Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

ESCOMM Nafi Kejadian Abu Sayyaf “Tangkap Penduduk Kampung Dan Potong Anggota Badan”

Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata nota suara meminta penduduk berhati-hati yang tular bersama sebuah video berdurasi 1.03 minit menunjukkan seorang lelaki diserang dengan parang dan ditetak serta kemudian ditembak bertalu-talu di kawasan semak itu bukan berlaku di Sabah sebaliknya di Filipina.

0 2,362

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menafikan dakwaan berlaku kejadian kumpulan Abu Sayyaf menangkap penduduk kampung dan memotong anggota badan di dalam hutan di Sabah seperti nota suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata nota suara meminta penduduk berhati-hati yang tular bersama sebuah video berdurasi 1.03 minit menunjukkan seorang lelaki diserang dengan parang dan ditetak serta kemudian ditembak bertalu-talu di kawasan semak itu bukan berlaku di Sabah sebaliknya di Filipina.

“Hentikan penyebaran berita palsu ini, jangan percaya audio (nota suara) yang disebarkan kerana ia palsu dan rakaman video itu sebenarnya berlaku di negara jiran,” katanya.

Ahmad Fuad berkata polis dalam masa sama sedang menyiasat penyebar maklumat palsu berkenaan kerana menimbulkan kegusaran awam.

Terdahulu, nota suara berdurasi 23 saat yang tular hari ini turut mendakwa tindakan kumpulan Abu Sayyaf itu sebagai mahu membalas dendam.

esscom
DATUK AHMAD FUAD OTHMAN

 

Pada 17 Mei lepas, pasukan keselamatan menembak mati lima anggota kumpulan Abu Sayyaf di kawasan setinggan di Taman Sri Arjuna, Beaufort.

Lima anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang berpengkalan di selatan Filipina mati ditembak oleh Polis Sabah dalam satu operasi khas, di sebuah kawasan setinggan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort pada pukul 11.27 pagi 17 Mei lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, empat dari yang ditembak mati itu dikenali sebagai Mabar Binda, Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda dan Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti namanya.

Semuanya yang warga Filipina berumur di antara 20an hingga 40an.

Beliau berkata, Mabar Binda yang ditembak mati pagi semalam itu  adalah ‘sub leader’ kumpulan pengganas itu dan berada dalam senarai dikehendaki oleh pasukan keselamatan Filipina.

Abu Sayyaf

“Dengan tumpasnya lima anggota kumpulan ini, polis yakin telah berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayaf yang bersembunyi di Sabah, dan yang telah melakukan Ba’iah dengan kumpulan militan Daesh/ISIS.

“Polis juga mengesyaki sekiranya masih lagi ada saki baki dan tali barut (kumpulan itu) yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah dan kita sedang menyiasat perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan.

Beliau juga menasihatkan pasukan keselamatan negara berhati-hati terhadap kemungkinan terhadap sebarang tindakan “tindak balas” daripada kumpulan pengganas Abu Sayyaf selepas lima anggotanya termasuk seorang “sub-leadernya” ditembak mati oleh polis di Beaufort, Sabah.

“Kita percaya terdapat kemungkinan akan ada tindak balas terhadap pasukan keselamatan apabila mereka mendapat tahu bahawa salah seorang ketua mereka dan anggota mereka telah ditembak mati.”

“Kita akan sentiasa berjaga-jaga dan meminta orang ramai tidak berasa bimbang dan memberitahu pihak polis jika mereka mengesyaki sebarang kegiatan yang mencurigakan,” katanya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...