Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Negara Lain Agresif Tingkat Sistem Pertahanan Di Spratly. Kita Bagaimana?

Disebabkan pemilikan kepulauan yang amat strategik itu dituntut oleh pelbagai negara (sama ada sebahagian atau keseluruhan), negara-negara terbabit telah meningkatkan sistem pertahanan mereka di pulau atau ciri-ciri maritim yang diduduki mereka di Kepulauan Spratly.

0 2,683

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang kita tahu, Kepulauan Spratly yang terletak di laluan maritim yang amat strategik dan dipercayai menyimpan khazanah minyak dan gas yang banyak bernilai berbilion Dollar Amerika dituntut oleh pelbagai negara.

Disebabkan pemilikan kepulauan yang amat strategik itu dituntut oleh pelbagai negara (sama ada sebahagian atau keseluruhan), negara-negara terbabit telah meningkatkan sistem pertahanan mereka di pulau atau ciri-ciri maritim yang diduduki mereka di Kepulauan Spratly.

Malaysia tidak terkecuali, dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menempatkan anggota tentera kita di beberapa lokasi di Kepulauan Spratly atau Gugusan Semarang Peninjau (GSP) yang terletak kira-kira 162 batu nautika daripada barat laut Kota Kinabalu.

Spratly
Salah satu stesen TLDM di Gugusan Semarang Peninjau (pix kredit TLDM)

 

GSP juga terletak di dalam lingkungan 200 batu nautika Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Kerajaan telah mengisytiharkan terumbu ini terletak di dalam ZEE Malaysia pada 20 September 1979 selaras dengan keputusan kabinet yang bermesyuarat pada 13 Julai 1979.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempunyai lima buah Stesen Luar Pantai (SLP) yang terletak di GSP iaitu Pulau Layang-Layang (PLL) (Stesen Lima TLDM), Terumbu Ubi (Stesen Uniform TLDM), Terumbu Mantanani (Stesen Mike TLDM), Terumbu Siput (Stesen Sierra TLDM) dan Terumbu Peninjau (Stesen Papa TLDM).

Hanya Stesen Lima TLDM sahaja mempunyai infrastruktur seperti bangunan penginapan beserta pejabat, hangar, menara kawalan, lapangan terbang yang mampu mendaratkan pesawat Hercules C130, Layang Layang Island Resort dan Stesen Penyelidikan Marin PLL.

Selain Malaysia yang menempatkan anggota tenteranya di Kepulauan Spratly dan meningkatkan sistem pertahanannya untuk menangani ancaman daripada pihak tertentu, negara-negara lain yang menuntut pemilikan terhadap kepulauan strategik turut berbuat perkara sama.

Spratly
Stesen milik Malaysia di GSP. (pix kredit TLDM)

 

Malah, negara-negara lain terutamanya China dan Vietnam dilihat lebih agresif dalam meningkatkan sistem pertahanan mereka di pulau dan ciri-ciri maritim diduduki mereka Kepulauan Spratly.

Badan bukan kerajaan berpengkalan di Washington, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) dalam satu laporan tahun lepas berkata, menerusi gambar-gambar yang dicerap oleh satelit mendapati bahawa Vietnam telah meningkatkan sistem pertahanan di terumbu-terumbu karang yang diduduki oleh mereka di Kepulauan Spratly.

Usaha dilakukan oleh Hanoi menurut AMTI menunjukkan bahawa Hanoi sentiasa berusaha untuk memastikan terumbu karang didudukinya itu mampu bertahan daripada pengepungan atau serangan daripada pihak China.

Selain itu, Vietnam juga dilihat mempertingkatkan kemampuannya di terumbu karang didudukinya di Spratly untuk menyerang kemudahan-kemudahan milik China.

Di antara ciri-ciri maritim yang diduduki oleh tentera Vietnam di Kepulauan Spratly iaitu West Reef dan Pulau Sin Cowe dilihat paling banyak mengalami perubahan di dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Spratly
West Reef di Kepulauan Spratly yang diduduki oleh anggota tentera Vietnam. (AMTI)

 

AMTI berkata, kira-kira 70 ekar daripada tanah di West Reef itu adalah hasil daripada usaha penambakan yang dilakukan oleh pihak Vietnam daripada tahun 2013 hingga 2016.

Di dalam tempoh dua tahun, West Reef telah melihat banyak perubahan termasuk pembinaan kemudahan pertahanan pantai, bangunan pentadbiran, kubu-kubu (bunker) dan menara dipercayai untuk menempatkan peralatan untuk perisikan dan komunikasi.

Sementara itu Pulau Sin Cowe yang diduduki oleh tentera Vietnam juga melihat banyak peningkatan sejak dua tahun lepas terutamanya dalam aspek pembinaan kemudahan-kemudahan pertahanan di sepanjang pesisir pantainya.

Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 2019, tertumpu di kawasan seluas 26 ekar di atas tanah ditambak pada tahun 2013 dan 2016.

Kawasan tanah ditambak di bahagian utara pulau berkenaan juga telah dibina dengan kubu-kubu pertahanan tepi pantai, dengan kerja-kerja pembinaan siap pada November 2020.

Spratly
Kemudahan sistem pertahanan udara di Pulau Sin Cowe di Kepulauan Spratly yang diduduki oleh tentera Vietnam. (AMTI)

 

Selain itu, AMTI menerusi imej-imej satelit juga mendapati tanda-tanda bahawa Vietnam turut menempatkan sistem pertahanan udara dipercayai SA-3 Goa sebagaimana yang didapati di Terumbu Karang Pearson dan beberapa lokasi lain yang diduduki oleh negara itu di Kepulauan Spratly.

Vietnam menempatkan sistem pertahanan udara secara meluas di ciri-ciri maritim didudukinya di Kepulauan Spratly.

Pada 2016,agensi berita antarabangsa Reuters pula melaporkan bahawa Vietnam telah menempatkan sistem pelancar roket berganda EXTRA buatan syarikat Elbit Systems daripada Israel di lima buah ciri maritim yang didudukinya di Spratly.

Dengan jarak 150km, sistem pelancar roket EXTRA Vietnam itu mampu membedil pangkalan-pangkalan tentera China di Spratly.

Sementara itu bagi China pula, eksploitasi negara itu di Kepulauan Spratly dan Paracel sememangnya diketahui oleh seluruh dunia, dengan penempatan anggota tentera serta pelbagai kelengkapan lain termasuk pesawat tentera, kapal perang dan sistem pertahanan udara.

Fiery Cross
Fiery Cross Reef, salah sebuah pulau buatan manusia China di Kepulauan Spratly. 

 

Di antara tahun 2013 hingga 2017, China telah membelanjakan berbilion Dollar Amerika untuk menambak secara besar-besaran tujuh buah terumbu karang dan ciri-ciri maritim yang didudukinya di Kepulauan Spratly.

Hasilnya, ketujuh-tujuh terumbu karang dan ciri maritim China itu kini menjadi pulau-pulau buatan manusia yang penting daripada segi ketenteraan, di dalam usaha Beijing untuk menguasai keseluruhan Laut China Selatan.

Beijing menjadikan kesemua pulau-pulau buatan manusia itu sebagai penempatan tenteranya yang penting dengan turut sama membina pangkalan-pangkalan tentera, siap dengan jeti untuk kapal-kapal perangnya, sistem komunikasi, hangar bagi jet pejuang serta pesawat pengebom dan pelbagai lagi.

Menurut penganalisis ketenteraan, ketujuh-tujuh pulau buatan yang diduduki secara haram oleh China itu telah diperkukuhkan dengan sistem C4ISR (command, control, communications, computers) untuk tujuan misi ISR (intelligence, surveillance and reconnaissance).

Woody Island
Salah sebuah pulau buatan manusia China.

 

Sistem-sistem terbabit di pulau-pulau buatan manusia China itu dihubungkan dengan tanah besar China menerusi jaringan gentian optik bawah laut.

Kewujudan jaringan-jaring C4ISR di pulau-pulau buatan manusia China di Kepulauan Spratly itu akan membantu Beijing mengatasi Amerika Syarikat di dalam “peperangan maklumat” sekiranya konflik bersenjata berlaku di antara kedua-dua negara itu.

Tentera China dikatakan telah membina sekurang-kurangnya 27 buah radome besar di pulau-pulau buatan manusia di Kepulauan Spratly itu untuk menempatkan radar-radar bagi mengawasi serta memantau keadaan sekelilingnya.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Tujuh daripada radome yang besar itu dibina di Fiery Cross, Subi dan Mischief Reef, sementara jaringan genting kabel-kabel optik bawah laut bertujuan menjamin sistem komunikasi tanpa gangguan antara pulau-pulau buatan manusia itu dengan tanah besar China.

Penganalisis ketenteraan juga mengatakan kemudahan C4ISR China di pulau-pulau buatan manusia China itu mampu menganggu sistem komunikasi Amerika Syarikat.

Zhou Chenming, pakar komunikasi tentera China berkata, keupayaan C4ISR China di pulau-pulau buatan manusia itu mampu memantau apa sahaja pergerakan tentera di rantau terbabit termasuk pengkalan udara Amerika di Palawan, Filipina yang terletak kira-kira 350km daripada Mischief Reef. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

Comments
Loading...