Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Berjaya Tawan “Storm Shadow”,Dihantar Ke Moscow Untuk Kajian Pakar Senjata

Media kerajaan Russia baru-baru ini menyatakan bahawa peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang berjaya "ditawan" itu masih di dalam keadaan baik dan telah dihantar ke Moscow bagi membolehkan pakar-pakar persenjataannya melihat dengan lebih dekat peluru berpandu kruis itu dan teknologi disebaliknya.

0 4,881

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Russia dilaporkan berjaya “menawan” sebuah peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang disumbang oleh Britain kepada Ukraine selepas peluru berpandu itu mengalami kerosakan mekanikal sebaik sahaja ia dilancarkan oleh pesawat pejuang.

Apa yang menarik adalah peluru berpandu kruis yang berjaya ditawan oleh tentera Russia itu berada di dalam keadaan yang hampir sempurna, sekaligus membolehkan pakar-pakar persenjataan Moscow mengkaji dan mempelajari teknkologinya.

Peluru berpandu kruis “Storm Shadow” itu ditawan tentera Russia selepas ia gagal berfungsi ketika dikerah beraksi dalam serangan balas tentera Ukraine di wilayah Zaphorizia di selatan negara itu.

Storm Shadow

 

Media kerajaan Russia menyatakan bahawa peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang masih di dalam keadaan baik itu telah dihantar ke Moscow bagi membolehkan pakar-pakar persenjataannya melihat dengan lebih dekat peluru berpandu itu dan teknologi disebaliknya.

Apa yang boleh dipelajari oleh pakar-pakar senjata Russia daripada peluru berpandu kruis kebanggaan Britain itu?

Daripada kajian terhadap peluru berpandu itu, ia boleh memberitahu tentang teknologi penjejakan sasarannya serta bahan-bahan digunakan untuk membuat peluru berpandu serta bagaimana ia mengelak dari sistem pertahanan udara Russia.

Pakar-pakar Russia kemungkinan paling berminat dengan sistem penjejakan sasaran digunakan oleh peluru berpandu kruis “Storm Shadow”.

Kesemua maklumat ini amat berguna kepada Moscow kerana ia membolehkan Russia merangka jalan penyelesaian tentang cara untuk memintas peluru berpandu itu, yang sehingga kini telah berjaya mengelak daripada dimusnahkan oleh sistem pertahanan udaranya.

Storm Shadow
Pesawat Su-24 Ukraine membawa dua butir peluru berpandu “Storm Shadow”

 

Selain itu, pakar-pakar senjata Russia juga mahu mengkaji tentang rekabentuk peluru berpandu “Storm Shadow” itu kerana peluru berpandu itu telah direka untuk menjadikan senjata itu sebagai “hampir halimunan” di mata radar-radar musuh.

Maklumat itu akan membantu industri pertahanan Russia untuk membangunkan peluru-peluru berpandu yang lebih baik pada masa depan serta teknologi dan sistem untuk menewaskannya pula.

Peluru berpandu “Storm Shadow” adalah peluru berpandu kruis lancaran udara (air-launched cruise missile – ALCM) hasil usahasama tiga buah negara itu United Kingdom, Perancis dan Itali.

Juga dikenali dengan panggilan SCALP EG (Système de Croisière Autonome à Longue Portée – Emploi Général), peluru berpandu itu telah dibuat oleh firma pertahanan Eropah, MBDA.

Pembangunan sistem peluru berpandu itu telah bermula seawal 1990-an dan direkabentuk untuk menjadi sistem persenjataan jarak jauh, stand-off yang boleh dilancarkan daripada pesawat terhadap sasaran strategik dan pada masa yang sama memastikan pesawat tetap berada di luar jarak jangkauan sistem pertahanan udara musuh.

Storm Shadow

Storm Shadow
Tentera Russia dengan peluru berpandu “Storm Shadow.”

 

Peluru berpandu “Storm Shadow” boleh membedil sasaran sejauh 560km atau 300 Batu Nautika bagi membolehkan ia mensasarkan sasaran strategik.

Pada ketika ini peluru berpandu kruis ini sedang berkhidmat dengan beberapa negara seperti United Kingdom, Perancis, Itali,Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, iaitu negara-negara pengguna pesawat pejuang Tornado, Eurofighter Typhoon dan Rafale.

Setiap sebuah peluru berpandu kruis itu adalah seberat 1.3 tan, dengan keseluruhan peluru itu adalah 5.10 meter.

Ia menggunakan sistem propulsion turbojet, Turbomeca Microturbo TRI 60-30 yang memacu peluru berpandu itu ke sasaran dengan kelajuan dan ketepatan yang tinggi.

Mengenai sistem navigasinya pula,sistem peluru berpandu kruis “Storm Shadow” itu dipandu oleh sistem-sistem INS (Inertial Navigation ), GPS (Global Positioning System) dan Terrain Reference Navigation bagi memastikan ia memiliki ketepatan yang amat tinggi.

Manakala bagi peledaknya pula, ia direka untuk menyebabkan kemusnahan yang maksima.

Storm Shadow

Sebelum dilancarkan, peluru berpandu itu akan “disediakan”, dengan segala data dan maklumat komprehensif tentang sasaran dan trajektori yang diperlukannya bagi memastikan ia “sampai” ke sasaran dimasukkan ke dalam sistem peluru berpandu itu secara pre-loaded.

Selepas dilancarkan daripada pesawat membawanya, peluru berpandu “Storm Shadow” itu akan menggunakan sistem navigasi sendirinya untuk menuju ke sasaran.

“Storm Shadow” itu memiliki kepala peledak dua peringkat dinamakan Bomb Royal Ordnance Augmented Charge (BROACH) yang menggabungkan letupan (blast) dan kemampuan penembusan (penetration capabilities).

Cara kepala peledak BROACH itu berfungsi adalah secara dua peringkat, dengan peringkat pertama menyaksikan ia meletup untuk “membuka” permukaan sasaran dan seterusnya peringkat kedua dimana kepala peledak yang lebih besar, menembusi sasaran dengan lebih dalam sebelum meletup, beberapa saat selepas letupan pertama.

Kesemua teknologi yang menjadikan peluru berpandu kruis “Storm Shadow” itu suatu sistem persenjataan yang menggerunkan sudah pasti akan dilihat dengan lebih mendalam dan terperinci oleh saintis-saintis senjata Russia. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...