Beberapa Buah Pulau Di Sabah Juga Cuba Dijual?
Persoalan yang timbul adalah, sekiranya sebuah agensi kerajaan negara asing mahu membeli pulau-pulau itu bagi tujuan-tujuan yang diragui, apakah kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan membiarkannya sahaja?
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semalam media-media tempatan melaporkan bahawa Pulau Daat yang terletak di antara Menumbok dan Labuan akan dilelong pada minggu ini selepas pemilik pulau itu, Potensi Bernas Sdn Bhd menamatkan perniagaan mereka (liquadate)
Pulau yang berkeluasan 237.55 hektar itu akan dilelong kepada orang awam pada pada 11 pagi, 27 Mei di Tingkat 1 Bornion Centre, Off Jalan Kolam di Luyang.
Buat masa ini harga rizab bagi pulau itu adalah RM121.5 juta atau RM4.80 satu kaki persegi.
Sebenarnya, beberapa bulan sebelum ini tanah seluas 30 ekar di Pulau Mantanani di Sabah yang dikatakan umpama “syurga” bagi penyelam turut diiklan untuk dijual pada harga RM12 juta, sebagaimana di dakwa oleh media tempatan.
Menurut penjual sebagaimana dipetik oleh media tempatan berkata warga asing juga boleh membeli tanah yang diiklankan itu.
Pada Oktober tahun lepas pula, sebuah kawasan tanah seluas 7.43 ekar di pulau yang sama juga ditawar untuk dijual pada harga RM14.3 juta.
Sebenarnya dalam tempoh beberapa tahun ini, beberapa buah pulau di Sabah telah diiklankan untuk dijual, termasuk diantaranya Pulau Mengalum yang diiklan untuk dijual pada 2011 pada harga lebih RM70 juta.
Selain itu Pulau Pandanan itu diiklan untuk dijual pada harga RM8 juta manakala Pulau Montukod berhampiran di Papar yang cuba dijual pada nilai RM35 juta.
Menurut media tempatan, adalah di luar bidang kuasa kerajaan negeri sekirannya pemilik tanah sama ada penduduk kampong dan penduduk tempatan mahu menjual tanah-tanah mereka di pulau-pulau itu.
Pulau Mantanani terdiri daripada tiga buah pulau dan amat terkenal di kalangan penyelam sebagai “lubuk” untuk melihat dugong.
Pulau yang terletak kira-kira 80km daripada Kota Kinabalu sememangnya menjadi tarikan penyelam yang menggemari selaman untuk mencari kesan-kesan tinggalan kapal perang hasil daripada Perang Dunia kedua.
Menurut media tempatan, kerajaan negeri tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya pemilik tanah di pulau terbabit mahu menjual tanah mereka itu.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Bagaimanapun persoalan yang timbul adalah, sekiranya sebuah agensi kerajaan negara asing mahu membeli pulau-pulau itu bagi tujuan-tujuan yang diragui, apakah kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan membiarkannya sahaja?
Apakah tindakan kerajaan negeri atau persekutuan jika terdapat sebuah syarikat asing mahu membina hab minyak dan gas berbilion ringgit nilainya yang turut meliputi pembinaan jeti-jeti yang pada akhirnya akan turut digunakan sebagai tempat persinggahan untuk kapal-kapal tentera laut negara itu?
Adakah aktiviti penjualan pulau-pulau ini terutamanya yang terletak berhampiran dengan kawasan sempadan negara patut dibiarkan sahaja tanpa sebarang pemantauan daripada pihak berkuasa tempatan dan juga pihak keselamatan?
Adalah amat memeranjatkan sekiranya aktiviti penjualan sama ada tanah di pulau atau keseluruhan pulau itu tidak mendapat perhatian daripada pihak berkuasa tempatan.
— DSA
Comments are closed.