Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

PT PAL Indonesia Dalam Radar Bagi Program Perolehan Kapal MRSS TLDM?

PT PAL Indonesia merupakan antara syarikat pembuatan kapal tempatan yang terbesar di republik tersebut yang menghasilkan pelbagai jenis kapal termasuk Multi-Role Support Ship (MRSS) KRI BANJARMASIN milik TNI-AL dan Landing Platform Dock BRP TARLAC milik Tentera Laut Filipina.

0 4,507

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pada 19 April yang lalu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob telah melawat ke PT PAL di Surabaya, Indonesia, yang merupakan sebuah syarikat pembuatan kapal milik negara jiran itu.

Laksamana Tan Sri Abdul Rahman dan delegasi disambut pengurusan tertinggi PT PAL Indonesia dan diberi taklimat mengenai operasi syarikat sebelum dibawa melawat ke limbungan untuk melihat kerja-kerja pembuatan kapal yang sedang dijalankan.

PT PAL Indonesia merupakan antara syarikat pembuatan kapal tempatan yang terbesar di republik tersebut yang menghasilkan pelbagai jenis kapal termasuk Multi-Role Support Ship (MRSS) KRI BANJARMASIN milik TNI-AL dan Landing Platform Dock BRP TARLAC milik Tentera Laut Filipina.

TLDM kini sedang memperhalusi perancangan perolehan MRSS yang terkandung dalam Pelan Transformasi 15 to 5.

Dalam perutusan Panglima Tentera Laut sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, pada Selasa, Abdul Rahman berkata, selain kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS) dan Littoral Mission Ship (LMS), kapal MRSS yang sekian lama tertangguh juga akan diperolehi.

TLDM
(TLDM)

 

Pada April tahun lepas, Abdul Rahman berkata perolehan MRSS itu terpaksa ditangguhkan untuk memberikan laluan kepada perolehan-perolehan aset lain.

“Dengan kedudukan geografi negara yang terbahagi kepada dua wilayah dan dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan jarak terdekat sejauh 568.42 kilometer, kita memerlukan platform sebegini bagi bantuan logistik dan mengukuhkan keperluan.”

“Bagaimanapun, setakat ini perolehan MRSS terpaksa ditangguhkan dahulu bagi memberikan laluan kepada perolehan Littoral Mission Ship (LMS) dan juga penyelesaian perolehan Littoral Mission Ship (LCS) serta program peningkatan keupayaan kombatan untuk aset sedia ada.”

“Perolehan MRSS akan dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13),”kata beliau dalam temuramah dengan akhbar berbahasa Melayu tempatan.

Beberapa pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga pernah menyatakan bahawa perolehan dua buah kapal MRSS untuk TLDM tidak boleh tergendala lagi, malah perolehan kapal sedemikian perlu disegerakan. 

TLDM
KRI Banjarmasin

 

Menurut mereka, terdapat keperluan yang mendesak untuk TLDM memperolehi kapal MRSS memandangkan usia kapal MRSS sedia ada sudah berusia hampir 40 tahun. 

Sejak beberapa tahun yang lepas, beberapa syarikat tempatan dan luar negara telah tampil kehadapan untuk menawarkan kapal-kapal MRSS rekabentuk mereka kepada TLDM.

Antara syarikat-syarikat yang menawarkan kapal MRSS mereka adalah Hyundai Heavy Industries (HHI), Mitsui daripada Jepun, PT PAL dari Indonesia dan Damen Schelde serta CSOC daripada China.

 Bagi memantapkan lagi pengoperasiannya, TLDM memerlukan sekurang-kurangnya empat MRSS dengan dua buah daripada kapal itu beroperasi di Armada Barat (Lumut) manakala dua buah kapal selebihnya beroperasi di Armada Timur (Sabah). 

Kapal MRSS yang ditawarkan oleh syarikat Mitsui Jepun itu adalah seberat 13,000 tan dan berkeupayaan untuk membawa sehingga 500-800 anggota tentera berkekuatan satu batalion.

TLDM
BRP Tarlac

 

Selain itu kapal MRSS yang ditawarkan oleh syarikat Mitsui E&S itu juga berkemampuan membawa sehingga 16 buah kereta kebal (main battle tanks), enam buat kereta perisai dan sebuah kenderaan ambulan.

Kapal MRSS oleh syarikat Mitsui ini juga dilengkapi dengan dua sistem Phalanx CIWS.

Syarikat Hyundai Heavy Industries (HHI) daripada Korea Selatan pula memperkenalkan rekabentuk kapal MRSS HDL-13000 yang dicadangkan untuk memenuhi keperluan TLDM.

Kapal MRSS HDL-1300 oleh HHI itu mempunyai panjang 160 meter dan berat mencecah 13,000 tan.

Fungsi utama kapal MRSS buatan syarikat Korea Selatan ini adalah bantuan lojistik dan operasi Humanitarian and Disaster Relief (HADR) atau kemanusian, selain melaksanakan misi-misi amfibia.

MRSS
Kapal MRSS HDL-13000 yang dicadangkan oleh Hyundai Heavy Industries kepada TLDM.

 

Untuk melaksanakan misi-misi amfibia, kapal MRSS rekaan HHI ini berkemampuan membawa sehingga 16 buah kereta kebal utama, enam buah kereta perisai pelbagai guna serta ratusan anggota tentera yang lengkap bersenjata.

Manakala di dek penerbangan kapal MRSS itu pula, ia boleh menempatkan tiga buah helikopter H225M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyokong operasi kapal terbabit. — DSA

Comments
Loading...