Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Menteri Pertahanan Singapura Dedah “Misi Sensitif” F-35 Amerika di Ukraine

Sememangnya pesawat F-35 bukan sahaja sebuah pesawat pejuang yang "biashe-biashe" sahaja, tetapi ia juga adalah pesawat peperangan elektronik yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan sensitif yang membolehkannya “vacuum” segala maklumat perisikan  yang diperlukannya.

0 7,294

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Singapura Dr Eng Ng Hean secara tidak langsung telah mendedahkan bahawa Amerika Syarikat telah mengerahkan pesawat pejuang generasi kelimanya, F-35 untuk beroperasi secara aktif di Ukraine.

Ia secara tidak langsung menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah terbabit secara langsung dalam peperangan di Ukraine.

Dalam ucapannya di Parlimen republik itu, beliau menyatakan bahawa Amerika Syarikat menggunakan pesawat pejuang F-35 miliknya itu untuk mengenalpasti lokasi-lokasi penempatan sistem pertahanan udara milik Russia di Ukraine.

“Segala maklumat perisikan yang berjaya diperolehi oleh pesawat pejuang F-35 itu akan disebarkan kepada negara-negara anggota NATO yang lain,” kata Menteri Pertahanan Singapura itu, yang hanya mengesahkan apa yang disyaki sebelum ini.

Beberapa hari lalu, Singapura mengumumkan ia akan memperolehi tambahan 12 buah pesawat pejuang F-35A, bagi menambah lapan buah F-35B (VSTOL) yang telah ditempahnya sebelum ini.

F-35B
F-35B (VSTOL)

 

Sememangnya pesawat F-35 bukan sahaja sebuah pesawat pejuang yang “biashe-biashe” sahaja, tetapi ia juga adalah pesawat peperangan elektronik yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan sensitif yang membolehkannya “vacuum” segala maklumat perisikan  yang diperlukannya.

Antara peralatan-peralatan sensitif yang digunakan oleh pesawat pejuang F-35 untuk mengumpul segala maklumat perisikan adalah radar APG-81 AFAR, sistem peperangan elektronik AN/ASQ-239 Baracudda dan juga sistem elektro-optik EOTS.

Selain itu, pesawat F-35 juga menggunakan Distributed Aperture System (DAS) yang merupakan sensor infrared

Pesawat pejuang F-35 Amerika Syarikat merupakan sebahagian daripada jaringan peperangan elektronik negara itu dan NATO dalam usahanya untuk mengumpul segala maklumat perisikan tentang tentera Russia di Ukraine. 

Bagaimanapun, di sebalik kecanggihan dan kemodenan F-35 sebagai pesawat peperangan elektronik dan perisikan, muncul juga laporan-laporan yang menyatakan bahawa pihak Russia juga mempunyai “cara-cara” untuk melindungi aset-asetnya daripada “mata dan telinga” pihak Barat.

Ketika di awal pencerobohan Russia di Ukraine pada Februari 2022,  Amerika Syarikat telah mengerah pesawat-pesawat pejuang generasi kelimanya, F-35 ke negara-negara Baltik seperti Estonia, Lithuania dan Romania untuk meronda sempadan negara-negara terbabit dengan Russia.

Terbang di dalam “mod halimunan” (stealth mode), pesawat-pesawat F-35 daripada unit Fighter Wings ke-388 dan ke-419 yang berpangkalan di Jerman itu telah ditugaskan dalam misi Electronic Intelligence (ELINT) untuk mengesan frekuensi yang dipancar oleh sistem-sistem pertahanan udara dan pesawat pejuang Russia.

F-35
F-35A

 

Pesawat-pesawat pejuang itu mencerap pelbagai data daripada sistem milik musuh itu untuk membantu pasukan NATO memahami dengan lebih baik ancaman yang bakal dihadapi oleh mereka berikutan pencerobohan oleh tentera Russia itu.

Menurut laporan oleh portal Air Force Times, pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Tentera Udara Amerika Syarikat itu berjaya menjejaki kebanyakan sistem pertahanan udara Russia di Ukraine dan Kaliningrad, sebuah wilayah (enclave) milik Russia yang bersempadan dengan Poland.  .

Bagaimanapun, walau pesawat F-35 itu dilengkapi dengan sistem peperangan elektronik dan sensor yang canggih, tetapi tidak semua sistem pertahanan udara Russia di Ukraine itu dapat dikesan oleh pesawat kombat yang generasi kelima itu.

“Semasa misi itu, pesawat-pesawat F-35 kadangkala tidak dapat mengenalpasti kelengkapan tentera kerana ada sebahagian daripada peralatan itu,seperti sistem pertahanan udara boleh menyembunyikan kehadiran mereka di lapangan.”

 “Salah satu sistem itu (yang menyembunyikan kehadiran mereka) adalah sistem pertahanan udara jarak jauh Russia,  S-300,” menurut Komander Fighter Wings Ke-388 Kolonel Craig Andrle kepada portal terbabit.

Terdapat kemungkinan sistem-sistem pertahanan udara Russia itu beroperasi di dalam mod yang tidak dikenali oleh pesawat F-35 itu, kata beliau dan menambah, pesawat itu pejuang telah memaklumkan kepada pihak ibu pejabat tentang kewujudan “objek-objek tidak dikenali itu.”

Namun, kegagalan pesawat-pesawat canggih F-35 milik Amerika Syarikat untuk mengesan dan mengenalpasti frekuensi-frekuensi dimiliki oleh sistem pertahanan udara Russia itu dianggap “membimbangkan” kerana boleh membahayakan operasi udara pesawat-pesawat kombat NATO dan juga Ukraine.

Kegagalan itu memeranjatkan juruterbang-juruterbang pesawat F-35 itu sendiri dan ia juga membuktikan bahawa sistem pertahanan udara S-300 itu memberikan “cabaran besar” kepada tentera Amerika Syarikat.

Walaupun pesawat-pesawat F-35 digembar-gemburkan sebagai mempunyai keupayaan Peperangan Elektronik (EW)/ELINT yang ampuh, tetapi kegagalan itu menunjukkan bahawa Russia juga mempunyai muslihatnya tersendiri.

F-35
F-35

 

“Kita melihat sistem SA-20 (designasi NATO bagi S-300). Saya tahu bahawa ia adalah sistem SA-20 dan pihak perisikan juga mengatakan bahawa terdapat sistem SA-20 beroperasi di kawasan itu tetapi pesawat saya gagal mengenalpastinya kerana kemungkinan sistem pertahanan udara itu beroperasi dalam ‘war reserve mode’ yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata seorang pegawai tentera udara Amerika Syarikat.

Ia adalah sesuatu yang normal untuk sistem-sistem pertahanan udara tidak menggunakan frekuensi sebenar mereka ketika waktu aman yang dipanggil “war reserve”, untuk mengelak musuh-musuh mereka daripada mengetahui frekuensi sebenar mereka.

Anggota sistem pertahanan udara terbabit beroperasi dalam keadaan “war reserve” untuk mengelak sistem mereka dikesan oleh musuh.

Sekiranya dapat mengesan frekuensi itu, “musuh” boleh merangka pelan Electronic Counter Measures (ECM) bagi menanganinya. — DSA

(LAGI BERITA TENTANG F-35)

Comments
Loading...