Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Akhirnya… Kereta Kebal M1A1 Abrams Milik Amerika Tiba di Bandaraya Moscow

(VIDEO) Kereta kebal M1A1 Abrams itu yang dibawa menaiki kenderaan pengangkut kereta kebal (tank transporter) itu tiba di Victory Park pada tengah malam tadi, selepas menempuh perjalanan daripada "tanah perkuburannya" di medan peperangan di Avdiivka, selatan Ukraine.

0 16,229

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bersama-sama kereta kebal Leopard 2A6 buatan Jerman, kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat yang berjaya ditawan oleh tentera Russia daripada medan peperangan di Ukraine adalah “War Trophy” yang amat bernilai oleh tentera Russia.

Dan kini, kedua-dua kereta kebal yang menonjolkan teknologi canggih dunia Barat itu akan dipertontonkan kepada penduduk Moscow pada satu pameran di Victory Park di ibu negara Russia itu pada 1 Mei.

Pameran yang bermula pada 1 Mei itu akan berlangsung selama 1 bulan, menampilkan pelbagai jenis senjata milik negara-negara Barat dan Ukraine yang berjaya dirampas oleh tentera Russia dalam konflikya dengan Ukraine.

Kereta kebal M1A1 Abrams itu yang dibawa menaiki kenderaan pengangkut kereta kebal (tank transporter) itu tiba di Victory Park pada tengah malam tadi, selepas menempuh perjalanan daripada “tanah perkuburannya” di medan peperangan di Avdiivka, selatan Ukraine.

Jurutera-jurutera tentera Russia berusaha keras mengeluarkan kereta kebal Abrams itu daripada medan peperangan di Avdiivka untuk dibawa ke Moscow supaya ia sempat menyertai pameran di Victory Park itu.

Kereta kebal Abrams seberat 70 tan itu mengalami kerosakan yang teruk akibat dibedil oleh tentera Russia.

Sehingga kini, tentera Russia telah berjaya memusnahkan lima daripada 31 buah kereta kebal Abrams yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine, mancalar dengan teruk reputasi kereta kebal Abrams yang sering dicanang oleh Washington sebagai kereta kebal  “terbaik dunia.”  

Pada awal Mac lepas, kereta kebal M1A1 Abrams pertama dioperasikan oleh Ukraine telah disahkan musnah dipercayai akibat bedilan dron berani mati “Lancet” tentera Russia di kawasan pertempuran di Avdiivka.

Maklumat-maklumat menyatakan bahawa kereta kebal M1A1 Abrams pertama dimusnahkan oleh Russia itu pada mulanya telah dibedil oleh dron berani mati “Lancet” tentera Russia dan sebelum dibedil buat kali kedua oleh Rocket Propelled Grenade (RPG).

Disebabkan bilangan kereta kebal M1A1 Abrams yang musnah ditangan tentera Russia semakin meningkat, Ukraine (mungkin di atas arahan Washington) terpaksa mengeluarkan kereta-kereta kebal Abrams itu daripada medan-medan pertempuran.

Abrams
Kereta kebal buatan Amerika Syarikat, M1A1 Abrams di Victory Park , Moscow.

 

Ia disebabkan ancaman keterlaluan daripada dron-dron pemantau dan berani mati tentera Russia.

Dua orang pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat itu tidak boleh beroperasi di medan peperangan tanpa dikesan dan dibedil dengan oleh dron-dron tentera Russia.

Disebabkan ancaman daripada dron-dron Russia itu, lima daripada 31 kereta kebal Abrams yang diderma oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine disahkan telah musnah dibedil tentera Russia setakat ini.

Amerika Syarikat membekalkan 31 buah kereta kebal Abrams berharga US$10 juta (RM45 juta) setiap sebuah kepada Ukraine pada Januari tahun lepas bagi membantu tenteranya menangani serangan armor oleh pihak Russia.

Bagaimanapun keadaan di medan peperangan Ukraine telah banyak berubah sejak kehadiran kereta kebal Abrams di medan pertempuran, dengan dron-dron pemantau dan berani mati Russia memberikan ancaman yang besar terhadap kereta kebal Amerika Syarikat itu.

Dron-dron pemantau dan berani mati Russia itu telah membuatkan usaha Ukraine untuk melindungi kereta kebal Abrams itu menjadi amat sukar kerana ia menjadikan usaha Russia untuk mengesan dan memburu kereta-kereta kebal Amerika Syarikar itu amat mudah.

Disebabkan ancaman berleluasa dron-dron pemantau dan berani mati Russia bermakna “tiada ada kawasan terbuka dan luas di mana kereta kebal Abrams itu boleh bergerak tanpa dikesan,”kata pegawai tentera.

Pada ketika ini, kereta-kereta kebal Abrams itu telah “dikeluarkan” daripada medan pertempuran dan Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan Ukraine untuk mengubahsuai taktik, kata Timbalan Ketua Staf Tentera Amerika Syarikat Laksamana Christopher Grady yang muncul sebagai pegawai tentera negara itu yang ketiga mengesahkan “nasib” tentang kereta kebal Abrams di Ukraine itu.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, lebih daripada 30 sistem persenjataan yang dibekalkan oleh 12 buah negara Barat termasuk Ukraine yang berjaya dirampas akan dipamerkan oleh Russia, sebagai membuktikan kejayaan menangani “serangan” daripada negara-negara Barat.

Senjata-senjata Barat yang dipamerkan di taman di bandaraya Moscow itu berasal daripada Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Perancis, Turkiye, Sweden, Republik Czech, Afrika Selatan, Finland, Australia, Austria dan Ukraine sendiri.

Abrams
Kereta kebal M1A1 Abrams yang dimusnahkan oleh tentera Russia.

 

Antara sistem persenjataan yang dipamerkan itu termasuklah kereta kebal Leopard 2A6 dan kereta perisai Marder buatan Jerman, kereta kebal T-80 buatan Ukraine, kereta perisai Bradley buatan Amerika Syarikat, kereta perisai CV90 daripada Sweden dan AMX-10RC buatan Perancis.

Selain senjata-senjata yang “besar”, pameran senjata Barat yang dirampas oleh tentera Russia itu turut melibatkan senjata-senjata ringan seperti sistem peluru berpandu anti-peluru berpandu “Javelin”, dokumen,peta-peta dan pelbagai “aset” yang lain.

Ia adalah pameran kedua selepas pameran pertama turut diadakan pada tahun lepas dimana Russia turut mempamerkan senjata-senjata yang berjaya dirampas oleh tentera Russia termasuk peluru berpandu Storm Shadow dan SCALP.

Abrams

 

Menurut media-media Barat, pameran sistem persenjataan negara-negara Barat yang dirampas itu adalah satu provokasi oleh Presiden Russia Vladimir Putin terhadap Barat, hanya beberapa hari selepas Amerika Syarikat dan United Kingdom mengisytiharkan bahawa mereka akan terus mengirimkan pelbagai jenis senjata bernilai puluhan billion Dollar Amerika kepada Ukraine.

Minggu lepas anggota-anggota Kongres and Senat Amerika Syarikat telah bersetuju untuk meluluskan bantuan ketenteraan kepada Ukraine berjumlah lebih daripada US$60 billion, yang merupakan antara bantuan ketenteraan terbesar Washington kepada Kiev. — DSA

Comments
Loading...