Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kenapa PETRONAS Lupus Aset Gas Aslinya di Azerbaijan Ketika Harga Gas Dunia Melambung?

Pada ketika harga gas asli di pasaran seluruh dunia melambung tinggi, PETRONAS memutuskan untuk menjual kepentingannya dalam projek pembangunan lapangan gas yang prolifik dan berdaya maju itu. Ramai menganggap keputusan dibuat oleh PETRONAS tidak lojik dan tidak mempunyai "business sense" yang baik.

0 4,965

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS mengesahkan bahawa ia telah bersetuju untuk melupuskan kepentingannya di dalam projek pembangunan gas asli di Azerbaijan kepada syarikat Russia, LUKOIL dalam urusniaga yang dianggarkan bernilai RM9.41 billion (US$2.25 bilion).

Kepentingan PETRONAS di Azerbaijan itu turut meliputi keseluruhan 15.5 peratus pegangannya dalam projek gas asli di Shah Deniz yang terletak di Laut Kaspia.

PETRONAS membeli kepentingan 15.5 peratus ekuiti di dalam projek bekalan gas asli Shah Deniz itu pada 2014 daripada syarikat minyak dan gas Norway, Statoil, yang masa ini dikenali sebagai Equinor ASA pada harga US$2.25 bilion.

Lapangan gas Shah Deniz, yang merupakan lapangan gas asli terbesar di Azerbaijan itu terletak kira-kira 70km di selatan Baku, dengan pengeluaran gas secara komersial bermula pada 2006.

Isu mengenai penjualan aset tenaga yang amat berdaya maju di Azerbaijan oleh PETRONAS itu telah menjadi topik yang sangat hangat, sehingga ia menjadi isu perdebatan antara kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Azerbaijan
Lapangan Gas Shah Deniz, Azerbaijan

 

Apa menjadi persoalan orang ramai dan pemerhati industri adalah mengapa PETRONAS mengambil keputusan untuk melupuskan kepentingan perniagaannya di dalam projek gas asli Shah Deniz di Azerbaijan itu ketika harga gas asli di Eropah dan seluruh dunia sedang melambung tinggi disebabkan masalah kekurangan bekalan komoditi itu.

Bukankah lebih baik untuk PETRONAS terus memegang aset berdaya maju itu  dan cuba memaksimakan keuntungan?

Harga gas di benua Eropah dikatakan telah meningkat sebanyak lima kali ganda atau bersamaan dengan kira-kira US$200 satu tong minyak.

 

Syarikat dan kilang-kilang di Eropah terpaksa mengurangkan produksi mereka disebabkan kekurangan bekalan gas pada ketika ini. Kekurangan bekalan gas telah membuatkan harga bahan itu melambung tinggi di pasaran tenaga benua itu.

Harga gas di Amerika Syarikat pula dikatakan telah meningkat sebanyak dua kali ganda.

Kekurangan bekalan gas bukan sahaja berlaku di benua Eropah, tetapi juga Asia dengan kilang-kilang di China juga terpaksa mengurangkan produksi mereka akibat masalah kekurangan bahan mentah itu.

Shah Deniz
Jaringan paip-paip gas asli mamastikan gas asli daripada Lapangan Shah Deniz di Azerbaijan boleh dijual di benua Eropah.

 

Pada ketika harga gas asli di pasaran seluruh dunia melambung tinggi, PETRONAS memutuskan untuk menjual kepentingannya dalam projek pembangunan lapangan gas yang prolifik dan berdaya maju itu.

Ramai menganggap keputusan dibuat oleh PETRONAS tidak lojik dan tidak mempunyai “business sense” yang baik.

Keputusan “pelik” PETRONAS menjual kepentingannya perniagannya di Azerbaijan itu juga berlaku pada ketika pengeluaran gas daripada Lapangan Gas Shah Deniz itu dijangka meningkat daripada 18.1 bilion meter padu pada 2020 kepada 26 bilion meter padu gas tidak lama lagi.

PETRONAS

Laporan media juga mengatakan bahawa saluran paip dari Lapangan Shah Deniz bagi membeolehkannya  menjual terus gas asli ke Eropah telah pun siap dan mula beroperasi pada Disember tahun lepas.

Syarikat minyak dan gas Russia, LUKOIL yang membeli kepentingan PETRONAS dalam Lapangan Shah Deniz mengatakan bahawa projek itu dilaksanakan di bawah PSA (Production Sharing Contracts) dengan pengeluaran gas secara komersial telah bermula sejak 2006.

 

Pada tahun lepas, konsortium Shah Deniz telah berjaya menghasilkan 18.1 bilion meter padu gas dan 3.6 juta tan gas condensate.

Dan pada tahun 2018, fasa kedua projek Shah Deniz itu telah dilancarkan dengan pengeluaran gas tahunan daripada projek itu dijangka mencapai 26 bilion meter padu dan lima juta tan gas condensate.

“Gas yang dihasilkan daripada Projek Gas di Shah Deniz itu dijual pada pasaran-pasaran Azerbaijan, Georgia dan Turki. Sejak Disember 2020, gas daripada projek itu juga telah dihantar ke benua Eropah menerusi sistem paip gas,” menurut LUKOIL.

Petronas

PETRONAS memberikan alasan bahawa penjualan asetnya di Azerbaijan bernilai hampir RM10 bilion itu adalah disebabkan kajian semula portfolio perniagaannya untuk selari dengan strategi pembangunan perniagaannya.

“Urusan perniagaan itu sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa dan pematuhan syarat-syarat. Lebih banyak maklumat akan didedahkan selepas urusan itu selesai,” menurut PETRONAS kepada portal berita kewangan berbahasa Inggeris,  theedgemarkets.com baru-baru ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan adalah berdasarkan penilaian komersial jangka masa panjang untuk menjamin daya tahan dan kecemerlangan operasi serta komersial.

Shah Deniz

Menurut beliau, ia sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan PETRONAS yang dilaksanakan secara berterusan.

Mustapa menegaskan keputusan penjualan itu juga bukanlah atas desakan politik.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...