Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dasar Pertahanan Bebas Perancis Buat Arab Saudi “Tertarik” Dengan Rafale Pula

Riyadh dikata sedang menimbangkan dengan mendalam opsyen memperolehi pesawat pejuang Rafale itu kerana tertarik dengan dasar pertahanan Perancis yang "bebas" dengan tidak mengaitkan penjualan senjata dengan isu-isu lain seperti rekod hak asasi manusia, politik dan lain-lain-lain.

0 2,675

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berhadapan dengan tentangan daripada Jerman berkenaan hasratnya untuk menambah pemilikan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon telah membuatkan Arab Saudi  untuk memandang ke arah Perancis pula.

Berikutan dengan keengganan Berlin untuk menjual pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, menjadikan Riyadh kini menimbangkan pula pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation daripada Perancis.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dibangunkan oleh konsortium United Kingdom, Jerman, Itali serta Sepanyol dan keputusan menjual pesawat itu memerlukan persetujuan keempat-empat negara Eropah itu.

Rafale
Pesawat Rafale Tentera Udara Perancis

 

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berhadapan masalah pada 2018 selepas kerajaan Jerman menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan kejadian penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Ketika menghadiri sidang kemuncak pemimpin-pemimpin NATO baru-baru ini, Canselor Jerman Olaf Scholz berkata, pelonggaran sekatan jualan senjata pada Arab Saudi tidak melibatkan sebarang keputusan mengenai pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

“Saya boleh memberitahu anda: keputusan mengenai penjualan pesawat Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi tidak ada dalam agenda,” katanya sambil menambah, keputusan untuk tidak menjual pesawat pejuang itu akan kekal sekurang-kurang sehingga tahun 2025.

Walaupun United Kingdom beria-ia mahu meneruskan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi, namun tanpa persetujuan daripada Jerman, maka, hasrat Riyadh kini terbantut.

Pada ketika ini, Arab Saudi sudah pun memiliki 48 buah pesawat Typhoon dan ia bercadang meningkatkan pemilikannya kepada 96 buah dengan menambah pemilikan 48 buah pesawat pejuang itu.

Typhoon
Pesawat Eurofighter Typhoon Arab Saudi

 

Riyadh dikata sedang menimbangkan dengan mendalam opsyen memperolehi pesawat pejuang Rafale itu kerana tertarik dengan dasar pertahanan Perancis yang “bebas” dengan tidak mengaitkan penjualan senjata dengan isu-isu lain seperti rekod hak asasi manusia, politik dan lain-lain-lain.

Dasar pertahanan Paris yang bebas dan tidak terikat dengan isu-isu lain telah menarik perhatian Arab Saudi dan “mendekatkan” lagi negara Arab itu kepada pesawat pejuang Rafale.

Bukan sahaja Arab Saudi “tertarik” dengan dasar pertahanan Perancis yang bebas, malah negara-negara jiran seperti Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Qatar juga telah menjadikan pesawat pejuang Rafale sebagai pesawat pejuang utama mereka.

UAE memperolehi 80 buah pesawat pejuang Rafale pada 2021 dan Mesir pula memperolehi 54 buah pesawat pejuang buatan Dassault Aviation manakala Qatar pula telah memperolehi 36 pesawat pejuang itu seawal tahun 2015.

Akhbar Perancis, Le Tribune memetik sumber-sumber yang mengatakan bahawa Arab Saudi sedang menimbangkan untuk memperolehi di antara 100 hingga 200 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis.

Rafale
Pesawat Rafale Tentera Udara Qatar.

 

Jika Arab Saudi memilih Rafale, ia akan menyertai “kelab pengguna Rafale” yang semakin banyak di Timur Tengah.

Arab Saudi berkemungkinan mahu mempelbagaikan sumber import senjatanya dan tidak terlalu bergantung kepada sesebuah negara terutamanya Amerika Syarikat.

Hubungan diantara Riyadh dan Washington “dingin” pada ketika ini, dipercayai berpunca daripada tindakan Arab Saudi pada Oktober tahun lepas untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah, sekaligus meningkatkan harga minyak dunia.

Tindakan Arab Saudi itu dikecam ahli politik Amerika terutamanya daripada parti Demokrat yang mengancam untuk menggantung sebarang penjualan senjata kepada Riyadh, yang sebelum ini merupakan pembeli utamanya.

Sejak daripada itu, hubungan Riyadh dan Washington “dingin”, ditambah pula dasar luar Arab Saudi di bawah Putera Mahkota Mohamad bin Salman yang kini lebih bebas dengan negara Arab itu menjalin hubungan diplomatik yang lebih mesra dengan Russia dan China, malah juga dengan “seteru lamanya” iaitu Iran. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...