Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Pertingkat Kekerapan “Kehadiran” Kapal Selam Nuklearnya di Atlantik pada Tahap Tertinggi

Kebalekangan ini, media-media Amerika Syarikat memetik pegawai-pegawai kanan tentera laut Amerika Syarikat yang menyuarakan “kebimbangan” mereka tentang peningkatan drastik “kemunculan” kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di kawasan perairan pesisir negara itu.

0 1,053

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia telah meningkatkan kekerapan “kehadiran” kapal-kapal selamnya di Atlantik pada tahap jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini, menurut analisis pegawai kanan tentera Amerika Syarikat yang bertanggungjawab terhadap operasi tentera di Eropah.

Penganalisa mendakwa Russia mengerah 11 buah kapal selam berkuasa nuklearnya untuk melakukan rondaan di Lautan Atlantik.

Analisis oleh pegawai kanan tentera Amerika Syarikat bertentangan dengan pendapat serta kesimpulan penganalisis dan pemerhati yang menyatakan bahawa kemampuan tentera Russia terjejas teruk akibat konflik di Ukraine.

“Tentera Russia semakin aktif berbanding apa yang kami lihat sejak beberapa tahun yang lalu,” menurut Jeneral Chris Cavoli, pegawai kanan NATO dan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab terhadap operasi di Eropah berkenaan kemampuan bawah laut Moscow.

Rondaan oleh kapal-kapal selam Russia di Atlantik adalah pada tahap tertinggi sepanjang masa, jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini,menyamai ketika ketegangan di antara kedua-dua pihak ketika Perang Dingin sedang memuncak beberapa dekad sebelum ini.

Selam Russia
Krew kapal selam nuklear Russia.

 

“Kesemua ini berlaku ketika mereka (Russia) terbabit dengan konflik di Ukraine,” kata beliau.

Analisis oleh Jeneral Cavoli itu memberikan amaran paling jelas kepada Amerika Syarikat dan sekutunya tentang ancaman yang diberikan oleh Russia kepada Washington dan negara-negara Barat yang menyokong Ukraine.

Beberapa bulan lepas, Presiden Russia Vladimir Putin telah meningkatkan kebimbangan negara-negara Barat apabila ia mengerah kapal-kapal perang permukaannya termasuk beberapa yang dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonic ke Lautan Atlantik.

Peluru-peluru hypersonik Russia itu berkemampuan menundukkan sistem pertahanan udara Amerika Syarikat.

Sebelum ini, media-media Amerika Syarikat memetik pegawai-pegawai kanan tentera laut Amerika Syarikat yang menyuarakan “kebimbangan” mereka tentang peningkatan “kemunculan” kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di kawasan perairan pesisir negara itu sejak kebelakangan ini.

Menurut mereka, kapal-kapal selam Russia itu semakin kerap “muncul” sejak akhir-akhir ini.

Selam Russia

Sebagaimana dilaporkan, peningkatan kekerapan kemunculan kapal-kapal selam berkuasa nuklear Russia di pesisir Amerika Syarikat  sebagaimana dinyatakan oleh pegawai kanan tentera negara itu memberikan ancaman keselamatan kepada negara itu.

Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat, peningkatan kekerapan “kemunculan” kapal-kapal berkuasa nuklear Russia di pesisir negara itu berlaku, walaupun Moscow sedang berhadapan dalam konflik dengan Ukraine.

Pengarah Russia Maritime Studies Institute (RMSI) Michael Peterson yang pakar berkenaan kemampuan maritim Russia berkata terdapat banyak petanda bahawa Russia telah meningkatkan kerahan kapal-kapal selam berkuasa nuklearnya ke kawasan perairan pesisir Amerika Syarikat.

Kerahan kapal-kapal selam konvensional dan berkuasa nuklear itu bukan sahaja disasarkan kepada kawasan-kawasan pesisir  Amerika Syarikat tetapi juga di Mediterranean dan juga di sekitar Eropah.

Umka-2021
Salah sebuah kapal selam Russia yang melakukan “surfacing” di Artik.

 

Apa yang dilakukan oleh Moscow pada ketika ini kata penyelidik itu,adalah sama sebagaimana dilakukan oleh Kesatuan Soviet ketika ketegangan pada zaman Perang Dingin.

Di dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Moscow telah membangunkan beberapa jenis kapal selam berkuasa nuklear yang mampu menyelam ke lokasi-lokasi strategik di Amerika Syarikat dan Eropah.

Dengan anggaran pemilikan 58 buah kapal selam berkuasa nuklear terdiri daripada beberapa kelas, aseet-aset dasar laut berkuasa nuklear Russia itu mampu dikerah ke mana-mana lokasi dunia termasuk ke perairan pesisir Amerika. — DSA

 

Comments
Loading...