Pesawat JF-17 “Thunder” Block III Azerbaijan Dilengkapi Peluru Berpandu Udara-ke-Udara Turkiye
Pesawat-pesawat pejuang JF-17 Block III yang dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) daripada China itu juga akan dilengkapi dengan sistem avionik buatan syarikat-syarikat pertahanan Turkiye.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang JF-17 “Thunder” Block III milik Tentera Udara Azerbaijan dilaporkan akan dilengkapkan dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara , Gokdogan BVRAAM dan Bozdogan WVRAAM keluaran industri pertahanan Turkiye.
Pesawat-pesawat pejuang JF-17 Block III yang dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) daripada China itu juga akan dilengkapi dengan sistem avionik buatan syarikat-syarikat pertahanan Turkiye.
Turkiye dan Azerbaijan yang mempunyai kerjasama pertahanan yang erat.
Pemilihan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara buatan Turkiye bagi digunakan oleh pesawat pejuang JF-17 Block III Tentera Udara Azerbaijan merupakan pengiktirafan terhadap kemampuan industri pertahanan negara Mediterranean itu.
Pada Februari tahun ini, laporan media menyatakan bahawa Azerbaijan telah bersetuju untuk memperolehi sejumlah pesawat pejuang JF-17 Block III, yang merupakan varian terkini pesawat pejuang keluaran Pakistan dan China.
Azerbaijan dilaporkan membelanjakan sebanyak US$1.6 billion (RM7.2 billion) untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang JF-17 Block III.


Menurut laporan. pesawat-pesawat JF-17 Block III yang bakal diperolehi oleh Azerbaijan itu akan menggantikan pesawat pejuang MiG-29 yang kini digunakan oleh tentera udara negara itu.
Secara geo-strategik, perolehan pesawat JF-17 Block III yang dibangunkan oleh Pakistan dan China itu merupakan kejayaan bagi Beijing dan Islamabad dalam menembusi pasaran senjata di rantau Asia Tengah yang sebelum ini didominasi oleh syarikat-syarikat senjata Russia.
Tentera Udara Pakistan dilaporkan bakal memiliki kira-kira 50 buah pesawat JF-17 Block III bagi menambah pegangan 98 buah pesawat JF-17 Block 1 dan JF-17 Block II yang dimilikinya pada ketika ini.
Pesawat pejuang JF-17 Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Varian terbaru pesawat pejuang JF-17 Block III itu lebih moden dan berkeupayaan kerana ia turut dilengkapi dengan teknologi pesawat pejuang generasi kelima, J-20 dan dibangunkan sejak dua tahun lepas.

Kedua-dua peluru berpandu udara-ke-udara buatan Turkiye yang bakal melengkapi pesawat pejuang JF-17 Block III itu adalah Gokdogan BVRAAM dan juga Bozdogan WVRAAM yang dibangunkan oleh firma pertahanan negara Mediterranean itu, Tubitak Sage.
Turkiye membangunkan kedua-dua peluru berpandu udara-ke-udara itu sebagai sebahagian daripada Projek GOKTUG untuk digunakan oleh pesawa-pesawat pejuang milik Turkiye seperti F-16, sebelum digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang lain seperti Hurjet, KAAN serta dron-dron kombat keluaran negara itu.
Selepas kejayaan daripada ujian-ujian pelancarannya, Turkiye telah bersedia untuk memulakan produki besar-besaran (mass production) kedua-dua peluru berpandu udara-ke-udara itu.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh, Gokdogan BVRAAM dibangunkan oleh firma Turkiye itu bertujuan untuk bersaing dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh keluaran Amerika Syarikat, AIM-120 AMRAAM.
Dilengkapi dengan Active Radar Seeker, peluru berpandu udara-ke-udara Gokdogan BVRAAM memberikan kemampuan yang diluar daripada kebiasaan seperti ia mampu mengesan pelbagai sasaran dan membedil daripada kesemua arah.
