Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(Video) Rakaman Serangan “Kamikaze Drone” Oleh Azerbaijan

614

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Satu rakaman video sepanjang 25 saat diambil oleh anggota tentera Armenia yang menunjukkan sebuah bas membawa tentera negara menjadi sasaran “Kamikaze Drone” IAI Harop telah tersebar.

Kejadian serangan “dron berani mati”” atau “Loitering Munitions””, itu didakwa berlaku pada 29 Sept lepas di Vardenis, yang terletak di dalam Armenia dan bukan Nagorno Karabakh.

Rakaman video itu menunjukkan saat-saat akhir sebuah dron IAI Harop buatan syarikat Israel Aircraft Industries (IAI) dan digunakan oleh tentera Azerbaijan menjunam daripada ketinggiaan tertentu sebelum menghentam bas penumpang terbabit.

Rakaman serangan “Kamikaze Drone” jenis IAI Harop terhadap sebuah bas membawa tentera Armenia di Vardenis pada 29 Sept lepas. (kredit Twitter Rob Lee)

“Kamikaze Drone” IAI Harop itu turut menghasilkan bunyi yang mengerikan ketika ia menjunam untuk menghentam sasaran.

Akibat hentaman daripada dron bunuh diri (suicide drone) itu, bas terbabit yang dipercayai membawa tentera Armenia dan tentera upahan ke Nagorno Karabakh terbakar dan rentung , walaupun tiada pengesahan mengenai bilangan kematian.

Bas Vardenis

Bas Vardenis
Keadaan bas membawa anggota tentera Armenia selepas dihentam oleh Kamikaze Drone “IAI Harop.”

Kejadian berlaku di sebuah lebuhraya menghubungkan antara Armenia dan Nagorno Karabakh.

Azerbaijan yang mempunyai hubungan pertahanan yang baik dengan Israel menggunakan ratusan dron di dalam konfliknya dengan Armenia.

Tentera Azerbaijan didakwa mula menggunakan IAI Harop pada 2016, juga di dalam konflik Nagorno Karabakh apabila ia memusnahkan juga bas membawa anggota tentera Armenia ke medan perang.

IAI Harop
Tentera Armenia juga mendakwa telah berjaya menembak jatuh beberapa dron IAI Harop di Nagorno Karabakh.

“Kamikaze Drone” IAI Harop buatan Israel dan digunakan oleh tentera Azerbaijan ini mengesan sasarannya menggunakan “radio emission” (signal radio yang dihasilkan) atau peralatan electro-opticalnya atau menerusi kesan haba.

Dron IAI Harop ini boleh terbang selama enam jam dan sejauh 1,000km.

Terdapat juga dakwaan oleh pihak Azerbaijan di mana IAI Harop kendaliannya berjaya memusnahkan unit sistem pertahanan udara S-300 Khankendi beberapa hari lepas, tetapi perkara ini disangkal oleh Armenia.

Selain Azerbaijan, dron IAI Harop juga didakwa digunakan oleh tentera India dan negara jiran kita di selatan tanahair, Singapura.

Selain IAI Harop, Azerbaijan juga menggunakan dron-dron lain termasuk Harpy, Orbiter, Hermes dan Bayraktar TB2.

Konflik Nagorno Karabakh ini telah menonjolkan keberkesanan penggunaan dron oleh Tentera Azerbaijan dalam memusnahkan pelbagai aset tentera Armenia.

Pesawat Tanpa Pemandu
Pesawat Tanpa Pemandu telah menunjukkan keberkesananya dalam konflik di Nagorno Karabakh.

Dron-dron seperti Bayraktar dan Harop nampaknya telah mengambilalih peranan yang sebelum ini dipikul oleh pesawat pejuang.

Hasil daripada penggunaan secara meluas dron, pemerhati tentera mendakwa Azerbaijan kini telah berjaya menguasai aspek air superiority pada konflik Nagorno Karabakh.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

 

 

Comments are closed.