Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Amerika Tidak Tahu Sedang “Diiringi” Pesawat ASW Russia Selama 9 Jam

“Sepanjang sembilan jam tugasan ‘mengiringi’ itu, kapal selam nuklear Amerika tidak mengetahui bahawa ia sedang “diiringi” kerana pesawat Russia itu mengunakan kaedah pengesanan dan penjejakan secara pasif,” kata Komander Angkatan Udara Tentera Laut Russia Kolonel Andrey Pakhomov.

0 17,820

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat tidak menyedari bahawa ia sedang “diiringi” oleh sebuah pesawat peperangan anti-kapal selam (Anti-Submarine Warfare – ASW) Russia dalam kejadian yang berlaku di perairan timur jauh Russia Mac lepas.

Sebagaimana didedahkan oleh Komander Angkatan Udara Tentera Laut Russia Kolonel Andrey Pakhomov menerusi agensi berita Sputnik, pesawat ASW Russia itu “mengiringi” kapal selam nuklear Amerika itu selama sembilan jam.

“Sepanjang sembilan jam tugasan ‘mengiringi’ itu, kapal selam nuklear Amerika tidak mengetahui bahawa ia sedang “diiringi” kerana pesawat Russia itu mengunakan kaedah pengesanan dan penjejakan secara pasif,” kata beliau.

Kaedah-kaedah pengesanan dan penjejakan pasif yang digunakan oleh pesawat ASW Russia itu dapat memastikan aset “musuh” itu tidak mengetahui bahawa ia telah dikesan dan pergerakannya sedang dijejaki.

Menurut Pakhomov, kapal selam nuklear Amerika itu sedang sibuk mengintip aktiviti kapal-kapal perang di bawah Armada Pasifik Russia, sehinggakan tidak sedar bahawa ia telah dikesan dan dijejaki oleh pesawat tentera Russia.

Russia
Pesawat ASW Russia, Tu-142 “Bear-F”
USS Ohio
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Ohio Tentera Laut Amerika Syarikat.

 

“Kapal selam Amerika Syarikat itu bergerak berada di bawah permukaan air dan tidak mengetahui bahawa ia sedang diiringi. Kapal selam Amerika Syarikat menyangka tidak pihak mengetahui kehadiran mereka tetapi kita mengiringinya selama sembilan jam,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh agensi berita TASS.

Sehingga kini, pihak Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat belum memberikan sebarang komen berkenaan dakwaan pihak Russia itu.

Kejadian itu dipercayai berlaku di perairan sekitar Vladivostok, di timur jauh negara itu ketika Panglima Tentera Laut Russia melakukan pemeriksaan mengejut terhadap kapal-kapal perang yang bernaung di bawah armada terbabit.

Vladivostok yang terletak di timur jauh Russia menempatkan pangkalan bagi Armada Pasifik negara itu.

Angkatan Udara Tentera Laut Russia dipercayai menggunakan pesawat peninjau jarak jauh dan ASW Tupolev Tu-142 yang dikenali dengan panggilan “Bear-F” oleh negara-negara Barat, yang merupakan varian kepada pesawat pengebom strategik Tu-95.

Russia
Pesawat ASW Russia,IL-38
Russia
Kapal perang Russia.

 

Selain itu ia juga menggunakan pesawat peronda maritim dan ASW IL-38 “Dolphin” untuk misi-misi ASW di kawasan perairan timur jauh Russia.

Pesawat “Bear-F” itu sememangnya direkabentuk untuk melaksanakan tugasan peninjauan jarak jauh dan juga peperangan anti-kapal selam.

Usaha membangunkan pesawat ASW itu bermula pada tahun-tahun 1960-an, dengan tujuan utama pada ketika itu adalah untuk menangani ancaman kapal-kapal selam nuklear Amerika Syarikat yang dilengkapi dengan peluru berpandu balistik nuklear “Polaris”.

Dipercayai terdapat sekurang-kurangnya lapan buah pesawat ASW jarak jauh Tu-142 sedang berkhidmat dengan Armada Pasifik Russia. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...