Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Kembalikan Semula Operasi Pesawat Peninjau Altitud Tinggi “M-55 Geofizika”

Walaupun idea disebalik pembangunan pesawat peninjau altitud tinggi Russia itu telah wujud pada 1960-an, tetapi M-55 “Geofizika” hanya memulakan penerbangan sekitar 1980-an dengan tugas utama yang diamanahkan kepadanya adalah mengintip pelancaran-pelancaran peluru berpandu oleh negara-negara Barat.

4,443

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilaporkan telah mengembalikan semula operasi pesawat peninjau altitud tinggi zaman Kesatuan Soviet dinamakan “M-55 Geofizika” (panggilan NATO – Mystic B) selepas menggantung perkhidmatannya pada tahun 2017.

Pesawat peninjau altitud tinggi “M-55 Geofizika” milik Russia dikatakan memiliki keupayaan yang sama seperti pesawat peninjau altitud tinggi Amerika Syarikat, U-2 “Dragon Lady.”

Kesatuan Soviet dikatakan hanya membina lima buah M-55 “Geofizika”.

Penganalisis pertahanan tempatan menyatakan bahawa pesawat peninjau altitud tinggi itu telah kembali beroperasi daripada lapangan terbang Ramenskoe berhampiran Moscow, tetapi sebab utama kembalinya pesawat itu tugas aktif masih menjadi misteri kepada pemerhati.

Walaupun idea disebalik pembangunan pesawat peninjau altitud tinggi Russia itu telah wujud pada 1960-an, tetapi M-55 “Geofizika” hanya memulakan penerbangan sekitar 1980-an dengan tugas utama yang diamanahkan kepadanya adalah mengintip pelancaran-pelancaran peluru berpandu oleh negara-negara Barat.

M-55 Geofizika

Pesawat peninjau itu meneruskan tugasan memantau pelancaran peluru-peluru berpandu musuh untuk mengumpul maklumat perisikan sehinggalah Kesatuan Soviet itu tumbang, menyebabkan peranan pesawat peninjau itu terumbang-ambing.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, Russia menggunakan pesawat peninjau altitud tinggi M-55 “Geofizika” untuk tujuan awam termasuk melakukan kajian tentang keadaan stratosfera di antara Russia dengan negara-negara jiran Eropahnya.

Ia menjalankan tugas saintifik awam itu sehinggalah pada tahun 2017 apabila perkhidmatannya digantung dengan alasan ketiadaan usaha saintifik yang perlu dilakukan lagi oleh pesawat itu.

Bagaimanapun penganalisi ketenteraan menyatakan bahawa kembalinya pesawat M-55 “Geofizika” ke perkhidmatan aktif mungkin adalah disebabkan oleh dua faktor: menguji peralatan sensitif untuk Tentera Udara Russia atau kembali menjalankan tugas asalnya iaitu memantau pelancaran-pelancaran peluru berpandu oleh “musuh” Russia.

M-55 Geofizika
M-55 Geofizika
U-2
U-2 “Dragon Lady” milik Amerika Syarikat

 

Berkenaan spesifikasi pesawat peninjau altitud tinggi, M-55 “Geofizika” memiliki panjang keseluruhan 22.6 meter manakala panjang sayapnya pula adalah 37 meter.

Maximun Take-Off Weight (MTOW) pesawat peninjau seorang juruterbang itu pula adalah 23 tan.

Tahap kelajuan maksimum pesawat peninjau itu adalah pada 743 km sejam manakala tahap altitud maksimum yang boleh dicapai oleh M-55 “Geofizika” adalah 21.5 km.

Radius operasi pesawat peninjau altitud tinggi Russia itu adalah 4,900km di mana ia boleh terus berada di udara selama 6.5 jam sebelum terpaksa kembali ke pangkalan untuk mengisi minyak. — DSA

 

Iklan

Comments are closed.