Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Apakah Bakal Ditempatkan Di “Bare Bone Base” TUDM, Bintulu?

Pengumuman kerajaan tentang pembinaan "Bare Bone Base" TUDM di Bintulu gagal menyertakan sebarang perincian mengenainya, terutama sama ada akan ada penempatan tetap pesawat pejuang di pangkalan itu dan jenis pesawat yang akan ditempatkan.

0 11,606

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan diminta memperincikan cadangan untuk mewujudkan Pangkalan Udara “Bare Bone Base” milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bintulu, Sarawak sebagaimana diumum pada pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) baru-baru ini, terutamanya berkenaan aset-aset udara yang akan ditempatkan di pangkalan udara terbaru TUDM itu.

Anggota Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Yunus (PH-Hulu Langat)  berkata, pengumuman mengenai pembinaan pangkalan udara TUDM itu Bintulu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Sept lepas gagal menyertakan sebarang perincian terutamanya sama ada pangkalan udara TUDM di Bintulu itu akan menempatkan secara tetap skuadron pesawat pejuang dan jenis pesawat pejuang itu.

Adakah Bintulu akan menjadi “rumah” kepada skuadron pesawat Light Combat Aircraft (LCA) yang bakal diperolehi TUDM?

“Tiada perincian skuadron pesawat pejuang apakah yang akan beroperasi di pangkalan udara “Bare Bone Base” TUDM di Bintulu.”

“Adakah, akan ada skuadron pesawat pejuang baru yang bakal beroperasi di pangkalan udara di Bintulu atau adakah pangkalan udara itu terpaksa bergantung dengan pesawat-pesawat pejuang yang ada di (pangkalan udara) Labuan” katanya hari ini.

Dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan mengumumkan bahawa ia akan membina sebuah pangkalan udara bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bintulu, Sarawak, berhadapan dengan perairan Laut China Selatan dan lapangan-lapangan minyak dan gas milik negara.

Kehadiran sebuah pangkalan udara di Bintulu yang berhadapan dengan Laut China Selatan kini menjadi lebih penting dan kritikal sebagai deterren kepada sebarang percubaan oleh pihak asing untuk menceroboh kawasan perairan negara yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli.

Sebagaimana yang kita tahu, China telah meningkatkan percerobohan oleh kapal-kapal pengawal pantai mereka di kawasan perairan Sarawak sejak kebelakangan ini.

TUDM
Pesawat Su-30MKM TUDM (Gambar kredit TUDM)

 

Dengan adanya sebuah pangkalan TUDM di Bintulu itu, ia akan memudahkan lagi pesawat-pesawat TUDM (sama ada pesawat pejuang atau Maritime Patrol Aircraft) untuk melakukan pemantauan di kawasan-kawasan seperti Beting Patinggi AliJames Shoal dan lain-lain yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal pengawal pantai China.

Kawasan-kawasan perairan di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoal) dan James Shoal yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli milik negara kerap dikunjungi oleh kapal-kapal pengawal pantai China yang “menganggu” (harass) kapal-kapal offshore milik syarikat tempatan. 

Kasawari
Lapangan Gas Asli Kawasari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

 

Menurut anggota parlimen Hulu Langat itu lagi, ruang udara di Sabah dan Sarawak adalah luas berbanding ruang udara di Semenanjung Malaysia dan ini memerlukan kehadiran secara tetap (round-the-clock) pesawat-pesawat pejuang TUDM sebagai “mata dan telinga” dalam memelihara kedaulatan negara. 

Keluasan ruang udara di Sabah dan Sarawak sebenarnya, mendedahkannya kepada kemungkinan yang lebih tinggi terhadap pencerobohan-pencerobohan oleh pesawat-pesawat asing.

“Ruang udara di Sabah dan Sarawak adalah lebih luas berbanding ruang udara di Semenanjung Malaysia dan sebenarnya adalah lebih mudah dibolosi musuh kerana (negara) tidak cukup jet pejuang untuk mengawalnya,” katanya.

Pada 31 Mei lepas, China menghantar 16 buah pesawat tenteranya untuk menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan terbang di ruang udara Beting Patinggi Ali sebelum berpatah balik.

Sementara itu, beliau turut menyentuh keputusan Kementerian Pertahanan untuk menamatkan perkhidmatan tujuh buah pesawat latihan lanjutan Aermacchi MB339 CM dan menggantikannya dengan pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

Anggota Parlimen itu mempersoalkan sama ada penamatan perkhidmatan lebih awal pesawat latihan lanjutan Aermacchi MB339CM itu merupakan suatu pembaziran?

“Jet pejuang (latihan lanjutan) Aermacchi MB339CM  yang diperolehi pada 2009 sepatutnya ditamatkan perkhidmatannya pada 2028, panjang lagi (tempohnya), tetapi terpaksa ditamatkan perkhidmatannya  lebih awal. Adakah ini suatu pembaziran wang rakyat?

TUDM
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia beberapa bulan lepas. (kredit TUDM)

 

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ketujuh-tujuh pesawat Aermacchi MB-339CM milik TUDM bakal digantikan dengan pesawat yang mempunyai keupayaan dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan atau “Fighter Lead-In Trainer” dan pesawat tempur ringan “Light Combat Aircraft” (FLIT/LCA).

Beliau berkata pesawat Aermacchi MB-339CM itu memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 tetapi kini digantung operasinya sejak 2018 berikutan kemalangan dialami pesawat latihan itu di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin pesawat itu.

“Berdasarkan tempoh hayat ekonomi pesawat pejuang dan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM, pesawat ini (Aermacchi MB-339) dirancang ditamatkan pengoperasian pada 2028.

“Perolehan pesawat baharu yang berupaya melaksanakan dwifungsi bukan sahaja mampu memberi pulangan penjimatan kepada kewangan kerajaan, malah turut meningkatkan keupayaan pertahanan negara,” kata Ikmal Hisham.

aermacchi mb339
Pesawat Aermacchi MB339CM

 

Sementara itu, Hasanuddin juga membangkitkan persoalan tentang cadangan untuk mewujudkan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, memandangkan kehadirannnya amat penting dalam membendung pencerobohan kapal-kapal asing di perairan Sarawak dan Sabah.

Beliau meminta kerajaan memaklumkan status terkini tentang MAWILLA 4 itu.

“Sebelum PKP, isu mengenai pencerobohan kapal-kapal asing ke perairan negara ini telah dilaporkan oleh nelayan dan pekerja-pekerja pelantar minyak, habis semua hasil laut negara dijarah, ikan-ikan kita dicuri sewenang-wenangnya,” kata beliau.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...