Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Azerbaijan Guna Peluru Berpandu “LORA” Israel

0 532

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Walaupun konflik di Nagorno Karabakh adalah diantara Azerbaijan dan Armenia, tetapi senjata-senjata buatan Turki dan Israel turut mendapat publisiti disebabkan keberkesannya ketika digunakan di medan.

Sistem UAV Bayraktar TB2 buatan syarikat Turki, Baykar Makina dan “Kamikaze Drone” seperti Harop dan Harpy daripada Israel telah dikerahkan penggunaannya oleh tentera Azerbaijan.

Sebagaimana yang kita ketahui, Azerbaijan mempunyai hubungan pertahanan yang baik dengan Turki dan Israel.

President Azerbaijan
President Azerbaijan Ilham Aliyev bersama sistem peluru berpandu “LORA”. (gambar internet)

Dan semalam, Baku dipercayai mengerahkan satu lagi sistem pertahanan yang diperolehinya daripada Israel di dalam konfliknya dengan Armenia di Nagorno Karabakh.

Menurut laporan media, tentera Azerbaijan telah melancarkan peluru berpandu “LORA” atau Long Range Attack terhadap sebuah jambatan di perkampungan di Armenia bernama, Asagi Sus.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan saat-saat akhir peluru berpandu itu menghentam sasarannya.

Saat-saat peluru berpandu “LORA” menghentam sebuah jambatan di bandar Asagi Sus, Armenia. (sumber Twitter)

Jika dakwaan ini benar, maka ia menandakan buat pertama kalinya LORA digunakan dalam mana-mana medan perang.

LORA ini adalah hasil ciptaan syarikat pertahanan negara Yahudi itu, Israel Aircraft Industries (IAI) dan merupakan peluru berpandu taktikal.

LORA

Ia boleh dilancarkan daripada sistem pelancar di darat mahupun laut dan mampu mengenai sasaran sejauh 400km.

LORA ini dikatakan sistem yang tepat kerana ia mampu mengenai sasaran di dalam lingkungan 10 meter (Circular Error Probable = CEP 10 meter).

Azerbaijan dipercayai membeli 50 buah sistem LORA dua tahun lepas menerusi perjanjian pertahanan dengan Israel bernilai US$5 billion, yang turut merangkumi pembelian beberapa jenis senjata yang lain.

Baku dan Tel Aviv mempunyai hubungan diplomatik yang baik sejak sekian lama, dengan Azerbaijan yang merupakan negara pengeluar minyak dan gas membekalkan sehingga 40 peratus keperluan minyak dan gas Israel.

Serangan tentera Azerbaijan menggunakan peluru berpandu LORA dipercayai adalah reaksi balas terhadap serangan Armenia menggunakan peluru berpandu taktikal “Tochka-Us” (SS-21 Scarab) yang kurang tepat berbanding LORA untuk menyerang wilayahnya.

Tochka-Us
Sistem peluru berpandu taktikal “Tochka-Us”. (kredit internet)

Baku bagaimanapun, menafikan dakwaan Azerbaijan mengenai penggunaan peluru berpandu taktikal buatan Russia itu.

Selain “Tochka-Us”, tentera Armenia juga memiliki beberapa peluru berpandu taktikal yang lain seperti Scud dan Iskander-E.

Armenia telah memberikan amaran ia akan menggunakan keseluruhan kekuatan angkatan tentera untuk menghalang serangan tentera Azerbaijan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

Comments
Loading...