Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perintah Berkurung Timur Sabah Dilanjut Hingga 10 Mei

Maklumat mendapati kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk mendapatkan tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan lain," kata Pesuruhjaya Polis Sabah.

0 1,323

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pelaksanaan perintah berkurung membabitkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok telah dilanjutkan hingga 10 Mei ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata perintah berkurung dari pukul 6 petang hingga 6 pagi itu membabitkan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dikehendaki berada di rumah, manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki (atau berada) di kawasan tersebut dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Komando ASG
Anggota Komando Malaysia dalam satu latihan di Sabah baru-baru ini.

 

Beliau berkata perintah itu diteruskan bagi memastikan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas sekali gus mengancam keselamatan penduduk serta penyelidik antarabangsa dan pelancong asing di kawasan berhampiran.

“Maklumat mendapati kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk mendapatkan tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan lain,” katanya.

Idris berkata perintah berkurung juga akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Komando ASG
Anggota Komando Malaysia dalam satu latihan di Sabah baru-baru ini.

 

Beliau juga berkata Ketua Polis Daerah di ESSzone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk bergerak di kawasan terbabit. 

ESSZONE atau Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah adalah sebuah zon yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Abdul Razak pada 25 Mac 2013 berikutan dengan krisis pencerobohan yang berlaku di bahagian timur Sabah sebagai tambahan kepada ESSCOM ( Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah).

 Ianya merangkumi kawasan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. 

Abu Sayyaf
Pakar bom Abu Sayyaf, Mudzrimar@Mundi Sawadjaan

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Beberapa bulan lepas, PDRM mengatakan anggota Komando Unit Tindakan Khas (UTK) akan dikerah ke kawasan pantai timur Sabah sebagai sebahagian daripada usaha Polis Diraja Malaysia untuk meningkatkan tahap keselamatan kawasan tersebut.

Kerahan pasukan komando polis itu juga adalah untuk menangani isu berkaitan kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG), terutamanya berikutan laporan pakar pembuat bom kumpulan pengganas it,  Mudzrimar@Mundi Sawadjaan masih hidup. — DSA

 

Comments
Loading...