Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Sah!!! Russia Telah Musnahkan Kereta Kebal M1A1 Abrams Yang Pertama

(VIDEO) Ia adalah kemusnahan kereta kebal M1A1 Abrams seberat 70 tan buatan Amerika Syarikat yang pertama di Ukraine, hanya beberapa bulan selepas Washington membekalkan 31 buah kereta kebal utama M1A1 Abrams kepada Kiev. Kemusnahan kereta kebal Abrams itu mengikut jejak langkah kemusnahan sama dialami oleh Leopard dan Challenger sumbangan Jerman serta Britain.

0 1,165

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kereta kebal M1A1 Abrams dioperasikan oleh tentera Ukraine disahkan telah musnah dipercayai akibat bedilan dron berani mati “Lancet” oleh tentera Russia di kawasan pertempuran di Avdiivka, Ukraine.

Ia adalah kemusnahan kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat yang pertama di Ukraine daripada 31 buah kereta kebal utama itu yang dibekalkan oleh Washington kepada Kiev.

Video-video menunjukkan bahagian atas kereta kebal utama itu diselubungi dengan api selepas ia dibedil telah tersebar dalam media-media sosial, dengan pemerhati ketenteraan mengesahkan bahawa ia adalah kereta kebal buatan Amerika yang pertama musnah di Ukraine.

Maklumat-maklumat menyatakan bahawa kereta kebal M1A1 Abrams yang dioperasikan oleh tentera Ukraine itu pada mulanya telah dibedil oleh dron berani mati “Lancet” tentera Russia dan selepas itu dibedil buat kali kedua oleh Rocket Propelled Grenade (RPG).

Kemusnahan kereta kebal Abrams itu dikatakan berlaku di kawasan pertempuran di Avdiika, Ukraine baru-baru ini, sebelum kawasan itu ditawan oleh tentera Russia.

Dron pemantau Russia kemudiannya telah mengambil video menunjukkan kereta kebal yang amat diharapkan oleh tentera Ukraine itu terbakar selepas ia dibedil oleh tentera Russia.

Setakat ini tiada maklumat tentang nasib anggota tentera Ukraine yang mengoperasikan kereta kebal Abrams yang malang itu, sama ada mereka selamat atau maut dalam serangan berganda dron berani mati “Lancet” dan RPG itu.

Kemusnahan kereta kebal M1A1 Abrams itu berlaku hanya beberapa hari selepas video dan gambar-gambar pertama muncul di media-media sosial menunjukkan kereta kebal buatan Amerika itu beraksi di medan pertempuran di Avdiika, Ukraine.

Penyokong-penyokong Ukraine mengharapkan kehadiran kereta kebal M1A1 Abrams seberat lebih 70 tan itu mampu memberikan kelebihan kepada tentera negara itu dalam menangani serangan armor oleh tentera Russia.

Bagaimanapun apa yang terjadi di medan pertempuran di Avdiivka adalah sebaliknya, dengan kereta kebal utama M1A1 Abrams yang pertama telah berjaya dimusnahkan oleh Russia dan bandar Avdiika kini ditawan oleh tentera Russia.

Lancet
Drone berani mati Lancet

 

Bagaimanapun pertempuran di kawasan-kawasan selatan di selatan Ukraine terus berlangsung dengan sengit.

Beberapa bulan lepas, pegawai-pegawai tentera Ukraine telah pun memberikan amaran bahawa kereta kebal Abrams buatan Amerika Syarikat itu mungkin tidak akan “bertahan lama” di medan peperangan.

Apatah lagi, kereta kebal Abrams yang dibekalkan kepada Ukraine adalah daripada varian M1A1 yang dianggap telah “berusia” serta tidak dilengkapi dengan armor “depleted uranium” serta kemampuan terhad berbanding varian terkininya, M1A2.

Sebagaimana yang dibuktikan di Iraq, kereta kebal M1A1 Abrams itu boleh ditewaskan oleh senjata-senjata anti-kereta kebal yang asas dan berusia.

Ketua Direktorat Perisikan Tentera Ukraine Lt Jen Kirill Budanov berkata, tempoh kereta kebal Abrams berada di medan peperangan di negara itu akan menjadi amat terhad sekiranya aset darat itu digunakan di barisan hadapan secara semberono.

Abrams

“Jika kereta kebal Abrams itu digunakan di barisan hadapan atau sebahagian daripada senario kombat, tempoh masanya (kereta kebal Abrams) berada di medan peperangan itu mungkin akan terhad dan tidak lama,” kata beliau.

Budanov juga mengatakan bahawa praktikaliti kereta kebal Abrams itu adalah amat terhad, disebabkan penggunaan berleluasa artilleri dan periuk api oleh tentera Russia di medan peperangan konflik Russia-Ukraine itu.

“Artilleri dan periuk api tentera Russia telah menurunkan potensi penggunaan aset-aset armor di kesemua sudut peperangan kepada tahap minimum,” kata pegawai perisikan paling kanan di dalam tentera Ukraine itu.

Abrams
Amerika Syarikat membekalkan 31 buah Kereta kebal M1A1 Abrams kepada Ukraine.

 

Amerika Syarikat pada mulanya keberatan untuk membekalkan kereta kebal Abrams kepada Ukraine, tetapi terpaksa berbuat demikian selepas Jerman meletakkan syarat bahawa ia akan hanya membenarkan kereta kebal Leopard dihantar ke Ukraine selepas Washington berbuat perkara yang sama dengan kereta kebal Abrams miliknya.

Washington bimbang sebarang kemusnahan dialami oleh kereta kebal Abrams di Ukraine akan menjejaskan reputasinya. — DSA

(BACA TENTANG KERETA KEBAL M1A1  ABRAMS)

Notis

Comments
Loading...