Tiga Radar Jarak Jauh Jadi “Mata dan Telinga” Penting Malaysia Awasi Laut China Selatan
Ketiga-tiga buah radar jarak jauh yang bakal dan telah pun diperolehi oleh negara akan menjadi "mata dan telinga" yang amat penting bagi Malaysia memantau segala cubaan pihak asing untuk menceroboh perairan miliknya di Laut China Selatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga buah radar jarak jauh yang bakal dan telah pun diperolehi oleh negara akan menjadi “mata dan telinga” Malaysia dalam memantau sebarang cubaan pihak asing untuk menceroboh ruang udara dan perairan negara di Laut China Selatan.
Sebagaimana yang diketahui, sejak beberapa tahun kebelakangan ini perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara terutamanya berhampiran dengan Beting Patinggi Ali sering diceroboh oleh kapal pengawal pantai China.
Memandangkan perairan di sekitar Beting Patinggi Ali ini mengandungi khazanah minyak dan gas negara yang besar, maka sudah pasti tidak salah sekiranya negara membuat pelaburan yang besar untuk meningkatkan keupayaan pengawasaannya.
Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap di sidang Dewan Rakyat pada Jun lepas berkata, kawasan perairan di sekitar Beting Patinggi Ali yang “dipenuhi” dengan telaga-telaga minyak dan gas menyumbang 25 peratus pendapatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Oleh kerana itulah kata beliau, kepentingan negara di Laut China Selatan itu perlu dipertahanan “at any cost.”

“Mengambil kira kawasan itu seperti (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Patinggi Ali itu adalah kawasan yang memberikan pendapatan kepada negara hampir 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dimana di situlah terletaknya telaga minyak kita, di situlah telaga gas kita, maka ia perlu dipertahankan ‘at any cost’,” kata Mohamad Hasan.
Antara aset negara paling bernilai di kawasan perairan terbabit adalah Lapangan Gas Kasawari yang terletak di perairan dengan kedalaman airnya mencecah 108 meter di dalam Blok SK316 kira-kira 200km di utara Bintulu, Sarawak.
Ditemui November 2011, Lapangan Gas Kasawari itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.
Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh PETRONAS itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia.
Apakah tiga “mata dan telinga” negara yang akan memantau 24 jam sehari tujuh hari seminggu segala pergerakan di Laut China Selatan?
Comments are closed.