Tentera Udara Amerika Guna Dua F-35A Rosak Untuk Pulihkan Pesawat Dipanggil “Franken-Bird”
Anggota USAF dari 388th Fighter Wing berjaya menggabungkan struktur dua pesawat F-35A bagi menghasilkan sebuah pesawat yang boleh beroperasi, yang kini dikenali sebagai "Franken-bird".
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah berjaya memulihkan sebuah pesawat pejuang F-35A Lightning II dengan menggunakan bahagian-bahagian daripada dua pesawat pejuang itu yang rosak, membolehkannya kembali ke status operasi tempur.
Anggota USAF dari 388th Fighter Wing berjaya menggabungkan struktur dua pesawat F-35A bagi menghasilkan sebuah pesawat yang boleh beroperasi, yang kini dikenali sebagai “Franken-bird”.
“Franken-bird” ini dibina daripada dua pesawat F-35 yang mengalami kerosakan.
Salah satu pesawat F-35 itu mengalami kerosakan akibat insiden kegagalan nose-gear pada tahun 2020 di Hill Air Force Base, Utah, manakala satu lagi pesawat pejuang itu mengalami kerosakan akibat kebakaran enjin pada tahun 2014 di Eglin Air Force Base, Florida.
Projek pemulihan pesawat pejuang F-35 itu merupakan usaha bersama antara F-35 Joint Program Office, Ogden Air Logistics Complex, 388th Fighter Wing, dan Lockheed Martin.
Sebelum pemulihan pesawat pejuang generasi kelima itu dilakukan, pesawat tersebut disimpan di hangar selama setahun di 4th Fighter Generation Squadron, di mana krew penyelenggaraan bekerja pada peringkat akhir projek.

Senior Airman Jaguar Arnold, ketua krew khusus pesawat itu, menyatakan bahawa terdapat banyak tugas yang perlu diselesaikan, termasuk beberapa yang belum pernah dilakukan oleh pasukannya sebelum ini di peringkat unit.
Beliau menekankan cabaran utama ialah menerima pesawat dalam keadaan kosong tanpa komponen dalaman.
Pasukan Arnold, bersama jurutera dan juruteknik dari Lockheed Martin, telah memasang semula sistem pendawaian pesawat, membina semula kokpit, komputer avionik, serta memasang pelbagai komponen yang jarang ditemui di bengkel penyelenggaraan barisan penerbangan.
Anggota USAF juga menghasilkan dan memasang komponen serta lapisan khas untuk memulihkan keupayaan low-observable (ciri penyamaran radar) pada beberapa bahagian pesawat.
