Iran Kerah Radar OTH “Nazir” Untuk Pantau Ruang Udara Azerbaijan, Timur Turkiye
Beberapa bulan lalu, terdapat dakwaan bahawa Israel telah menggunakan ruang udara Azerbaijan untuk melancarkan serangan peluru berpandu atau pesawat pejuang terhadap beberapa kedudukan penting tentera di Iran termasuk aset-aset pertahanan udaranya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran dilaporkan telah mengerahkan radar Over-The-Horizon (OTH) dipanggil “Nazir” di kawasan tinggi di barat negara itu di Wilayah Gilan untuk memantau ruang udara Azerbaijan dan kawasan timur Turkiye.
Radar OTH Nazir itu dikatakan berkeupayaan mengesan dan menjejak sebarang objek di udara sejauh 800km.
Kerahan radar OTH Nazir berkuasa tinggi itu menunjukkan perubahan dasar Iran terhadap kerajaan Azerbaijan yang dipimpin oleh Ilham Aliyev, yang diketahui mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Turkiye dan Israel terutamanya di dalam bidang keselamatan dan pertahanan.
Beberapa bulan lalu, terdapat dakwaan bahawa Israel telah menggunakan ruang udara Azerbaijan untuk melancarkan serangan peluru berpandu atau pesawat pejuang terhadap beberapa kedudukan penting tentera di Iran termasuk aset-aset pertahanan udaranya.
Iran mula mengoperasikan sistem radar OTH Nazir pada 2016 selepas ia didedahkan pada awam pada 2015.
Komander Pangkalan Pertahanan Udara Khatam ol-Anbia Iran, Brigadier Jeneral Farzad Esmayeeli dipetik sebagai berkata pada 2016 bahawa negara itu telah mengoperasikan sistem radar OTH buatan tempatan Nazir, yang berkeupayaan mengesan sasaran yang sukar dikesan radar dan berupaya melawan peperangan elektronik, lapor Agensi Berita Fars (FNA).
![Iran](https://defencesecurityasia.com/wp-content/uploads/2025/01/radar-nazir-image10.jpg)