Pesawat Pejuang Rafale Diibarat “Goreng Pisang Panas” di Negara Teluk
Keengganan Amerika Syarikat menjual F-35 kepada negara-negara Teluk yang kaya-raya serta veto Jerman terhadap penjualan Eurofighter Typhoon nampaknya telah "memberikan peluang" kepada syarikat Dassault Aviation daripada Perancis yang membangunkan Rafale untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya di rantau itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keengganan Amerika Syarikat menjual F-35 kepada negara-negara Teluk yang kaya-raya serta veto Jerman terhadap penjualan Eurofighter Typhoon nampaknya telah “memberikan peluang” kepada syarikat Dassault Aviation daripada Perancis yang membangunkan Rafale untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya di rantau itu.
Sememangnya, pesawat pejuang Rafale kini diibaratkan seperti “goreng pisang” panas di rantau Teluk pada ketika ini, dengan satu demi satu negara cuba memilikinya.
Terbaru adalah Arab Saudi yang dilaporkan sedang menimbangkan untuk memperolehi 54 buah pesawat pejuang Rafale itu, walaupun media Perancis mendakwa negara pengeluar minyak kedua terbesar dunia itu mahu membeli 100 buah pesawat pejuang buatan Perancis itu.
Riyadh memulakan rundingan dengan dengan Perancis untuk memperolehi Rafale selepas cubaannya memperolehi lebih banyak pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah itu di veto oleh Jerman atas beberapa isu politik.
Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh United Kingdom, Jerman, Itali dan Sepanyol.
Namun laporan terkini menyatakan kerajaan Jerman telah bersetuju untuk membenarkan Arab Saudi memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu, namun Arab Saudi tidak memberikan sebarang reaksi terhadap keputusan Berlin itu.
Minat mendalam Arab Saudi terhadap pesawat pejuang Rafale ketika ini menyusuli laporan sebuah lagi negara Teluk yang kaya-raya, Qatar sedang berbincang dengan syarikat aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation untuk menaiktaraf 36 buah pesawat pejuang Rafale miliknya kepada varian terkini dan paling berkemampuan iaitu “F4”.
Bukan sahaja Qatar mahu menaiktaraf pesawat pejuang Rafale miliknya kepada varian terkini, tetapi ia juga sedang berbincang dengan Dassault Aviation untuk memperolehi 24 buah pesawat Rafale tambahan pada tahun depan atau 2025.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pertahanan Perancis Sebastien Lecornu yang melawat Qatar baru-baru ini dimana pemimpin pertahanan kedua-dua negara itu berbincang di Pangkalan Udara Dukhan yang menempatkan 36 buah pesawat Rafale milik Qatar itu.
Beliau berkata perbincangan menjurus terhadap usaha-usaha untuk meningkatkan kemampuan angkatan tentera Qatar.
Tentera Udara Qatar memiliki 36 buah pesawat pejuang Rafale yang diperolehinya di antara tahun 2015 hingga 2017.
Ia menandatangani perjanjian bernilai US$7 bilion (RM31.5 bilion) dengan Perancis pada 2015 untuk membeli 24 buah pesawat pejuang Rafale dan membuat perolehan tambahan sebanyak 12 buah lagi dua tahun selepas itu pada 2017.
Menurut akhbar Perancis, La Tribune, negara Teluk itu mahu meningkatkan kemampuan pesawat pejuang buatan Dassault Aviation kepada standard F4, yang merupakan standard terkini dan baru sahaja memulakan perkhidmatan dengan Tentera Udara Perancis.
Tentera Udara Perancis mula menaiktaraf pesawat-pesawat pejuang Rafale miliknya kepada standard F4 pada 2019 pada kos Euro 1.9 bilion (RM9.45 bilion).
Paris menjangkakan kesemua pesawat pejuang Rafale milik tentera udara negara itu akan menggunakan standard F4.
Negara jiran Qatar iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut memilih pesawat pejuang Rafale untuk tentera udaranya dengan memesan 80 buah pesawat pada standard F4.
Kesemua 80 buah pesawat pejuang Rafale dipesan oleh UAE itu akan mula dihantar kepada negara Teluk itu di antara tahun 2027 hingga 2030.
Selain itu menurut La Tribune lagi, Perancis dan Qatar turut berbincang tentang kemungkinan Qatar menambah bilangan pesawat pejuang Rafale itu sebanyak 24 buah lagi.
Jika itu terjadi, keseluruhan pesawat pejuang Rafale dimiliki oleh Qatar bakal meningkat kepada 60 buah dalam tempoh beberapa tahun ini.
Pada ketika ini,selain pesawat pejuang Rafale, Tentera Udara Qatar turut dilengkapi dengan 36 buah pesawat pejuang F-15QA “Ababil” dan 24 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 3, menjadikan tentera udara negara Teluk sebagai antara paling berkemampuan bukan sahaja di negara Teluk tetapi juga dikalangan negara-negara Arab.
Perancis juga berharap Mesir akan menambah pesawat pejuang Rafale yang dimiliki kini berikutan keputusannya untuk membatalkan pembelian pesawat pejuang Su-35 daripada Russia.
Pada ketika ini Mesir sudah pun memiliki 54 buah pesawat pejuang Rafale. — DSA
Comments are closed.