Lebih Banyak Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal Jarak Sederhana Untuk Tentera Darat
Kehadiran satu lagi sistem anti-kereta kebal di dalam Tentera Darat Malaysia sudah semestinya memantapkan lagi kemampuan unit-unit anti-kereta kebal di dalam formasi tentera darat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Darat Malaysia dikatakan sedang mencari peluru berpandu anti-kereta kebal-jarak sederhana atau Anti-Tank Guided Weapon-Medium Range (ATGW-MR), yang dipercayai akan digunakan oleh platun-platun anti-kereta kebal di peringkat battalion infantri tentera darat.
Baru-baru, Kementerian Pertahanan telah membuka tender untuk sejumlah bilangan senjata ATGW-MR yang tidak didedahkan.
Tender itu dijangka akan menambah bilangan dan jenis peluru berpandu anti-kereta kebal yang dimiliki oleh unit-unit tentera darat, Angkatan Tentera Malaysia.
PEROLEHAN MEMBEKAL, MENGHANTAR, MENGUJI DAN MENTAULIAH SENJATA ANTI TANK GUIDED WEAPON – MEDIUM RANGE (ATGW-MR) UNTUK TENTERA DARAT.
— TAJUK IKLAN TENDER KEMENTERIAN PERTAHANAN
Menurut dokumen tender itu lagi, terdapat keperluan bagi platun-platun anti-kereta kebal di battalion infantri untuk dilengkapkan dengan senjata peluru berpandu anti-kereta kebal (jarak sederhana).
Antara spesifikasi yang dinyatakan oleh dokumen tender Kementerian Pertahanan itu adalah – senjata ATGW-MR yang bakal diperolehinya itu mestilah berkemampuan untuk memusnahkan kenderaan armor musuh. (ia bagaimanapun tidak menyatakan senjata ATGW-MR terbaru Tentera Darat itu perlu menembusi berapa ketebalan armor )
Selain itu, senjata ATGW-MR itu juga mesti mampu memusnahkan kubu-kubu diperkukuhkan oleh pihak musuh (heavily-fortified bunkers) pada jarak maksimum sejauh 2,000 meter atau 2km jauhnya.
Tidak pasti sama ada sistem ATGW-MR baru Tentera Darat ini adalah man-portable atau dibawa oleh kenderaan khusus.
There is requirement for the Anti-Tank Platoon of Infantry Battalions to be equipped with Anti-Tank Guided Weapon-Medium Range (ATGW – MR) which is capable to engage and destroy enemy armour and heavily fortified bunkers at a maximum distance of 2,000 meter.
— spesifikasi senjata ATGW-MR yang dinyatakan dalam iklan tender
Senjata-senjata itu perlu dihantar ke 91 Depot Pusat Ordnans,91 Depot Pusat Ordnans, Kem Batu Kentomen,Kuala Lumpur.
Terdapat beberapa jenis ATGW-MR yang berada dipasaran pada masa kini yang berkemungkinan akan menyertai tender Kementerian Pertahanan itu seperti sistem “FGM-148 Javelin” yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon dan Lockheed Martin.
Banyak negara menggunakan sistem “Javelin” ini termasuklah tentera Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan ketika ia terlibat dalam konflik di negara Asia Selatan itu.
Sistem “FGM-148 Javelin” ini disifatkan sebagai sistem ATGW-MR yang terbaik di pasaran pada ketika ini dan ia turut digunakan oleh 12 buah negara selain Amerika Syarikat menerusi program Foreign Military Sales (FMS) negara Uncle Sam itu.
Setiap peluru berpandu itu memiliki berat 11.8kg manakala Command Launch Unit (CLU) pula adalah seberat 6kg.
Sistem panduan bagi “Javelin” ini menggunakan “Long-Wave Infra Red” (LWIR) dengan peluru berpandunya yang dilengkapi dengan peledak “tandem-shaped charged” mampu membedil sasaran sejauh 2,500 meter atau 2.5km.
Selain daripada “Javelin”,terdapat juga sistem-sistem ATGW-MR yang lain di pasaran sama ada daripada Eropah, Russia atau China.
China juga membangunkan sistem seakan-akan “Javelin” iaitu “HJ-12”, adakah ia akan turut sama dalam persaingan tender Kementerian Pertahanan itu?
Memandangkan tentera darat juga menggunakan “Metis-M” dan “Bhaktar-Shikan” (HJ-8) bagi senjata anti-armornya, terdapat kemungkinan besar juga syarikat-syarikat daripada Russia dan Pakistan juga akan turut mencuba nasib dalam tender terbaru Kementerian Pertahanan ini bagi sistem Anti-Tank Guided Weapon-Medium Range.
Sama-samalah kita lihat, sistem mana pilihan Tentera Darat Malaysia nanti.
Comments are closed.