Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Dedah Peluru Berpandu Kruis “Talaiyeh”, Mampu Bedil Sasaran 1,000 KM

Komander Tentera Laut Iran Laksamana Shahram Irani berkata peluru berpandu kruis terbaru yang diterima oleh tentera laut negara itu, "Talaiyeh" adalah sistem persenjataan yang canggih, dengan kemampuan mengubah laluan ketika dalam penerbangan (mid-course) serta membedil sasaran sejauh 1,000km.

0 4,313

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dikala ketegangan di Timur Tengah yang semakin meningkat akibat konflik antara Palestin dan Israel, Tentera Laut Iran pula hari ini mempamerkan senjata-senjata terbaru diterimanya seperti peluru berpandu kruis, dron berani mati dan helikopter peninjau.

Tentera Laut Iran juga dilaporkan telah menerima peluru berpandu darat-ke-darat serta sistem untuk mengesan dan menjejaki penyelam-penyelam asing di kawasan perairannya.

Menurut media negara itu, antara senjata-senjata baru yang diterima Tentera Laut negara itu adalah peluru berpandu kruis, “Talaiyeh” dan “Nasir” yang sudah pasti akan digunakan oleh Teheran sekiranya berlaku konflik bersenjata membabitkannya.

Majlis penerimaan peluru berpandu kruis dan senjata-senjata lain itu diadakan di pangkalan tentera laut negara itu di Konarak, yang terletak kira-kira 1,400km daripada ibu negaranya, Teheran dan ia diadakan ketika ketegangan di antara Teheran dan Washington semakin memuncak.

Beberapa hari lepas, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menuduh Iran melancarkan dron berani mati daripada wilayahnya terhadap sebuah kapal mengangkut bahan kimia di Lautan Hindu, tidak jauh daripada India.

Iran, bagaimanapun, menafikan tuduhan Amerika Syarikat itu.

Talaiyeh
Peluru berpandu kruis “Nasir”

 

Menurut Tentera Laut Iran, “Talaiyeh” merupakan peluru berpandu kruis yang moden di mana ia berkemampuan untuk mengubah laluan penerbangannya ketika ia sedang terbang (mid-course) menuju ke sasarannya, sama ada di laut atau darat.

Manakala peluru berpandu kruis “Nasir” pula berkemampuan membedil ke sasaran sejauh 100km jauhnya dan dilengkapkan di kapal-kapal perang.

Komander Tentera Laut Iran Laksamana Shahram Irani berkata peluru berpandu kruis terbaru yang diterima oleh tentera laut adalah sistem persenjataan yang canggih, dengan kemampuan membedil sasaran sejauh 1,000km.

Peluru berpandu kruis “Talaiyeh” itu dipercayai dibangunkan oleh Aerospace Industries Organization (AIO), sebuah agensi Kementerian Pertahanan Iran.

Menurut penganalisis, rekabentuk peluru berpandu kruis “Talaiyeh” itu berkemungkinan besar adalah berdasarkan kepada peluru berpandu kruis KH-55 milik Russia yang telah melalui proses “reverse engineering” oleh pakar-pakar senjata Iran dibawah projek dinamakan “Meshkat.”

Talaiyeh
“Talaiyeh”
Talaiyeh
Peluru berpandu kruis “KH-55” buatan Russia

 

Peluru berpandu KH-55 milik Russia itu mula dibangunkan pada awal 1970-an dan merupakan Air Launched Cruise Missile (ALCM) yang boleh dilengkapi dengan peledak nuklear serta berkemampuan membedil sasarannya sejauh 2,500km.

Iran membangunkan peluru berpandu kruis “Talaiyeh” adalah untuk bersaing dengan peluru berpandu kruis Tomahawk yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.

Peluru berpandu kruis “Talaiyeh” itu berkemampuan dilancarkan daripada kapal-kapal perang dan juga pelancar tetap di darat, sekaligus mengkategorikannya sebagai peluru berpandu strategik.

Ia dilengkapi dengan bahan letupan seberat 400kg bagi memastikan kemusnahan maksimum sekiranya ia membedil sasaran.

Tomahawak
Peluru berpandu Tomahawk Block IV diiringi pesawat pejuang Tomcat.

 

Hanya beberapa negara yang berkemampuan untuk membangunkan peluru-peluru berpandu strategik seperti ini dan Iran adalah beberapa negara yang memiliki teknologinya.

Selain peluru berpandu “Talaiyeh”, Iran juga memiliki beberapa jenis lagi peluru berpandu kruis dalam kegunaan angkatan tenteranya.

Selain “Talaiyeh” dan Amerika menerusi peluru berpandu “Tomahawk”, Perancis juga memiliki peluru berpandu kruis yang dinamakan Missile de Croisière Naval (MdCN) atau “Naval Cruise Missile” yang dibangunkan oleh firma pertahanan, MBDA dan berkeupayaan membedil sasaran sejauh 1,400km. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...