Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Radar Jarak Jauh Pemberian Amerika Ditempat di Pangkalan TUDM, Labuan

Penempatan radar pertahanan udara jarak jauh di Pangkalan TUDM di Labuan itu akan mengukuhkan lagi pengawasan kita terhadap ruang udara di Laut China Selatan dan membantu dalam mengesan sebarang pencerobohan oleh elemen asing.

0 6,910

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa radar pertahanan udara jarak jauh (long-range air defence radar) yang diberikan oleh kerajaan Amerika Syarikat di bawah “program peningkatan keupayaan negara rakan” akan ditempatkan di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Labuan.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dalam ucapannya di Parlimen hari ini.

Kerajaan Amerika Syarikat memberikan radar itu dibawah program, “Building Capacity Partner” dan  radar pertahanan udara jarak jauh terbabit adalah daripada jenis AN/TPS-77, yang dibangunkan oleh firma pertahanan negara itu, Lockheed Martin.

Beberapa bulan lepas, Defence Security Asia melaporkan bahawa Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah memberikan kontrak bernilai US$25.1 juta (RM103 juta) kepada syarikat, Lockheed Martin untuk membekalkan sebuah radar pertahanan udara jarak jauh kepada Malaysia.

Pakej di dalam kontrak kerajaan Amerika Syarikat kepada Lockheed Martin itu termasuklah alat ganti dan latihan kepada anggota-anggota TUDM yang bakal mengendalikannya, sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini.

Radar
Radar pertahanan udara jarak jauh TPS-77 yang bakal ditempatkan di Labuan.

 

Kenyataan daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bertarikh Sept 24 lalu menyatakan bahawa cawangan syarikat Lockheed Martin di Liverpool, New York telah dianugerahkan kontrak bernilai US$25.1 juta untuk “Malaysia Ground Based Radar System.”

Kontrak Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat perlu diselesaikan pada Sept 30, 2025.

Kos untuk membekalkan radar jarak jauh untuk kerajaan Malaysia itu dibiayai menerusi peruntukan “Fiscal 2021 Building Partner Capacity Funds” oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Coverage bagi radar AN/TPS-77  ini adalah sekitar 470km atau 250 Batu Nautika, dan ia adalah sebuah radar bergerak (mobile radar) yang mampu diatur-gerak ke kawasan-kawasan lain sama ada menggunakan pesawat C-130 Hercules, trak atau keretapi.

Pemberian radar kepada Malaysia itu mungkin usaha Amerika Syarikat untuk membantu kita memperkuatkan pengawasan dan pemantauan di Laut China Selatan.

Penempatan radar pertahanan udara jarak jauh itu di Labuan akan meningkatkan keberkesanan “mata dan telinga” kita di Laut China Selatan, untuk mengesan sebarang insiden pencerobohan terutamanya daripada pesawat-pesawat tentera China.

TUDM
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia pada akhir Mei lepas.(kredit TUDM)

 

Pada 12 Sept lepas, Defence Security Asia turut melaporkan bahawa 12 anggota TUDM berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri Kursus Orientasi Operasi Radar (Radar Operations Orientation Course) oleh Western Air Defense Sector, Tentera Udara Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh nationalguard.mil – kursus itu berlangsung daripada 2 hingga 27 Ogos.

“Kursus Orientasi Operasi Radar itu adalah latihan utama yang pertama untuk menyokong program National  Defense Authorization Act Section 333 tajaan Pacific Air Forces (PACAF) dimana TUDM diberikan ‘Long Range Air Domain Awareness Radar’ menerusi peruntukan oleh kerajaan Amerika Syarikat.”

— Komander Tentera Laut Amerika Syarikat David Hurn.

Radar

— DEFENCE SECURITY ASIA

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.
Comments
Loading...