Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Memeranjatkan Tetapi Russia Hanya Miliki Sebuah Kapal Pengangkut Pesawat

Ia adalah satu kenyataan yang amat menakjubkan bahawa Russia hanya mempunyai sebuah kapal pengangkut pesawat berbanding Amerika Syarikat yang sehingga bulan April 2022 memiliki 11 buah kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear.

28,574

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun dianggap sebagai kuasa tentera dunia yang dikatakan hanya mampu ditandingi oleh Amerika Syarikat, namun Russia hanya mempunyai sebuah kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) dinamakan Admiral Kuznetsov seberat kira-kira 58,000 tan (full displacement).

Ia adalah satu kenyataan yang amat menakjubkan bahawa Russia hanya mempunyai sebuah kapal pengangkut pesawat berbanding Amerika Syarikat yang sehingga bulan April 2022 memiliki 11 buah kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear dan lebih banyak sedang dibina pada ketika ini.

Apa yang lebih “menyedihkan” adalah–  kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu sering mengalami kerosakan, menyebabkannya lebih banyak banyak menghabiskan masa di limbungan kapal daripada menjalankan operasi di lautan.

Kuznetsov

Di seluruh dunia pada ketika ini, terdapat 47 kapal pengangkut pesawat yang dioperasikan oleh 14 buah tentera laut.

Amerika Syarikat bukan sahaja memiliki 11 buah “full-fledged aircraft carriers”, tetapi ia juga memiliki Sembilan buah Amphibious Assault Ship yang kerap kali digelar kapal pengangkut pesawat mini yang bukan sahaja berkemampuan membawa pelbagai helikopter tetapi juga sehingga 20 buah pesawat Vertical Take Off Landing (VTOL) seperti pesawat F-35B.

Malah,negara jiran kita iaitu Thailand juga memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat iaitu RTN  Chakri Naruebet, walaupun ia tidak memiliki pesawat pejuang moden untuk beroperasi di atas dek penerbangan kapal itu.

Seringkali kapal Chakri Naruebet itu dianggap sebagai “gajah putih” yang kegunaannya adalah untuk bermegah tanpa sebagai keperluan sebenar operasi.

Kuznetsov
Kapal pengangkut pesawat Thailand “Chakri Naruebet”

 

Lain-lain negara yang memiliki hanya sebuah kapal pengangkut pesawat selain Russia termasuklah India dan Perancis.

Persoalannya, mengapa Russia yang menganggap diri negara kuasa tentera dunia hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat?

Jawapannya adalah kerana Russia tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang meluas dalam operasi kapal pengangkut pesawat, sekaligus membataskan hasratnya untuk memiliki lebih banyak kapal pengangkut pesawat.

Pesawat-pesawat pejuang Russia tidak memiliki pengalaman dan pengetahuan yang meluas tentang operasi di atas kapal pengangkut pesawat.

Ronald Reagan
Kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan (CVN-76).

 

Kapal pengangkut pesawat Admiral Kuznetsov yang mampu membawa di antara 30 hingga 60 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-33 mula dibina pada tahun 1981 tetapi hanya ditauliahkan kepada Tentera Laut Soviet Union pada 1991.

Tetapi ia hanya memulakan operasi beberapa tahun selepas itu pada pertengahan 1990-an.

Berlainan dengan kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat yang menggunakan kuasa nuklear, kapal Admiral Kuznetsov dijana secara konvensional sekaligus membataskan lagi pergerakannya.

Kuznetsov
Admiral Kuznetsov

 

Sepatutnya kapal Admiral Kuznetsov memiliki adiknya iaitu Varyag, sebelum ia siap Kesatuan Soviet runtuh pada 1991, menyebabkan Ukraine bertindak menjualknya kepada China yang membaikpulihnya dan menjadikan kapal pengangkut pesawat dinamakan “Liaoning.”

“Liaoning” (ex-Varyag) merupakan kapal pengangkut pesawat pertama China manakala kedua adalah “Shandong” dan didalam masa beberapa tahun,Beijing akan memiliki kapal pengangkut pesawatnya yang ketiga.

Manakala bagi kapal pengangkut pesawat tunggal Russia, selepas tugas di pesisir pantai Syria pada 2016 ia telah dihantar ke limbungan untuk menjalani kerja-kerja pembaikan.

Ini bermakna pada ketika ini, Russia sebagai sebuah kuasa tentera dunia tidak memiliki kapal pengangkut pesawat memandangkan Admiral Kuznetsov sedang diperbaiki di limbungan kapal di Murmansk.

 

 

Kuznetsov
Gambar terbaru Google Maps menunjukkan kapal Admiral Kuznetsov sedang dibaiki di limbungan kapal di Murmansk.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Sudahlah hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat, kapal Admiral Kuznetsov itu pula sentiasa dirudung malang selepas menempuh beberapa siri kemalangan yang menyebabkan ia tersadai lebih lama di limbungan kapal.

Pada 2018, sebuah kren seberat 70 tan jatuh di atas kapal itu ketika ia menjalani kerja-kerja pembaikan manakala pada 2019 pula, kebakaran melanda kapal Admiral Kuznetsov menyebabkan kerosakan yang teruk pada kapal itu.

Selepas siri kemalangan, kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu hanya akan mampu kembali ke lautan pada tahun depan, walaupun pihak Kementerian Pertahanan negara itu enggan memberikan sebarang jaminan. — DSA

 

 

Comments are closed.