Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pengguna S-400 Turkiye, India Terima “Layanan Berbeza” Dari Amerika Berkenaan Penjualan F-35

Tindakan Washington menawarkan pesawat pejuang F-35 kepada India hanya menonjolkan lagi sikap “double standard” negara kuasa besar dunia itu dalam aspek hubungan luar dan ketenteraannya, walaupun ia berkeras menafikannya.

0 12,013
(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Double Standard” merupakan perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan tindakan Amerika Syarikat menawarkan penjualan pesawat pejuang generasi kelima, F-Pengguna S-400 Turkiye, India Terima “Layanan Berbeza” Dari Amerika Berkenaan Penjualan F-35 Lightning II kepada India.
Tindakan Washington menawarkan pesawat pejuang F-35 kepada India hanya menonjolkan lagi sikap “double standard” negara kuasa besar dunia itu dalam aspek hubungan luar dan ketenteraannya, walaupun ia berkeras menafikannya.
“Kami akan meningkatkan penjualan peralatan ketenteraan kepada India dengan nilai berbilion dolar. Kami juga sedang membuka jalan untuk akhirnya membekalkan India dengan jet pejuang stealth F-35,” kata Trump kepada wartawan.
Sebelum itu,  Presiden Amerika Syarikat telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi di Rumah Putih beberapa hari lali.
Mengapa tawaran Donald Trump untuk menjual pesawat pejuang generasi kelima F-35 kepada India itu dianggap “double standard” ?
Jawapannya berkait-rapat dengan sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 “Triumf” buatan Russia yang digunakan oleh Angkatan Tentera India.

Su-57

Negara anggota NATO Turkiye telah dikenakan sekatan ketenteraan yang ketat oleh Amerika Syarikat termasuk “ditendang keluar” daripada program pembangunan F-35 dan dilarang daripada membeli pesawat pejuang generasi kelima itu selepas Ankara menandaatangani kontrak dengan Russia pada 2017 untuk memperolehi S-400.
Turkiye menandatangani kontrak untuk memperoleh F-35 sebagai sebahagian daripada program Joint Strike Fighter (JSF) pada 2002.
Negara Mediterranean itu secara rasmi menyertai program pembangunan bersama F-35 sebagai rakan kongsi peringkat kedua dan merancang untuk memperoleh sekurang-kurangnya 100 unit F-35A bagi Tentera Udara Turkiye.
Pada 2018, Turki menerima dua unit pertama F-35, tetapi penghantaran seterusnya dihentikan selepas Ankara membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia.
Akibatnya, pada Julai 2019, Amerika Syarikat mengeluarkan Turki daripada program F-35 dan melarangnya daripada membeli pesawat pejuang generasi kelima buatan syarikat Lockheed Martin itu.
Ankara dilaporkan telah pun membayar kira-kira US$1.6 billion kepada Amerika Syarikat, malah enam daripada 100 buah F-35 milik Turkiye itu telah pun siap dibina oleh Lockheed Martin dan kini “tersadai” di hangar selepas Washington “mengharamkan” Turkiye daripada memperolehi F-35.
Su-57
Su-57
Banyak lagi sekatan ketenteraan telah dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Turkiye susulannya membeli sistem pertahanan udara S-400 Russia itu di bawah Akta CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act)
Bagaimanapun, berlainan pula dengan India di mana New Delhi – di mana negara itu bukan sahaja tidak dikenakan sebarang sekatan ketenteraan oleh Washington kerana membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia itu, malah India kini dipelawa dengan bersungguh-sungguh oleh Amerika supaya membeli pesawat pejuang F-35.
Layanan Amerika Syarikat terhadap Turkiye dan India adalah amat berlainan.
India dan Russia telah menandatangani kontrak bernilai US$5.43 billion pada Okt 2018 iaitu untuk memperolehi lima unit S-400, dengan penghantaran pertama sistem ini tiba di India sebelum akhir 2021, dan selebihnya dijadualkan diterima secara berperingkat.
Mengapa Amerika Syarikat mahu menjual pesawat pejuang generasi kelima F-35 kepada India, walaupun negara Asia itu mengoperasikan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia, sama seperti Turkiye?
Turkiye dilarang membeli F-35 kerana membeli S-400 buatan Russia itu tetapi India yang turut sama membeli S-400 itu telah dialu-alukan untuk membeli F-35. Betapa ironinya …
F-35
F-35
Dikala industri pertahanan tempatan India bergelut dengan pelbagai masalah untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dan ketika musuh tradisinya Pakistan bakal memiliki dua jenis pesawat pejuang generasi kelima KAAN dan J-35A dalam beberapa tahun mendatang ini — maka sudah pasti tawaran penjualan F-35 oleh Donald Trump itu sudah pastinya disambut baik oleh New Delhi.
Walauapapun, Lockheed Martin dan Donald Trump bakal berhadapan dengan persaingan hebat daripada Russia yang mempunyai hubungan pertahanan erat dengan India sejak sekian lama, yang  turut menawarkan pesawat pejuang generasi kelimanya, Su-57 Felon.
Malah Russia telah “melangkah setapak lebih jauh” dengan menawarkan pembuatan dalam negara bagi pesawat pejuang Su-57 itu sekiranya India bersetuju untuk memperolehinya, sama seperti dilakukannya dengan pesawat pejuang Su-30MKI.
India mengoperasikan lebih 270 buah pesawat pejuang Su-30MKI yang menjadi tulang belakang Tentera Udara India (IAF), dengan 250 buah daripada pesawat pejuang itu dibina dalam negara oleh syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).
Persaingan di antara pesawat-pesawat pejuang generasi kelima, F-35 buatan Amerika Syarikat dan Su-57 Russia untuk menarik perhatian India merupakan sesuatu yang amat menarik untuk dilihat pada tahun-tahun mendatang ini.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Leave A Reply

Your email address will not be published.