Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pengkalan Laut China di Asia Tenggara Hampir Jadi Kenyataan

0 467

(DEFENCE  SECURITY ASIA) — Nampaknya spekulasi mengatakan Kemboja bakal membenarkan China untuk membina sebuah pengkalan laut di negara Asia Tenggara itu semakin menjadi realiti.

Ini selepas Kemboja merobohkan beberapa bangunan di Pengkalan Tentera Laut Ream yang dibina menggunakan peruntukan Amerika Syarikat, menurut imej satelit yang diperolehi oleh Asia Maritime Transparency Institute (AMTI) pada 1 Oktober lepas.

AMTI yang memantau tindak-tanduk Beijing di Laut China Selatan menyatakan tindakan merobohkan bangunan-bangunan itu berlaku selepas 5 September.

Tindakan kerajaan Phnom Penh pimpinan Perdana Menteri Hun Sen merobohkan bangunan-bangunan yang dibina menggunakan wang Amerika Syarikat itu seakan mengesahkan bahawa pengkalan laut strategik itu akan disewakan kepada China.

Jika itu benar, maka China buat pertama kalinya akan mempunyai pengkalan laut dalam Asia Tenggara, sekaligus merealisasikan matlamat teori “String of Pearls.”

Pengkalan Laut Ream
Pengkalan Laut Ream di Kemboja bakal memberikan China akses kepada Teluk Thailand dan Laut China Selatan. (kredit internet)

Bangunan yang dimusnahkan oleh Kemboja bulan lepas itu telah dirasmikan pada 2012 dan 2017 hasil peruntukan kewangan oleh Amerika Syarikat.

Pada 2019,  media antarabangsa melaporkan bahawa China dan Kemboja telah menandatangani perjanjian rahsia memberikan Beijing akses kepada Ream bagi membolehkan pembinaan infrastruktur baru di pengkalan laut itu.

Laporan media itu adalah berdasarkan kepada deraf perjanjian antara China dan Kemboja yang telah dilihat oleh pegawai-pegawai Amerika Syarikat.

Satelit Ream
Imej satelit oleh AMTI menunjukkan bangunan-bangunan (dalam bulatan) yang dibiayai oleh Amerika Syarikat telah dirobohkan. (kredit CSIS/AMTI)

Perjanjian rahsia antara China dan Kemboja itu membenarkan Beijing menempatkan tentera, senjata dan kapal-kapal perang di pengkalan tentera laut Ream selama 30 tahun.

Berikutan laporan oleh media mengenai kewujudan perjanjian rahsia itu, pegawai-pegawai Kemboja menafikannya dengan Hun Sen mengatakan ia adalah laporan media yang paling teruk.

Perdana Menteri Kemboja itu juga mengatakan perlembagaan negara itu melarang sebarang kewujudan pengkalan tentera asing di negara Asia Tenggara itu.

Menurut laporan media, sebahagian besar tanah berhampiran Pengkalan Tentera Laut di Ream itu telah pun disewakan kepada syarikat-syarikat China termasuk yang berkaitan dengan kerajaan negara itu untuk membina pusat peranginan.

Diantara syarikat China itu adalah Canopy Sands Development Group, anak syarikat kepada Prince Real Estate Group yang sedang membangunkan satu kawasan di Teluk Ream di utara pengkalan tentera laut itu.

Imej-imej satelit menunjukkan syarikat terbabit telah menambak kira-kira 100 ekar kawasan untuk tujuan tidak diketahui di utara pengkalan tentera laut Ream itu.

Teluk Ream
Imej-imej satelit menunjukkan syarikat terbabit telah menambak kira-kira 100 ekar kawasan untuk tujuan tidak diketahui di utara pengkalan tentera laut Ream itu di Teluk Ream. (kredit CSIS/AMTI)

Penganalisis melihat kerja-kerja penambakan itu berkemungkinan adalah usaha permulaan untuk membina pelabuhan bagi membolehkan kapal-kapal yang lebih besar, termasuk kapal-kapal selam untuk berlabuh.

Ini adalah kerana, buat masa ini, Pengkalan Tentera Laut Ream hanya mampu mengendalikan kapal-kapal peronda yang kecil.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...