Dihalang Peroleh F-35, Arab Saudi Pertimbang Beli 100-200 Buah Rafale
Walaupun dianggap sebagai sekutu rapat dan “penyokong utamanya” di Timur Tengah selama ini, namun Amerika Syarikat enggan menjual pesawat pejuang generasi kelima F-35 kepada Arab Saudi kerana bertegas mahu memelihara “kelebihan kualitatif” kekuatan ketenteraan Israel di Timur Tengah, selain mendapat bantahan daripada negara Yahudi itu sendiri.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Arab Saudi dilapor sedang mempertimbangkan perolehan di antara 100 hingga 200 pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis, selepas hasratnya untuk memiliki F-35 “dihalang” oleh pentadbiran Jo Biden yang mahu mempertahankan kepentingan Israel.
Selama bertahun-tahun, Tentera Udara Arab Saudi diperkuatkan oleh pesawat-pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat seperti F-15 dan Eropah seperti Eurofighter Typhoon, tetapi kini ia merasakan perlu melihat kepada Perancis untuk bekalan pesawat pejuang pada masa depan.
Awal bulan ini, Menteri Pertahanan Arab Saudi Putera Khaled bin Salman telah menerima kunjungan daripada rakan sejawatannya daripada Perancis, Sebastien Lecornu di Riyadh untuk mengadakan perbincangan tentang kerjasama pertahanan dua hala.
Menurut media-media Arab Saudi, perbincangan antara kedua-dua Menteri Pertahanan turut menyentuh tentang hasrat perolehan pesawat pejuang Rafale oleh negara Arab itu.
“Ia turut menyentuh tentang ‘syarat-syarat’ Arab Saudi sebelum ia memberikan lampu hijau untuk memperolehi pesawat pejuang Rafale dalam kuantiti yang amat besar,” kata seorang penganalisis pertahanan Timur Tengah.
Menteri Pertahanan Arab Saudi itu juga dijangka mengadakan lawatan kerja ke Paris untuk menyusuli perbincangan di Riyadh itu.
Riyadh kini melihat Washington dan Eropah sebagai “rakan” yang lebih banyak menekan daripada membantu, malah ia juga mula “berbaik-baik” dengan China.
Riyadh dikata sedang menimbangkan dengan mendalam opsyen memperolehi pesawat pejuang Rafale itu kerana tertarik dengan dasar pertahanan Perancis yang “bebas” dengan tidak mengaitkan penjualan senjata dengan isu-isu lain seperti rekod hak asasi manusia, politik dan lain-lain-lain.
Dasar pertahanan Paris yang bebas dan tidak terikat dengan isu-isu lain telah menarik perhatian Arab Saudi dan “mendekatkan” lagi negara Arab itu kepada pesawat pejuang Rafale.
Bukan sahaja Arab Saudi “tertarik” dengan dasar pertahanan Perancis yang bebas, malah negara-negara jiran seperti Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Qatar juga telah menjadikan pesawat pejuang Rafale sebagai pesawat pejuang utama mereka.
Comments are closed.