Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas 75 Tahun, Jepun Kembali Miliki Kapal Pengangkut Pesawat

Tindakan Jepun mengubahsuai JS Izumo serta “kembarnya”, JS Kaga menjadi kapal pengangkut pesawat amat tidak disenangi oleh China yang mendakwa Tokyo mempunyai cita-cita untuk kembali menjadi kuasa tentera sebagaimana yang berlaku pada Perang Dunia Kedua.

0 20,386

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas 75 tahun, Jepun secara rasmi bakal memiliki kapal pengangkut pesawat sebagaimana ketika Perang Dunia Kedua apabila kerja-kerja pengubahsuaian kapal Landing Helicopter Dock  (LHD) miliknya “JS Izumo” berjalan dengan lancar dan bakal siap tidak lama lagi.

Kapal JS Izumo adalah sebuah kapal pembawa helikopter (LHD), bagaimanapun akibat pembesaran keupayaan ketenteraan China, Tokyo memutuskan untuk mengubahsuai Izumo dan sebuah lagi kapal LHD iaitu JS Kaga untuk menjadi kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier).

Berdepan dengan ancaman ketenteraan daripada China,maka kerajaan Jepun memutuskan untuk mengubahsuai JS Izumo dan JS Kaga untuk menjadi kapal pengangkut pesawat pada 2018.

JS Izumo
Sebuah pesawat F-35B Kor Marin Amerika Syarikat mendarat atas kapal JS Izumo dalam satu ujian beberapa bulan lepas.

 

JS Izumo sudah selesai melaksanakan pusingan pertama kerja-kerja pengubahsuainnya kepada kapal pengangkut pesawat yang menelan belanja US$30 juta (RM120 juta) dan sedang melaksanakan kerja pengubahsuaian seterusnya.

Kerja-kerja pengubahsuaian terhadap kapal JS Kaga baru sahaja bermula awal tahun ini.

Pada Oktober tahun lepas, dua buah pesawat pejuang F-35B (VTOL – Vertical Take Off Landing) milik pasukan Marines Amerika Syarikat telah melakukan ujian penerbangan dan pendaratan daripada kapal JS Izumo itu.

Ujian penerbangan pesawat-pesawat F-35B milik Amerika Syarikat telah berjaya dilakukan.

JS Izumo
Pesawat F-35B Kor Marin Amerika Syarikat berlepas dari kapal JS Izumo dalam penerbangan ujian beberapa bulan lepas.

 

“Ujian penerbangan itu telah membuktikan bahawa kapal JS Izumo mempunyai kemampuan untuk menyokong penerbangan dan pendaratan pesawat-pesawat VTOL di atas lautan,yang akan memberikan kita (Tentera Jepun) opsyen tambahan kepada sistem pertahanan udara kita di Lautan Pasifik pada masa depan,” kata komander Tentera Laut Jepun Laksamana Shukaku Kumota.

Sememangnya, kehadiran JS Izumo dan JS Kaga sebagai kapal pengangkut pesawat selepas pengubahsuaian adalah amat tepat ketika China meningkatkan keupayaan angkatan tenteranya sehingga mengancam negara-negara jirannya.

Tentera Jepun telah pun membuat pesanan 42 buah pesawat pejuang F-35B tetapi pesawat pertama hanya bakal diterimanya pada tahun depan.

Memandangkan ia hanya akan menerima pesawat F-35B pada tahun depan, maka Jepun terpaksa meminta pertolongan Amerika Syarikat untuk melatih krew dan anak-anak kapal JS Izumo dalam mengendalikan penerbangan dan pendaratan pesawat pejuang daripada dek penerbangannya.

JS Izumo
JS Izumo

 

Amerika Syarikat seperti biasa sentiasa bersedia membantu rakan-rakan sekutunya terutamanya dalam menangani ancaman daripada China di Pasifik.

Kor Marin Amerika Syarikat merupakan pengguna pesawat F-35B terbesar dengan kira-kira 100 buah pesawat canggih itu yang terbang dan mendarat secara menegak.

Selain Jepun, pesawat-pesawat F-35B Kor Marin Amerika Syarikat juga terlibat dalam membantu sekutu-sekutunya yang lain dalam pengendalian F-35B seperti Tentera Laut British menerusi operasi F-35B Marin di kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth.

Ia juga terbang dan mendarat daripada kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Itali, ITS Cavour.

JS Izumo
JS Izumo dan USS Ronald Reagan

 

Tindakan Jepun mengubahsuai JS Izumo serta “kembarnya”, JS Kaga menjadi kapal pengangkut pesawat amat tidak disenangi oleh China yang mendakwa Tokyo mempunyai cita-cita untuk kembali menjadi kuasa tentera sebagaimana yang berlaku pada Perang Dunia Kedua.

Beijing pernah menyuarakan kegusaran mereka terhadap rancangan Jepun mengubahsuai JS Izumo dan JS Kaga, meminta Tokyo supaya membatalkan hasrat mereka itu.

Jepun dan China juga memiliki pertikaian wilayah membabitkan Kepulauan Senkaku.

Seorang jurucakap Kementerian Luar China pernah dipetik sebagai berkata bahawa Jepun perlu melakukan usaha yang lebih untuk memupuk kepercayaan dan kedamaian serta kestabilan serantau.

JS Izumo
JS Izumo ketika singgah di Pelabuhan Kelang pada 2019.

 

Selain JS Izumo dan JS Kaga, Tentera Laut Jepun (dipanggil Japan Maritime Self Defence Force) juga memiliki dua lagi buah kapal seumpama iaitu JS Hyuga dan JS Ise.

Kedua-dua kapal kelas-Izumo (JS Izumo dan JS Kaga) itu dianggarkan bernilai lebih US$1 billion setiap satu dan mula  ditauliahkan di dalam perkhidmatan JMSDF pada tahun 2015 dan 2017.

JS Izumo mula dibina pada tahun 2011.

Tugas-tugas utama JS Izumo dan JS Kaga ketika mula-mula dibina adalah untuk membawa helikopter bagi tugasan peperangan anti-kapal selam (ASW), operasi kemanusiaan dan untuk tinjauan (surveillance).

JS Izumo

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Setiap satu kapal itu mampu membawa kira-kira 400 anggota tentera Jepun dan tujuh buah helikopter ASW dan dua buah helikopter SAR (search and rescue) bagi menyokong operasi anti-kapal selamnya.

Terdapat juga laporan mengatakan Jepun bakal meletakkan pesawat Osprey di kapal JS Izumo dan JS Kaga pada masa depan.

Untuk sistem pertahananny, JS Izumo dan JS Kaga masing-masing membawa dua unit CIWS (Close In Weapon System) dan dua unit peluru berpandu “SeaRam.”– DSA

Comments
Loading...