Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Radar GM400 Alpha Bakal Diletak Di Bintulu, Pantau Laut China Selatan?

Radar jarak jauh 3D GM400 Alpha itu berkemungkinan akan diletakkan di Bintulu untuk memastikan kedaulatan ruang udara negara di kawasan Laut China Selatan sentiasa dipantau rapi 24 jam  7 hari seminggu daripada sebarang pencerobohan

0 4,502

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan dikatakan telah membuat keputusan untuk memperolehi radar jarak jauh “Ground Master 400 Alpha” (GM400 Alpha) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Perancis, Thales.

Radar jarak jauh 3D itu berkemungkinan akan diletakkan di Bintulu untuk memastikan kedaulatan ruang udara negara di kawasan Laut China Selatan sentiasa dipantau rapi 24 jam  7 hari seminggu daripada sebarang pencerobohan.

Bernilai lebih daripada RM200 juta, radar jarak jauh GM400 Alpha merupakan anggota terbaru bagi keluarga radar-radar “Ground Master” yang banyak digunakan pengguna sebelum ini termasuk Malaysia.

GM400 Alpha

Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Thales, kemampuan pengesanan oleh radar jarak jauh 3D GM400 Alpha itu telah dipertingkatkan sebanyak 10 peratus kepada kira-kira 515km (278 batu nautika), selain ciri-ciri cybersecurity yang telah dipertingkatkan dan algoritma AI (Artificial Intelligence) yang jauh lebih berkeupayaan.

Radar GM400 Alpha berkemampuan mengesan sasaran daripada pesawat-pesawat pejuang dan peluru berpandu berkelajuan tinggi, helikopter dan sistem pesawat tanpa pemandu.

Salah satu ciri-ciri unik radar jarak jauh GM400 Alpha adalah ia mendakwa boleh mengesan dan menjejaki sasaran seperti dron-dron taktikal yang terbang hampir dengan tanah dan pada masa yang sama mengesan sasaran-sasaran pada altitude tinggi seperti pesawat pengebom pada jarak 515km.

Jika benar radar jarak jauh GM400 Alpha telah dipilih oleh kerajaan dan bakal ditempatkan di Bintulu,  maka sudah pasti akan akan bergandingan dengan sebuah lagi radar jarak jauh sumbangan Amerika Syarikat yang akan diletakkan di Labuan.

Kedua-dua radar jarak jauh ini akan menjadi “mata dan telinga” bagi negara untuk memantau kedaulatan ruang udara di Laut China Selatan itu sentiasa terpelihara.

Radar
Radar pertahanan udara jarak jauh TPS-77 .

 

 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka akan memulakan operasi radar pertahanan jarak jauh buatan Amerika Syarikat di Labuan pada akhir tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebelum ini bahawa  radar pertahanan udara jarak jauh yang akan beroperasi di Labuan itu adalah daripada jenis AN/TPS-77, yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Ia adalah untuk menggantikan radar sebelum ini daripada jenis Alenia yang sudah berusia.

Pada 2021, Defence Security Asia melaporkan bahawa Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah memberikan kontrak bernilai US$25.1 juta (RM103 juta) kepada syarikat, Lockheed Martin untuk membekalkan sebuah radar pertahanan udara jarak jauh kepada Malaysia.

Pakej di dalam kontrak kerajaan Amerika Syarikat kepada Lockheed Martin itu termasuklah alat ganti dan latihan kepada anggota-anggota TUDM yang bakal mengendalikannya.

TUDM
Pesawat pengangkut tentera China Xian Y-20 digelar “Chubby Girl” yang dipintas oleh pesawat TUDM (kredit TUDM)

 

Kenyataan daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bertarikh Sept 24, 2021 lalu menyatakan bahawa cawangan syarikat Lockheed Martin di Liverpool, New York telah dianugerahkan kontrak bernilai US$25.1 juta untuk “Malaysia Ground Based Radar System.”

Kos untuk membekalkan radar jarak jauh untuk kerajaan Malaysia itu dibiayai menerusi peruntukan “Fiscal 2021 Building Partner Capacity Funds” oleh kerajaan Amerika Syarikat.

 Coverage bagi radar AN/TPS-77  ini adalah sekitar 470km atau 250 Batu Nautika, dan ia adalah sebuah radar bergerak (mobile radar) yang mampu diatur-gerak ke kawasan-kawasan lain sama ada menggunakan pesawat C-130 Hercules, trak atau keretapi. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...