebal Leopard dihantar ke Ukraine selepas Washington berbuat perkara yang sama dengan kereta kebal Abrams miliknya.

Washington bimbang sebarang kemusnahan dialami oleh kereta kebal Abrams di Ukraine akan menjejaskan reputasinya. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...